Khamis, 29 Mei 2014

Memilih Antara DAP Atau MCA Yang Sama-sama Membawa Mudharat

"Usah Ragu Undi Dyana Sofya": Akhbar Harakah.


Melihat tajuk akhbar Harakah ini, saya berpandangan bahawa gabungan parti-parti politik pembangkang sudah panik (atau DAP yang panik sebenarnya) hingga terpaksa menggunakan khidmat Presiden PAS untuk memujuk para pengundi Melayu Teluk Intan untuk memenangkan calon DAP.

Saya lebih suka melihat isu ini dari sudut pandang berbeza.

Ketepikan dahulu isu sekitar calon DAP Melayu yang membuatkan para pemimpin PAS kerap tersalah tingkah dan terkantoi dengan hujah-hujah sendiri yang saling bercanggahan antara satu sama lain, khususnya dalam isu mengundi calon Muslim yang fasiq berbanding calon kafir yang kufur.
Isu ini telah disentuh dalam satu status saya terdahulu: (https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/785276054829740).

Adalah ditegaskan bahawa DAP (dan juga MCA serta Gerakan, by natural extension) tetap membawa agenda politik yang sama sekali bercanggah dengan kepentingan Islam dan umat Islam).
Dalam kalimah berterus terang, mereka membawa agenda kufur.

Itulah yang mereka perjuangkan.

Bolehkah sesiapa di sini (contohnya Ketua Dewan Ulamak PAS) menerangkan kepada kita semua status dari sudut Syara’ akan kedudukan parti politik yang secara terang-terangan dan konsisten membawa agenda kufur?

Tolong “fatwa”kan dengan terang, jelas dan bersandarkan dalil bahawa perjuangan DAP (termasuk MCA dan Gerakan) adalah Syari’i, supaya umat tidak menghadapi dilema atau kemusykilan untuk memilih parti politik ini ataupun calon mereka.

Adakah di sana terdapat sebarang khilaf kalau kita menyatakan bahawa apa sahaja persefahaman, memorandum, perjanjian atau kerjasama antara mana-mana organisasi atau parti politik (apatah lagi kalau melibatkan nama Islam) MESTI patuh kepada Syara’?

Nilai manakah yang perlu diutamakan dan diperjuangkan dalam situasi keterpaksaan menjalinkan hubungan dengan parti-parti politik yang membawa agenda kekufuran - nilai Syara’ atau nilai yang tidak Syara’?

Bolehkah kita memberi ruang kepada parti-parti politik beragenda kufur itu untuk memaksakan kehendak mereka (di mana seringkali tuntutan-tuntutan mereka itu sangat merugikan umat Islam dan membelakangkan nilai Syara’ dan juga kedaulatan Islam) dan seterusnya membiarkan umat Islam secara umumnya turut bersubahat dalam menjayakan agenda kufur tersebut?

Lebih dahsyat dan mengelirukan lagi apabila organisasi-organisasi Islam lainnya dan para ahli atau pendokong parti-parti politik (yang seangkatan dan sehaluan dalam kerjasama politik) perlu dikerahkan untuk membantu memenangkan calon yang mewakili parti yang membawa agenda kufur!
Lebih memalukan pula kalau para pimpinannya tanpa segan silu turut mempromosikan “kewajaran” dan “keharusan” mengundi calon tersebut.

Begitulah “faudho’” (kelamkabut dan serabutnya) apabila kepentingan politik mengatasi segala-galanya, meskipun nilai Syara’ dan kepentingan umat Islam harus/perlu dikorbankan dalam proses untuk mencapai cita-cita politik tersebut.

Sebaliknya, parti politik DAP yang sekular, cauvinis, sosialis dan evangelis ini TIDAK PERNAH mengorbankan walau secebispun agenda dan ideologi perjuangannya. Baik ketika ia bersendirian mahupun ketika ia bergabung dengan mana-mana parti politik.

Ia tetap istiqamah dalam agenda kekufurannya.

Apapun strategi dan sepak terajang politiknya (termasuk dengan meletak calon Melayu) tidak terkeluar dari kerangka tradisinya yang pekat dengan agenda anti-Syara’.

(https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/784205748270104)

 Umat Islam tidak akan tertipu atau diperbodohkan selama-lamanya.

Kesimpulannya:

Tahi lembu itu tetap tahi lembu, walaupun anda menghiasnya dengan icing, chocolate rice, strawberry sauce dan manikoram yang menawan sepertimana yang anda boleh lihat pada kek-kek yang dijual di Secret Recipe!

Sifat, hakikat, jatidiri, makrifat, wujud, bau, rasa dan namanya tetap tahi lembu.

Itulah “dhawabit”nya sampai bila-bila.

Jumaat, 23 Mei 2014

PRK Teluk Intan: Satu Hipotesis


Sekadar satu andaian/hipotesis semata-mata:

Katakanlah DAP dan Gerakan masing-masing meletakkan calon berbangsa Cina di Teluk Intan. Memandangkan taburan pengundi Cina adalah 50% lebih, maka undi boleh pecah di antara para pengundi tersebut. Para pengundi Cina mungkin menyukai DAP tetapi Teluk Intan adalah kubu tradisi Gerakan yang calonnya juga mempunyai pengaruh yang tidak kurang penting dan meluas.
DAP mungkin perlu mendapatkan tambahan undi dari para pengundi Melayu (hampir 40%) untuk menang tipis atau sekurang-kurangnya mengimbangi jumlah peratusan pengundi yang memihak kepada Gerakan.

Para petugas pilihanraya, khususnya dari parti PAS mungkin tidak akan mempunyai alasan atau motivasi yang tinggi untuk memenangkan calon Cina dari DAP atau meraih undi dari kawasan pengundi Melayu. Besar kemungkinan para pengundi Melayu tidak akan keluar mengundi pun.
Satu strategi yang paling berkesan dan mungkin membantu DAP untuk mencapai matlamat dan tujuan politiknya ialah dengan meletakkan calon Melayu yang penting kedudukannya di dalam hirarki kepimpinan DAP. Calon Melayu yang dipertaruhkan oleh DAP sudah tentu dapat merancakkan lagi senario PRK di Teluk Intan.

Parti Gerakan dan jentera pilihanraya Gerakan perlu berhadapan dengan calon yang muda, terpelajar, menarik perawakannya dan terpenting meyakini agenda dan falsafah perjuangan parti (walaupun Melayu) dan para pengundi Melayu akan terkesan dengan kehadiran seorang calon Melayu yang “mungkin” boleh diharapkan untuk membela kepentingan Melayu di Teluk Intan.

Parti dan pimpinan PAS pula terpaksa berhempas pulas untuk menangani satu dilema untuk meyakinkan para petugas dan jentera pilihanrayanya untuk menyokong dan membantu calon Melayu dari DAP yang dipertikaikan kewibawaannya dari segi pematuhan kepada tuntutan Syara’ (tidak tutup aurat dan dikategorikan sebagai "Muslim yang fasiq”) dan membawa agenda yang bercanggah dengan Islam (falsafah perjuangan DAP yang bersifat sekular dan sosialis).

Mereka (PAS) terpaksa menelan kembali pahitnya dan kotornya ludah mereka sendiri dan pada waktu yang sama perlu memastikan kemenangan bagi calon Melayu DAP, khususnya dari 40% pengundi Melayu.

Di akhir analisanya, DAP tidak rugi apa-apa. Dan dengan meletakkan calon wanita Melayu, parti itu dan pimpinan DAP berharap satu kejutan dan “precedent” boleh berlaku di Teluk Intan berdasarkan pertimbangan dan faktor-faktor di atas.

Jadi, faktor undi Melayu sebagai elemen penentu kemenangan calon-calon yang bertanding tidak boleh diperkecilkan atau diremehkan.

Kedua-dua parti yang bertanding itu sangat memerlukan undi-undi penentu dari kalangan para pengundi Melayu.

Dan kedua-dua parti itu juga sangat konsisten dalam penentangan mereka terhadap Hudud/ Syari’ah Islam atau perlaksanaannya!

Kasihan orang-orang Melayu/Muslim Teluk Intan.

Anda terpaksa membantu dan memberi kemenangan kepada pihak yang tidak pernah setia atau ikhlas terhadap kepentingan anda!

Pentingnya anda hanyalah sekadar alat untuk ketamakan pihak musuh terhadap kuasa!

Barangkali satu cara untuk mengajar kedua-dua parti DAP dan Gerakan ialah dengan MEMBOIKOT sama sekali PRK kali ini atau memBERI UNDI ROSAK sebanyak 40%!

Kalau anda semua mampu berbuat demikian, bermakna yang menang di dalam PRK Parlimen Teluk Intan adalah bangsa Melayu dan umat Islam sendiri!

“Lets teach them a lesson they’ll never ever forget”!

Khamis, 22 Mei 2014

Antara Nostalgia Dan Flashback PRU13.


Ada seorang tokoh sebuah parti politik berhaluan Islam berhujah:


Antara calon Muslim yang fasik dengan seorang calon kafir yang kufur, perlu pilih calon Muslim yang fasiq. Sebabnya - dari segi martabat, seorang muslim yang fasiq adalah lebih baik dari seorang kafir. Walaupun fasiq, dia tetap mempunyai aqidah yang mentauhidkan Allah.

Keunikan kes di atas kerana kedua-dua calon yang bertanding di PRK Parlimen Teluk Intan ialah kedua-dua parti yang diwakili oleh calon-calon tersebut tidak membawa agenda Islam dan tidak juga bersetuju dengan perlaksanaan Hudud/Syari’ah di Malaysia.

Manakala di PRK Parlimen Bukit Gelugor pula, ada calon Muslim (yang tidak menolak Hudud/Syari’ah) dan yang bertanding melawan calon kafir yang kufur. Uniknya PRK di sini, calon kafir yang kufur itu mewakili parti yang tidak membawa agenda Islam dan juga tidak bersetuju dengan perlaksanaan Hudud/Syari’ah.

Kalau ikut logik bagi PRK Parlimen Teluk Intan, PRK Bukit Gelugor juga kena gunapakai hujah yang sama. Malah nisbah yang tinggi lebih memihak kepada calon Muslim yang tidak tolak Hudud dan perlaksanaan Syari’ah.

Semasa PRU13, ISMA menghantar beberapa ahlinya bertanding di beberapa kerusi Parlimen/DUN melawan calon-calon kafir yang kufur dari pelbagai parti.

Akan tetapi, calon-calon yang terdiri dari ahli-ahli ISMA itu (yang membawa agenda Islam) mendapat layanan dan penghujahan yang terbalik dari apa yang sedang dipromosikan untuk calon Muslim fasik di Teluk Intan.

Adakah kerana calon-calon tersebut terdiri dari ahli-ahli ISMA?

Atau barangkali beliau sudah dijangkiti dengan sindrom Melayu mudah lupa?

Atau penggunaan kaedah Fiqh itu bersifat “selective” sahaja - boleh dipilih dan digunapakai sesuka hati?

Mana yang sesuai atau membawa kemaslahatan dan “political mileage” kepada parti akan diwiridkan setiap hari manakala kalau penggunaannya akan memberi kelebihan atau “advantage” kepada pihak yang tidak sehaluan, tiba-tiba akan dimansukh kan?

Alangkah lucunya situasi ini.

Adapun bagi saya sebagai ahli ISMA, saya dengan rasa rendah hati hanya akan berkata: Allahu Akbar wa Lillahil Hamd.

________________________________

Nota hujung:

Saya bukanlah orang yang memulakan penggunaan istilah kafir yang kufur untuk salah seorang calon di PRK Bukit Gelugor ya …