Rabu, 18 Jun 2014

Di Sebalik Saman Terhadap Presiden ISMA



Alhamdulillah, Presiden ISMA tidak didakwa kerana menjual kedaulatan negara, atau kerana mengorbankan prinsip perjuangan Islam, atau memperjudikan nasib dan masa depan bangsa Melayu dan umat Islam. Beliau tidak didakwa kerana menurut kehendak orang-orang kafir dengan segala tipu daya mereka untuk merosakkan masa depan generasi muda mudi Islam dan menjahanamkan tanahair ini.

Alhamdulillah sekali lagi, ahli-ahli ISMA tetap istiqamah di atas jalan yang dipilih dan masih meneruskan amal-amal mengislah dan mentarbiyah umat, masih sibuk dengan progrem-progrem dan aktiviti-aktiviti dakwah kepada masyarakat dan tidak melepaskan atau menangguhkan mana-mana sudut dari kegiatan rutin mereka untuk membangun Ummah yang beragenda di tanahair.

Pihak musuh dan golongan yang bersekongkol dengan mereka boleh saja bertepuk tangan atau melonjak kegirangan dalam hati akan tindakan yang dikenakan ke atas Presiden ISMA, tetapi hal itu sedikit pun tidak menggoyahkan ahli-ahli ISMA. Kata-kata dan komen-komen sinis dan memperlecehkan ISMA bahkan menjadikan ahli-ahli ISMA lebih yakin dan komited terhadap Manhaj Tarbiyah yang dipilih.

Ummah ini yang dipenuhi hati-hati Mukmin yang ikhlas dan cinta akan agamanya beruntung kerana satu episod yang besar ertinya sedang berlangsung di hadapan mereka. Mereka akan menyaksikan betapa mendalamnya dendam dan kedengkian yang bersemadi dalam sanubari puak kafirin terhadap sebarang suara atau usaha untuk membongkar rencana jahat mereka, mendedahkan kebencian mereka terhadap Islam dan umat Islam.

Puak kafirin dan musuh umat Islam (termasuk sesiapa yang bersubahat dengan mereka) tidak akan berdiam diri bilamana penguasaan mereka ke atas minda dan nasib umat Islam cuba dihancurkan. Mereka tidak akan membiarkan suara kebangkitan ini memporak perandakan monopoli mereka ke atas kewewenangan yang telah berakar umbi dalam masyarakat Islam.

Anehnya (dan malang sekali), musuh Islam ini dibantu dan disokong pula oleh sebahagian umat Islam, termasuk dari kalangan mereka yang begitu diharapkan untuk menolong ugama Islam. Ada yang selesa bepangku tangan, ada yang bertepuk tangan, ada yang berpura-pura memandang ke arah lain (seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku) dan ada yang mungkin menyemburkan kata-kata kepuasan hati: "Padan muka!"

Apa yang pasti, umat Islam tidak akan diperbodohkan lagi selepas ini. Pihak musuh Islam tidak akan dibiarkan bermaharajalela dengan agenda-agenda kufur mereka tanpa perlawanan yang seimbang dan setara dengan permainan licik mereka.

Pedulikan para politikus dan makhluk perosak ugama yang terlalu sempit ufuk dan dimensi "perjuangan" mereka di medan politik. Undi umat Islam adalah sekadar batu loncatan dan suara mereka hanyalah satu dengungan setaraf nyamuk yang boleh dinyahkan begitu sahaja.

Pedulikan juga para aktivis dan amilin dakwah yang begitu selesa dan akrab dalam pelukan sang kafir. Biar mereka terus dilenakan dalam strategi dan wasilah dakwah yang melekakan dan melegakan.

Namun bagi masing-masing ada pahala tersendiri, Jazakallahu khairan.

Biar mereka kata apa yang ingin dikatakan, ia tidak akan berbekas di hati.

Cukuplah bagi pimpinan dan ahli-ahli ISMA bahawa selagimana anda semua berjalan di atas landasan Syara' dan menepati manhaj perjuangan yang dicontohkan oleh Rasulullah s'a.w, umat Islam seluruhnya akan bersama anda.

Ini adalah masa untuk membuktikan keyakinan dengan amal yang ikhlas. Ini juga masa untuk menzahirkan apa yang dipelajari di dalam segala wasilah Tarbiyah yang dilalui. Ini juga satu kesempatan untuk bermuhasabah dari kelalaian, keculasan, kemalasan dan kecuaian terhadap tanggungjawab ke atas umat Islam.

Medan amal sebenar baru sahaja bermula ...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan