Walau ISMA keseorangan atau ahlinya mengundur diri seorang demi seorang ... biar digelar ekstrim, pelampau, rasis, tidak matang, tidak strategik dan sebagainya, ISMA tidak akan berganjak dari pendiriannya.
Ramai yang menegur dan mengkritik ISMA dan Alhamdulillah ISMA boleh terima teguran dan kritikan tersebut dengan rela hati. Bagaimanapun, ISMA berjalan di atas kefahaman yang jelas tentang matlamat dan hala tuju serta tidak menyimpang dari asas-asas Syara'.
Justeru itu, sesiapa yang berkeyakinan bahawa ISMA telah tersasar, menyeleweng atau lari dari Islam, tolong tunjukkan (berserta dalil Syara'), kat mana yang ISMA telah buat yang salah dari segi Syara'.
Sekiranya anda atau mereka tidak dapat menemukan apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa ISMA sedang berjalan di luar landasan Syara’, maka bersegeralah untuk insaf dan ambillah sikap berdiam diri. Biarkan sahaja ISMA buat kerja yang anda tidak sanggup pikul. Anda dan mereka tidak akan rugi sedikitpun.
Alhamdulillah, setakat ini ISMA tidak/belum pernah menggadaikan prinsip dan dasar perjuangannya hanya kerana terlalu ghairah untuk mengambil hati kawan atau yang bukan Islam (kafir), atau berkompromi dengan pihak yang membawa agenda anti-Islam di dalam perjuangan mereka atau terlalu “play safe” dan sering mengalah dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam.
Benar, ISMA tidak maksum. Dan begitu jugalah status setiap NGO Islam, parti politik Islam, institusi Islam dan tokoh-tokoh Islam malah seluruh umat Islam. Maka kesepakatan atas dasar dan asas-asas Islam dan akidahlah yang menjadi satu-satunya jaminan tegas bahawa umat ini tidak akan berkumpul di dalam Kebatilan.
Posisi apakah yang selayaknya diduduki oleh seorang Muslim yang ikhlas pada ugamanya di dalam siri pertempuran Klasik antara Islam dan Jahiliyah pada zaman ini?
Kalau kita benar-benar ikhlas terhadap usaha mempertahankan Islam di Malaysia, marilah berganding bahu dengan umat Islam yang ikhlas, bersama NGO-NGO Islam di bawah PEMBELA dan sahabat-sahabat mereka (kalau enggan bersama ISMA sekalipun) untuk melawan usaha-usaha terbaru melalui cadangan Rang Undang-undang yang pihak musuh Islam melalui proksi-proksi liberal dan sekular tempatan cuba bawa untuk dibentangkan di Parlimen.
Rang Undang-Undang Jenayah Kebencian (Hate Crime) kaum dan Agama, Rang Undang-Undang Harmoni dan Rekonsiliasi DAN Rang Undang-Undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi adalah nama baru bagi menjayakan tuntutan-tuntutan Comango, IFC dan yang sealiran dengannya yang bercanggah dengan Islam supaya menjadi Akta Parlimen yang hanya boleh diubah melalui pindaan Parlimen kemudian nanti.
Mereka telah kalah di Geneva. Tetapi justeru mereka tetap tidak berputus asa. Mereka telah bawa pertempuran ini supaya dendam dan agenda mereka dilangsaikan dan diputuskan di Parlimen, dengan sokongan tersembunyi dari musuh Islam pada skala antarabangsa.
Tidak ada seorang pemimpin Islam atau satu agensi/institusi Islam atau NGO Islam pun yang dirujuk, malah umat Islam tidak langsung diminta pendapat mereka dalam proses penyediaan Rang Undang-undang tersebut sedangkan natijahnya akan membawa kesan dan akibat ke atas seluruh umat Islam, setiap sendi dan syi’ar Islam serta akan menghilangkan/menghancurkan jaminan perlindungan Islam dan umat Islam/Melayu yang selama ini dibentengi dengan kukuh oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kalau mereka berjaya membentangkan ketiga-tiga Rang Undang-undang tersebut dan ia menjadi Akta Parlimen, jangan terkejut atau merasa sedih kalau anak cucu kita dan generasi kemudian mengutuk kita dan meludah di atas kubur kita kerana mengkhianati Islam dan mewariskan satu mala petaka besar untuk dihadapi oleh mereka.
Jangan menyalak, melalak dan menangis airmata darah bila nasi sudah menjadi bubur.
Jangan meratap hiba kalau anak-anak anda menjadi “murtad by default and operation of law” sebaik-baik sahaja bayi itu dilahirkan dari rahim ibunya yang Muslimah.
Senario yang terbentang di hadapan amat mudah. Sekiranya ISMA tidak mengambil peduli dan “risiko” untuk menghadapi kesongsangan dan muslihat licik musuh ini, peranan itu akan diambil alih oleh pihak lain, yang ikhlas dan jujur pada ugamanya. Maka jangan kita tersalah sangka bahawa peranan ini hanya hak eksklusif atau istimewa yang sengaja direka-rekakan oleh ISMA.
Tanggungjawab besar ini turut terletak pada setiap NGO dan parti politik yang membawa agenda Islam khususnya, baik IKRAM, HALUAN, ABIM, PAS, UMNO dan lain-lainnya.
Nadi pertempuran ini adalah pertempuran antara fikrah Islam dan fikrah Jahiliyah untuk menguasai minda, jiwa dan kesetiaan umat Islam.
It was never about human rights, liberalism, freedom, equality, harmony or whatever semantics that you have.
Letaklah apa nama sekalipun … semuanya hanyalah satu usaha penyamaran terancang untuk mengelirukan umat Islam dan mereka yang beramal untuk Islam. Itu adalah hawa nafsu dan belitan Iblis yang berselindung di sebalik pelbagai nama, label, penggelaran, pemasyhuran, branding, marketing dan advertising semata-mata.
Justeru itu, sekiranya ISMA ditakdirkan tidak wujud lagi di bumi Malaysia, akan sentiasa ada pihak lain yang akan mengangkat Bendera Islam dan mengisytiharkan perang ke atas Jahiliyah dan agendanya.
Lebih baik melutut dan mati dalam keadaan mulia dan merdeka daripada berdiri tapi hidup dalam keadaan jiwa terbelenggu dan diri dihinakan.
Sama ada Islam atau Jahiliyah.
No more, no less.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan