Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Ahad, 17 November 2013
Isu Comango: Pertanyaan Kepada Parti-parti Politik Malaysia Dan Ngo-Ngo Islam.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, seorang pengundi dan seorang individu dari kalangan umat Islam di tanahair berdaulat ini, saya ingin bertanya:
1. Apakah pendirian parti-parti politik UMNO, PAS, DAP, PKR dan belasan lagi parti yang ada terhadap isu Comango?
2. Apa pula sikap dan pendirian Ngo-Ngo Islam seperti ISMA, IKRAM, ABIM, HALUAN dan lain-lain NGO Islam terhadap isu yang sama ini?
Antara tujuan para penggerak Comango adalah supaya kerajaan Malaysia menerimapakai (dan memperkasakan melalui penggubalan undang-undang) segala tuntutan Comango yang mereka telah lobikan di Geneva baru-baru ini.
Tuntutan-tuntutan yang melanggar Syara’, mereka telah selimutkan di bawah nama kebebasan, hak asasi, persamaan dan ketelusan. Tujuan mereka, supaya masyarakat umum dan umat Islam tidak sedar akan tipu muslihat dan strategi halus mereka supaya kerajaan Malaysia tertekan (dan akhirnya akur) dengan tekanan antarabangsa (yang kumpulan pendesak ini telah pengaruhi di anjung-anjung Geneva).
Kenapa saya bertanya demikian?
Jawabannya ialah kerana: Siapa sahaja atau parti politik mana sekalipun yang memerintah Malaysia perlu menangani dan memberi respon rasmi secara terang dan telus kepada kajian Universal Berkala (Universal Periodic Review) bila tiba giliran Malaysia di Geneva baru-baru ini. Tekanan (secara diplomatik) akan terpaksa dikunyah oleh pihak pemerintah, sama ada untuk menerimapakai (kemudiannya melalui undang-undang) atau menolaknya.
Kedua-dua pilihan ini mempunyai impak dan kesan tersendiri kepada pihak pemerintah yakni Kerajaan Malaysia dan juga rakyat.
Sekiranya kerajaan Malaysia menerima tuntutan-tuntutan penggerak-penggerak Comango ini, bermakna agenda Liberal, “Hak Asasi”, Pluralisme, Syi’ah, Kristianisasi dan seumpamanya telah berjaya secara besar-besaran.
Sekiranya kerajaan Malaysia menolaknya, bermakna kerajaan terpaksa berhadapan dengan tekanan pusingan kedua dari dalam dan luar negara supaya menerima juga tuntutan-tuntutan Comango ini.
Jangan lupa, pelobi-pelobi Comango dan rakan-rakan sejawat mereka masih boleh mencapai hasrat mereka melalui hubungan ekonomi (sama ada melalui termetrainya perjanjian dagang atau kerjasama ekonomi serantau) antara kerajaan (G 2 G) tanpa perlu bersusah payah.
Ini adalah permainan antarabangsa ya!
Sebab itu saya menanyakan sikap dan pendirian antara PR dan BN serta Ngo-Ngo Islam di Malaysia berhubung tuntutan-tuntutan Comango ini.
Pendirian siapakah di antara dua blok gabungan parti-parti politik ini yang lebih hampir kepada aspirasi Comango atau memiliki jalur agenda perjuangan yang hampir serupa?
Siapakah pula di antara dua blok besar ini akan menjadi ayam tambatan penggerak-penggerak Comango untuk mengarus perdanakan perancangan mereka?
Siapakah antara PR dan BN akan menjadi pelindung atau perantara (conduit) untuk melicinkan perjalanan dan pengembangan agenda Comango di tanahair?
Siapa yang lebih mesra Comango, BN atau PR?
Beralih kepada Ngo-Ngo Islam yang ada di Malaysia, apakah dan di manakah pendirian anda?
Mahu tau tidak mahu, secara sedar atau sebaliknya, anda semua telah ditakdirkan untuk berperanan dalam isu ini.
Masyarakat dan umat Islam khususnya tentu ingin tahu apakah “stand” anda dalam pertempuran ideologi sengit yang bakal mencorakkan masa depan watan umat Islam ini.
Ahli-ahli pertubuhan anda semua berhak tahu dan diberitahu!
Perkara ini bukanlah satu permainan bermusim yang akan berlalu untuk digantikan dengan permainan baru untuk musim baru pula. Ia adalah agenda tetap pertarungan antara dua ufuk dan dua identiti.
Kalau anda memilih untuk bertindak dan menyatakan pendirian, mudah-mudahan pilihan dan tindakan anda diberkati dan mendapat taufik dari Allah. Dan sekiranya pilihan anda tepat, ia akan terpahat pada lembaran sejarah yang boleh dibanggakan oleh generasi seterusnya.
Akan tetapi kalau anda memilih untuk berdiam diri, berpangku tangan, atau sekadar menjadi penonton bisu semata-mata, maka selesalah keberadaan anda dengan hidup di dalam tempurung kaca - anda dan para pengikut anda.
Sikap demikian bukanlah satu rekod kecemerlangan yang patut dibanggakan!
Dalam analisis terakhir, pilihannya terletak di tangan kita semua.
Maka, sudahkah kita membuat keputusan?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan