Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Selasa, 5 Jun 2012
Anda tidak bersetuju dengan ISMA?
Kepada saudara-saudara yang tak bersetuju dengan ISMA atau dengan slogan dan agenda ISMA...
Alhamdulillah Islam mengajar kita supaya berlapang dada dan berbesar hati. ISMA sangat mengalu-alukan komen dan kritikan anda semua.
Alhamdulillah juga apa yang ingin dibawa oleh ISMA semakin mendapat tempat di hati masyarakat, dan kami tidak mendakwa kesempurnaan itu ada pada kami.
Kalau anda semua merasakan apa yang ISMA bawa itu salah dan tidak syari'i, maka tunjukkanlah kesalahan kami di sudut syari'i juga, atau kalau rasa ISMA mengganggu hidup anda, maka jauhkanlah diri anda darinya.
Kalau ISMA menyeleweng, InsyaAllah ahli-ahlinya sendiri yang akan membetulkannya atau menegur pemimpin-pemimpinnya.
Sekiranya anda semua berpendapat ada slogan lain yang lebih sesuai atau lebih baik, maka persembahkanlah slogan tersebut kepada masyarakat dan bersungguh-sungguhlah anda semua untuk beristiqamah dengannya.
Ada jutaan lagi umat Islam di Malaysia yang perlu diselamatkan aqidahnya, akhlaknya, jati dirinya, masa depannya dan survivalnya. Dan apa yang ISMA cuba lakukan hanyalah sekelumit kecil sahaja daripada usaha-usaha besar yang perlu galas oleh semua pencinta dan pendokong Islam, dalam kapasiti masing-masing dan menurut kemampuan masing-masing juga.
Kami tidak akan bersikap apologetik terhadap agenda kami dan pada wktu yang sama tidak pula memandang hina atau merendahkan apa yang kumpulan, organisasi atau jamaah lain bawa. Kita semua mesti yakin atas agenda masing-masing 'ala Basirah.
Dan tidak, ISMA ditubuhkan bukan sebab berpecah dari mana-mana organisasi, bukan sebab tidak percaya kepada mana-mana pimpinan, bukan sebab iri hati atau tidak setuju dengan sesiapa, bukan sebab nak meramaikan/membanyakkan lagi jamaah-jamaah Islam, bukan sebab dipengaruhi oleh sesiapa, bukan juga proksi mana-mana parti politik.
Kami ada agenda tersendiri yang kami rumuskan dari penggalian terhadap sejarah bangsa Melayu dan terpahat kukuh pada jati diri kaum Muslimin khususnya di Malaysia.
Mari bertaaruf, belajar dan bergerak bersama-sama ISMA untuk sedetik dua. Sekiranya anda berpuashati dengan kami, maka bergabunglah dengan kami.
Kalau anda tidak yakin atau merasakan ISMA melambatkan kemenangan dan kemajuan ISLAM, tidak mengapa dan kita masih dapat berukhuwwah dalam suasana Mahabbah.
Mudah-mudahan Allah menerima semua amal kita.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan