Khamis, 29 Mei 2014

Memilih Antara DAP Atau MCA Yang Sama-sama Membawa Mudharat

"Usah Ragu Undi Dyana Sofya": Akhbar Harakah.


Melihat tajuk akhbar Harakah ini, saya berpandangan bahawa gabungan parti-parti politik pembangkang sudah panik (atau DAP yang panik sebenarnya) hingga terpaksa menggunakan khidmat Presiden PAS untuk memujuk para pengundi Melayu Teluk Intan untuk memenangkan calon DAP.

Saya lebih suka melihat isu ini dari sudut pandang berbeza.

Ketepikan dahulu isu sekitar calon DAP Melayu yang membuatkan para pemimpin PAS kerap tersalah tingkah dan terkantoi dengan hujah-hujah sendiri yang saling bercanggahan antara satu sama lain, khususnya dalam isu mengundi calon Muslim yang fasiq berbanding calon kafir yang kufur.
Isu ini telah disentuh dalam satu status saya terdahulu: (https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/785276054829740).

Adalah ditegaskan bahawa DAP (dan juga MCA serta Gerakan, by natural extension) tetap membawa agenda politik yang sama sekali bercanggah dengan kepentingan Islam dan umat Islam).
Dalam kalimah berterus terang, mereka membawa agenda kufur.

Itulah yang mereka perjuangkan.

Bolehkah sesiapa di sini (contohnya Ketua Dewan Ulamak PAS) menerangkan kepada kita semua status dari sudut Syara’ akan kedudukan parti politik yang secara terang-terangan dan konsisten membawa agenda kufur?

Tolong “fatwa”kan dengan terang, jelas dan bersandarkan dalil bahawa perjuangan DAP (termasuk MCA dan Gerakan) adalah Syari’i, supaya umat tidak menghadapi dilema atau kemusykilan untuk memilih parti politik ini ataupun calon mereka.

Adakah di sana terdapat sebarang khilaf kalau kita menyatakan bahawa apa sahaja persefahaman, memorandum, perjanjian atau kerjasama antara mana-mana organisasi atau parti politik (apatah lagi kalau melibatkan nama Islam) MESTI patuh kepada Syara’?

Nilai manakah yang perlu diutamakan dan diperjuangkan dalam situasi keterpaksaan menjalinkan hubungan dengan parti-parti politik yang membawa agenda kekufuran - nilai Syara’ atau nilai yang tidak Syara’?

Bolehkah kita memberi ruang kepada parti-parti politik beragenda kufur itu untuk memaksakan kehendak mereka (di mana seringkali tuntutan-tuntutan mereka itu sangat merugikan umat Islam dan membelakangkan nilai Syara’ dan juga kedaulatan Islam) dan seterusnya membiarkan umat Islam secara umumnya turut bersubahat dalam menjayakan agenda kufur tersebut?

Lebih dahsyat dan mengelirukan lagi apabila organisasi-organisasi Islam lainnya dan para ahli atau pendokong parti-parti politik (yang seangkatan dan sehaluan dalam kerjasama politik) perlu dikerahkan untuk membantu memenangkan calon yang mewakili parti yang membawa agenda kufur!
Lebih memalukan pula kalau para pimpinannya tanpa segan silu turut mempromosikan “kewajaran” dan “keharusan” mengundi calon tersebut.

Begitulah “faudho’” (kelamkabut dan serabutnya) apabila kepentingan politik mengatasi segala-galanya, meskipun nilai Syara’ dan kepentingan umat Islam harus/perlu dikorbankan dalam proses untuk mencapai cita-cita politik tersebut.

Sebaliknya, parti politik DAP yang sekular, cauvinis, sosialis dan evangelis ini TIDAK PERNAH mengorbankan walau secebispun agenda dan ideologi perjuangannya. Baik ketika ia bersendirian mahupun ketika ia bergabung dengan mana-mana parti politik.

Ia tetap istiqamah dalam agenda kekufurannya.

Apapun strategi dan sepak terajang politiknya (termasuk dengan meletak calon Melayu) tidak terkeluar dari kerangka tradisinya yang pekat dengan agenda anti-Syara’.

(https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/784205748270104)

 Umat Islam tidak akan tertipu atau diperbodohkan selama-lamanya.

Kesimpulannya:

Tahi lembu itu tetap tahi lembu, walaupun anda menghiasnya dengan icing, chocolate rice, strawberry sauce dan manikoram yang menawan sepertimana yang anda boleh lihat pada kek-kek yang dijual di Secret Recipe!

Sifat, hakikat, jatidiri, makrifat, wujud, bau, rasa dan namanya tetap tahi lembu.

Itulah “dhawabit”nya sampai bila-bila.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan