Isnin, 29 April 2013

Mari Bermula Dengan Politik Kasihsayang!


Benar - kali inilah kita bermula berbicara tentang politik kasihsayang!

Malam semalam, calon P017 Parlimen Padang Serai, al Fadhil Ustaz Hamidi Bin Abu Hassan telah dijemput oleh penduduk Padang Limau dalam kawasan Parlimen Padang Serai untuk memberi sedikit ceramah perkenalan diri kepada mereka. Ceramah bermula jam 9.30 malam dan tamat jam 11.30 malam.

Satu kelainan yang dipaparkan oleh jentera pilihanraya Ustaz Hamidi ini adalah ceramah yang dimulakan dengan bacaan al Quran dan diakhiri dengan doa yang dilafazkan oleh Ustaz Hamidi sendiri. Selepas doa penutup tersebut, para hadirin berpeluang berinteraksi dengan Ustaz Hamidi sambil menjamu selera dengan juadah yang disediakan oleh tuan rumah yang baik hati, Mak Teh dan Pak Teh.

Bilangan hadirin tidaklah ramai sangat, tetapi alhamdulillah, memberangsangkan. Ini kerana pondok panas BERJASA didirikan oleh penduduk kampung sendiri dan ceramah perkenalan ini juga diminta dan diatur oleh mereka. Jazakumullahu khairan kathira.

Saya sengaja mengambil kesempatan untuk bersembang dengan beberapa orang penduduk yang hadir, sambil menanyakan pandangan mereka tentang isi dan penyampaian ceramah Ustaz Hamidi. Secara umum, mereka agak terkejut dan kagum juga. Ada yang tidak puas hati kerana ceramah tamat jam 11.30 malam, walaupun banner menyatakan ceramah akan tamat jam 12.00 tengah malam.

Satu ungkapan yang menarik perhatian saya adalah komen seorang AJK sebuah masjid (saya tak ingat nama masjid itu) bahawa ceramah Ustaz Hamidi mengingatkan beliau kepada ceramah-ceramah PAS di zaman tahun 80an! Saya bertanya kenapa beliau berkata begitu. Beliau menjawab bahawa di zaman itu, ceramah-ceramah PAS akan diselangselikan dengan bacaan-bacaan ayat-ayat Al Quran, menyeru kepada agenda perjuangan untuk memertabatkan Islam dan membangkitkan semangat para hadirin supaya mengutamakan Islam dalam kehidupan mereka.

Akan tetapi, tambah beliau, semua itu berubah sejak PAS menjalinkan kerjasama dengan parti DAP. Seolah-olah (pada firasat saya) beliau merasai kehilangan suasana keaslian ceramah-ceramah PAS pada malam itu yang kini telah diambil peranannya oleh ahli-ahli ISMA.

Ada juga yang komen bahawa ceramah seperti inilah yang seharusnya ada dan mewarnai ceramah-ceramah politik dan kempen pilihanraya pada hari ini, bukannya ceramah yang disulami dengan caci maki, tuduh menuduh, memfitnah dan mengaibkan peribadi lawan.

Saya tidak tuduh PAS telah hilang keasliannya atau ceramah-ceramah PAS kini sudah menyeleweng. Tidak, kerana terdapat juga para penceramah dari PAS yang boleh membangkitkan kesedaran Islam di kalangan para hadirin ataupun mendorong mereka menjadi Muslim yang merasa prihatin akan masa depan ugama Islam di tanahair tercinta ini.

Apa yang saya ingin utarakan ialah betapa perlunya umat Islam hari ini dan masyarakat Islam di Malaysia khususnya kepada fenomena kempen politik berkasihsayang. Kempen yang di dalamnya umat Islam diajak supaya kembali kepada jatidiri sebenar umat Islam yang memiliki agenda hidup berugama sebagaimana yang dicontohkan oleh para Sahabat Rasulullah SAW. Supaya kembali kepada satu entiti Ummah yang berjuang dan bergelumang dalam medan hidup hanya semata-mata untuk mendaulatkan Islam di mukabumi. Supaya saudara Muslimnya dianggap sebagai pihak yang selayaknya dan sepatutnya ditumpahkan segala kecintaan dan kasihsayangnya, memelihara dan memperjuangkan hak-haknya dan membentenginya dari segala bentuk serangan pihak musuh.

Politik kasihsayang hari ini sudah dilupai sebahagian pendakwah Islam dan juga ahli-ahli politik Islam, baik dari pihak mana sekalipun. Ia seolah-olah dipinggirkan dalam medan persaingan memasarkan produk-produk politik mereka ataupun diletakkan di rak-rak belakang, kerana yang "laku" dan "panas" hari ini adalah produk yang berlabel: Jatuhkan! Singkirkan! Aibkan! Musnahkan!

Bilakah telinga kita akan diisi dengan bisikan kasihsayang dan persaudaraan sesama Muslim di dalam kempen-kempen politik hari ini?

Di manakah kita akan saksikan tiadanya kalimat cacian, cemuhan, fitnah dan kedengkian dilontarkan oleh para penceramah yang berdiri atas pentas politik atau dakwah?

Apakah kita masih berpeluang mendengar seruan ke arah kesepakatan, permuafakatan, tolong menolong, persahabatan, mengutamakan kepentingan saudara Muslim yang lain dan mencintai saudaranya melebihi kecintaan kepada diri sendiri?

Atau tergamak kah kita untuk melemparkan politik kasihsayang yang mulia itu ke belakang demi sebuah rangkulan dari sang musuh yang penuh tipu muslihatnya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan