Jumaat, 27 Mei 2011

Sebelum Ukhuwwah Mengucapkan Selamat Tinggal … Sebelum Cinta Melangkah Pergi …



Anda seorang individu yang telah lama berkecimpung dalam medan dakwah. Ataupun baru berjinak-jinak. Anda barangkali sudah melalui pelbagai liku dan selok belok perjalanannya, bertemu dengan berbagai-bagai ragam tingkahlaku dan penampilan tokoh-tokoh dan para pendokongnya. Anda juga mungkin seorang yang lantang bersuara atau diam membisu. Boleh jadi anda suka bekerja dalam diam atau beramal secara terang. Anda sukakan majlis-majlis dan keramaian, progrem besar dengan segala panitianya ataupun agak sulit pula menempatkan posisimu dalam acara-acara umum.


Ataupun anda bersifat begini dan begitu …


Ini pandanganku:



Walau apa dan di mana sekalipun kedudukan kita dan walau lama dan baru sekalipun penglibatan kita, kita tidak boleh lari walau sejengkal dari anasir-anasir yang menjadi tali pengikat yang menguatkankan hubungan kita iaitu Ukhuwwah dan Mahabbah, selepas Iman dan Aqidah kita kepada Allah Taala.


Berapa ramai di antara pendokong yang kecundang di tengah jalan dari kalangan teman dan kenalan kita. Betapa pula hubungan yang dahulunya mesra menjadi renggang hanya kerana perbezaan pandangan dan khilaf dalam membuat keputusan. Wajah yang dahulunya manis berseri ketika bertemu kini masam mencuka. Memori kebersamaan dilupuskan dari kalbu dan perasaan. Masa terus berlalu dan umur kita pula semakin meningkat.


Ini di antara realiti yang boleh menimpa mana-mana jamaah Islam.


Ataupun semakin lama kita berkecimpung dan terlibat dalam medan (atau setakat pinggiran) dakwah, amal kita semakin lesu dan semangat kian pudar, manakala beban dan tanggungjawab semakin banyak. Kemudian ditambah pula dengan rasa kemalasan yang sering menggoda atau keputusasaan yang berpanjangan.


Dan natijahnya pula dari segala penat lelah kita sama sekali tidak memberangsangkan!


Anda mungkin akan berkata, “ Saudara seorang yang begitu pesimis sekali!”.


Mungkin juga atau barangkali ada faktor lain yang mewarnai kemuraman realiti kita?


Pada pandangan saya, kita telah melupakan atau kurang menumpukan perhatian kepada unsur Ukhuwwah dan Mahabbah sesama kita. Kita mungkin beranggapan ia akan muncul dengan sendirinya di celah-celah amal kita atau memancar terang di dalam aktiviti-aktiviti perkhemahan, perjalanan bersama, riadah, mesyuarat dan sebagainya. Ataupun ketika kita bertemu sekali sekali apabila terdapat progrem-progrem besar peringkat nasional.


Tidak dinafikan Ukhuwwah atau Mahabbah itu tidak boleh dibuat-buat atau dipaksakan ataupun di modul kan.


Akan tetapi yang saya maksudkan ialah bahawa kedua-dua unsur itu seharusnya menjadi anasir kekal dalam perasaan dan pandangan hidup kita. Ia seharusnya menjadi satu sifat yang berakar umbi dalam identiti kita. Ia juga seharusnya menjadi elemen yang melembut dan mencairkan hati-hati kita setelah begitu lama hati kita dikesatkan dengan peredaran masa yang begitu panjang. Ia perlu diuji supaya dapat dinilai kematangannya dalam setiap individu Muslim yang bersama kita, termasuk diri kita sendiri. Ia juga sepatutnya memjadi benteng ghaib yang memagari perbincangan atau perdebatan sengit di kalangan kita.


Bukankah Ukhuwwah dan Mahabbah itu sebahagian dari perbekalan kita?


Adakah aktiviti kita perlu digerakkan atau berjalan tanpa senda loka atau gurau dan tawa?


Kita tidak perlu kepada checklist untuk memeriksa perkara-perkara berikut:


Kekerapan ziarah mingguan
Berapa kali hantar SMS kepada teman-teman


Berapa kali bersenda gurau atau melemparkan senyuman


Berapa kali bagi hadiah kepada kawan-kawan


Kekerapan mendoakan sahabat dan teman-teman kita


Berapa kali menasihati dan menyelesaikan masalah kewangan dan peribadi teman yang lain


Kekerapan menjamu sahabat-sahabat kita
.


Dan seterusnya …


Bangsa Melayu memang terkenal dengan sifat ramah tamah dan mudah mesranya. Lazimnya Melayu disama ertikan dengan kelembutan peribadinya dan adab susilanya serta sikap toleransi dan budi pekerti yang halus. Bangsa Melayu juga kaya dengan sastera dan bahasa yang penuh kiasan dan halus. Ini antara ciri-ciri yang mampu menguatkan ikatan silaturrahim, kasih sayang dan kecintaan sesama kita bilamana ia diwarnai dan dibentuk oleh Islam.


Kita juga amat memerlukan kepada Ukhuwwah dan Mahabbah (selain sifat-sifat dan ciri-ciri lain seperti Sabar, Istiqamah dan lain-lainnya) di saat melalui mihnah dan tribulasi ataupun ejekan dan fitnah serta tipu daya pihak musuh atau para pendengki. Ukhuwwah dan Mahabbah yang kita ingin bina bukannya bersifat Ukhuwwah Jam’iyyah seumpama ketika berpersatuan dan seumpamanya. Akan tetapi yang bertunjangkan Ta’aruf yang mendalam terhadap sesama sahabat dan teman-teman dalam amal dakwah.


Ia juga seharusnya menjadi salah satu unsur yang tidak boleh diabaikan, pada pandangan saya, dalam proses transformasi ummah dan nasional yang kita idam-idamkan.


Sebagai renungan terakhir, izinkan saya memetik beberapa pandangan tulus seorang Da’i yang mulia bernama Syaikh Abbas Assisi di dalam risalah kecilnya bertajuk Dakwah dan Cinta Ke Jalan Allah:


“Cinta kepada Allah (SWT) adalah cita rasa dan rezeki dan rezeki itu pula bukanlah pada harta sahaja. Kerana sesungguhnya taqwa itu adalah rezeki dan iman itu adalah rezeki. Bukankah kekayaan, redha, aman dan ketenangan itu merupakan hasil-hasil daripada persaudaraan? Manakah rezeki yang lebih besar daripada ini? Tidakkah anda merasakan di dalam perhimpunan kita, satu kebahagiaan yang mengatasi kemanisan benda dan kekuasaannya? Tidakkah anda merasakan di dalam kejernihan jiwa kita dan benarnya cinta kita, terdapat satu perkara yang lebih mahal daripada hidup itu sendiri?”



Beliau juga tidak ketinggalan berpesan dan berwasiat kepada kita:


“Sesungguhnya kamu mesti membangkitkan ruh cinta di antara ikhwan seluruhnya. Inilah dasar pokok dari asal dakwah kita. Sekiranya cinta ini tidak ada, nescaya tidak ada sesuatu yang tegak untuk kita dan tidak ada jamaah bagi kita. Kerana kita kenal dan kita juga mempelajari bahawa sesungguhnya


“Dakwah itu adalah cinta dan cinta itu adalah dakwah dan tidak ada dakwah tanpa cinta”.
Pengertian besar ini tidak mungkin dapat disuburkan kecuali oleh orang-orang yang mempunyai akal yang besar yang dapat merasakan pengertian ini sebagai satu hakikat yang hidup di dalam perasaan dan lubuk hati mereka. Kita juga pada hari ini tidak dapat melarikan diri dari hakikat ini. Kita benar-benar memerlukan supaya ‘Ruh’ ini kembali semula kepada kita. Cinta itu adalah ruh dakwah. Sekiranya hati itu adalah ruh kepada jasad, maka sesungguhnya cinta itu adalah ruh kepada dakwah ini.”





Demikianlah betapa perlunya kita kepada Ukhuwwah dan Mahabbah sepanjang perjalanan kita.


Kalau kedua-duanya sudah kehilangan dari jasad dan nadi kita, akan terkandas jugalah cita-cita kita untuk Membina Generasi Harapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan