Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Isnin, 22 April 2013
Saksi Mata: Padang Serai 20 April 2013
Tanggal 20hb April 2013 adalah hari penentuan pertama bagi seluruh rakyat Malaysia yang akan mengetahui siapakah calon-calon parti yang akan bertanding untuk mengisi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Bagi ahli-ahli ISMA pula, tarikh di atas memiliki ramuan dan keistimewaan tersendiri. Ini adalah kerana buat kali pertama di dalam rentasan sejarah sejak ISMA ditubuhkan, ISMA menghantar beberapa ahlinya untuk bertanding di dalam pilihanraya umum atas tiket parti BERJASA.
Ramai orang dan banyak pihak akan memberi komentar dan membuat analisa masing-masing. Ada yang terkejut, ada yang keliru dan ada yang marah. Tidak kurang pula yang sangat senang dan turut mengalu-alukan.
Adapun buat diri saya, saya sekadar ingin mencatatkan satu pemerhatian sepintas lalu sahaja terhadap fenomena baru bagi ISMA dan ahli-ahlinya yang pertama kali menapak masuk dalam gelanggang pilihanraya kali ini. Saya tidak akan menyenaraikan siapa dan berapa kerusi yang ditandingi ahli-ahli ISMA ini. Atau sama ada bertanding di Parlimen atau DUN - itu sudah dihebahkan melalui laman sesawang ISMA atau Arus Baru sendiri.
Saya ingin lontarkan bahawa seluruh ahli ISMA, baik di dalam negara atau di luar negara telah menyaksikan dan memperlihatkan senario natijah Tarbiyah yang terpancar dan dihayati di lapangan dan medan terbuka secara serentak di seluruh negara khususnya di lokasi-lokasi penamaan calon. Bukan secara terpencil tetapi secara tersusun.
Bukan untuk memuji diri sendiri tetapi itulah persaksian yang saya dengar dengan telinga sendiri ketika berbual dengan beberapa anggota polis dan juga pegawai atasan mereka. Tidak ada komen lain melainkan rasa kagum, hormat dan peliknya mereka melihat fenomena yang mereka saksikan pada diri ahli-ahli ISMA, lelaki dan perempuan, yang berkumpul beramai-ramai untuk menyokong calon mereka yang terdiri dari sahabat mereka sendiri.
Ahli-ahli dan penyokong-penyokong ISMA disifatkan sebagai kumpulan yang paling berdisiplin, tenang, berhemah, sopan dan menghormati pihak lain dan mereka melahirkan rasa kekaguman ini berdasarkan apa yang mereka saksikan di hadapan mereka. Jauh berbeza, kata mereka, dengan keadaan dan suasana yang melazimi parti-parti politik yang lain.
Inilah caranya bagaimana hari penamaan calon seharusnya diwarnai - dengan zkir, do'a, tilawah, tahmid, takbir dan lafaz-lafaz Salawat, ulas mereka lagi.
Saya merasa sangat tersentuh di hati, bukan kerana pujian atau penghormatan yang diberikan, tetapi kepada qudwah yang dipersaksikan oleh seluruh ahli dan pendokong ISMA sendiri. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui akan debaran di hati ahli-ahli ISMA ketikamana calon-calon ISMA melangkah masuk ke dalam dewan penamaan calon.
Rumput, pasir dan panas matahari menjadi saksi akan bacaan-bacaan do'a, zikir Ma'thurat, tilawah Al Quran yang mengisi ruang angkasa sementara menunggu keputusan disuarakan oleh pihak yang berkenaan. Degupan jantung yang berdenyut kencang di jiwa mereka - antara perasaan takut dan pengharapan yang tinggi.
Tanpa kalian sedari, apa yang dipersaksikan pada tarikh bersejarah itu adalah satu langkah permulaan untuk memperkenalkan ISMA dan keistimewaan Tarbiyahnya kepada masyarakat. Kalian tidak mampu menarik minat atau melunakkan hati umat Islam dengan kobaran semangat di pentas-pentas ceramah, atau kuliah atau syarahan yang dihadiri ribuan manusia atau kalam-kalam retorik di alam maya ataupun juga perdebatan-perdebatan sengit.
Semua itu akan berfungsi dengan baik bilamana berlaku pembentukan peribadi, penyerahan hati, jiwa dan perasaan, ujian keikhlasan dan ukhuwwah serta pengorbanan harta benda, masa dan keringat. Amal-amal itu juga akan menjadi berkesan apabila para pendengar atau hadirin disatukan atas ikatan keimanan dan ukhuwwah sejati.
Dan semuanya akan gagal kalau tiada keikhlasan pada diri sang Muslim dan ketidak jelasan matlamat dan halatuju perjuangan, termasuk alasan menyertai medan politik dan piliihanraya.
Tanpa memuji secara berlebihan atau mengagung-agungkan, ahli-ahli ISMA telah berjaya membuktikan kemurnian Tarbiyah mereka dan kekuatan hujah mereka ketikamana mereka mengambil dan membuat keputusan untuk memastikan suara Islam dan kepentingan Ummah dapat dibela serta dipertahankan melalui penyertaan di dalam pilihanraya umum.
Seluruh ahli dan warga ISMA faham bahawa penglibatan di dalam pilihanraya umum adalah terjemahan praktis kepada apa yang mereka selalu hadham dan cerna melalui kuliah, usrah, daurah dan seumpamanya. Tarbiyah itu tidak akan jadi lengkap dan sempurna tanpa penzahiran diri di tengah masyarakat, tanpa tersebarnya dakwah yang diyakini, tanpa diarusperdanakan agenda untuk menyelamatkan Ummah dan membina kesepakatan atas dasar-dasar Islami sendiri.
Saya tidak bermaksud untuk berkongsi kisah-kisah menarik tentang pengalaman manis yang dirasai ketika ahli-ahli ISMA saling berganding bahu untuk melaksanakan segala tugasan yang berkaitan dengan proses pilihanraya.
Cukuplah dinyatakan bahawa pengalaman ini - ukhuwwah dan mahabbahnya, cinta dan kasih sayangnya, keringat dan airmatanya, gurau tawanya, juadah dan jamuannya, mata yang mengantuk, badan yang keletihan, fikiran yang diperah sehabis-habisnya dan wang serta harta yang diinfakkan … insyaAllah, itu semua adalah di antara nikmat dan anugerah yang paling indah dan paling mahal sekali.
Di hadapan kita, jalan masih panjang. Menuntut lebih banyak kesabaran, saling menasihati dan memperingatkan, saling menegakkan kembali yang terjatuh dan saling menegur yang lalai dan khilaf.
Saya mendapati agak sukar untuk menamatkan ketukan pada papan keyboard ini memandangkan banyak lagi yang saya ingin kongsikan dengan seluruh ahli keluarga dan warga ISMA yang sangat besar ini tapi saya merasa sangat bersalah kerana tidak dapat memberikan yang terbaik dan paling maksima daripada apa yang telah dicontohkan oleh adik-adik dan anak-anak ISMA yang lain.
Akan tetapi izinkan saya sekadar tumpang berteduh bersama-sama keluarga besar ISMA ini (di dalam dan luar negara) dalam Bahtera Dakwah yang ingin melakarkan satu sejarah baru dan meletakkan batu-batu tanda kepada generasi pewaris Risalah ini.
Semoga Allah mengampuni kita semua dan menerima segala amal kita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)





Tiada ulasan:
Catat Ulasan