Jumaat, 9 November 2012

Pendakwah Yang Bermain-Main



Dari kalam Muhammad Ahmad ar Rasyid.





[Jazakallahu khairan kathiran Ustaz Mahyuddin Ismail di atas terjemahannya]:


Setengah berpendapat dengan banyaknya langkah-langkah dan perancangan akan menyebabkan bebanan yang semakin berat untuk dipikul oleh para pendakwah. Mereka bertanya :


Bagaimanakah sepatutnya di dalam semua ini?


Bagaimana mungkin untuk seorang pendakwah mengerakan gerakan yang luas di kalangan masyarakat umum, di dalam organisasi kemudiannya terhadap dirinnya sambil berlajar dan beribadat?


Oleh kerana itu,aku berasa sungguh pelik sebenarnya, dan kami tidak mengetahui apa yang mereka sangka agaknya? Apakah mereka berada di serambi falsafah atau apakah mereka berada dalam medan ahli ahli zikir yang beribadah?


Sesungguhnya kamu berada di dalam dakwah wahai ikhwah!


Bagi dakwah ia adalah gerakan fikrah,politik,islah dan akhlak yang meliputi segala bidang hidup (syaamil). Sudah semestilah kepenatan kamu akan bertambah-tambah, berterusan,demikian juga ketekanan terhadap diri dan pengobanan kamu.


Bagi seorang pendakwah muslim tidak sekali akan merasai kemanisan hidup selagi ia tidak bergeletar tangannya dalam keadaan selesai tugasnya apabila ia mengangkat secawan air ke mulutnya yang mahu diminumnya, dan tidak berhak baginya beranggapan di dalam dirinya bahawa dia sudah berkongsi atau terlibat, selagi mana ia tidak tertidur di dalam keadaan duduk kerana dikuasi rasa kepenatan.


Atau apakah sebahagian kamu berasa selesa dan lega dengan kepenatan seumpama ini tetapi kekadar perkiraan sempit sebuah kerajaan dan parti? Oleh itu perkiraan untuk dakwah ini adalah amat besar lantaran dakwah kita buka sekadar dakwah membuat perubahan,memberhentikan kemungkaran, menentang kezaliman dan kamu telah meletakan di depan kamu berbagai kemungkinan samaada penjara, berhijrah dan darah...


Sesungguhnya saki baki dunia adalah apa yang kita nikmati sekarang ini, kita beritahu isteri kita ketika kita meminangnya dahulu di rumah ibubapa mereka, bahawa kehidupan kita dengan mereka adalah singkat dan kebaikan seharian diutamakan dan didahulukan kepada dakwah kita berbanding hak-hak mereka iaitu isteri.

Sabtu, 20 Oktober 2012

Sebahagian Pesanan Khalid Al Walid (R.’A), Pedang Allah



Sebahagian pesanan Saidina Khalid Al Walid (Radhiyallahu ‘Anhu) menjelang Peperangan Ajnadain – 27 Jamadil Awwal. tahun 15 Hijriyyah:


“Ketahuilah, wahai umat Islam, bahwa Anda tidak pernah melihat tentera Rom seperti yang Anda lihat sekarang. Jika Allah mengalahkan mereka dengan tangan Anda, mereka tak akan berani lagi melawan Anda. Jadi bersabarlah dalam peperangan dan pertahankan iman anda. Awas dari membelakangi musuh, untuk kemudian Anda akan diazab di neraka. Berwaspadalah dan tetapkanlah kedudukan Anda …!”



Hari ini umat Islam pastinya tidak lagi berhadapan dengan tentera Rom, akan tetapi bahaya dan ancaman terhadap umat Islam tidak kurang hebat juga.


Kalau dahulu umat Islam berhadapan secara fizikal dengan tentera-tentera Rom dan Parsi, hari ini ancamannya berbentuk satu gerakan dan gagasan yang tersusun, yang memiliki dana dan aset yang cukup banyak, kader-kadernya yang ramai dan cukup terlatih, institusi-institusinya yang serba lengkap, sarana-sarana media dan wasilah-wasilah komunikasi yang serba canggih. mereka juga mempunyai pengaruh yang merangkai dari individu ke tokoh, yang meresapi dan bertapak di agensi-agensi kerajaan, swasta dan persendirian serta mendapat pendedahan dan liputan.


Itulah ancaman dan bahaya terbaru dalam bentuk Liberalisma, Pluralisma, Syi’ah, LGBT dan Hak Asasi Manusia!


Di sebalik ancaman di atas, umat Islam berbangsa Melayu di tanahair ini juga diseliputi awan mendung dan kabus yang tidak disedari:


1. Kejahilan umat terhadap pengertian Islam sebagai satu pilihan terbaik dan agenda mulia yang harus diperjuangkan.


2. Kelesuan dan kekeluan para ulamaknya.


3. Perpecahan tradisional yang tidak kunjung selesai antara parti-parti politik Islamis dan Nasionalis.


4. Hilangnya arahtuju dan keperkasaan generasi muda dan belianya.


5. Kedudukan bangsa lain yang sedang mengambil tempat dan pengaruh, yang sedang mempersiapkan diri dan entiti mereka untuk mengambilalih kekosongan dalam kepimpinan umat Islam berbangsa Melayu.


6. Kelalaian umat Islam terhadap sejarah gemilang mereka sebagai ummah yang memikul amanah dakwah dan menjulang panji Risalah Agung.


7. Keghairahan yang berlebihan terhadap kebendaan dan material.


8. Berkuburnya semangat untuk mengejar kemuliaan, harga diri dan jati diri.



Senario di atas bukanlah alasan untuk kita berpeluk tubuh atau menuding jari ke arah orang atau pihak lain. Dengan mengakui kelemahan dan keterbatasan kita, kita juga tidak ada alasan untuk tidak beramal.


Mahu tidak mahu kita terpaksa memegang kalam dan melancarkan serangan balas terhadap ancaman versi baru yang sedang mengitari kepala kita. Kita tidak ada pilihan lain sekiranya kita ingin melihat kelangsungan generasi selepas kita berada dalam pengawasan dan penjagaan Islam di tanahair.


Kita perlu menggunakan segenap wasilah dan mengerahkan selurih kekuatan dan keupayaan kita untuk berlawan satu sama satu di medan-medan internet, majalah, ceramah, khutbah, kursus, seminar, siaran dan hebahan, latihan dan bimbingan.


Sejarah kepahlawanan, pengorbanan dan keazaman tinggi penuh menghiasi khazanah ilmu kita. Kita tidak hilang atau ketandusan Rijal atau Srikandinya.


Punca kekuatan dan kemuliaan kita masih tersemat di dalam jiwa kita. Ia sedang menunggu masa untuk digilap, dicanai, diproses, diuji dan dihasilkan sebagai satu output dan produk yang ampuh dan berkualiti tinggi.


Umat Islam di tanahair kita sedang menunggu munculnya satu barisan pemuda pemudi dan generasi pewaris Dakwah dan penerus Risalah yang dapat mencabut perasaan kuat dan perkasa dari pihak musuh dan mengembalikannya ke pangkuan umat Islam. Dan melemparkan pihak musuh ke tembok kehinaan.


Dan Saf Terpilih itulah, InsyaAllah, yang akan dapat menterjemahkan ke abad 20 ini, makna dan hikmah dari kata-kata Khalid Al Walid, Saifullah al Maslul:



“Ketahuilah, wahai umat Islam, bahwa Anda tidak pernah melihat tentera Rom seperti yang Anda lihat sekarang. Jika Allah mengalahkan mereka dengan tangan Anda, mereka tak akan berani lagi melawan Anda. Jadi bersabarlah dalam peperangan dan pertahankan iman anda. Awas dari membelakangi musuh, untuk kemudian Anda akan diazab di neraka. Berwaspadalah dan tetapkanlah kedudukan Anda …!”

Khamis, 6 September 2012

Murabbi Boleh Datang Dan Pergi




Murabbi boleh datang dan pergi. Akan tetapi dakwah dan penyebaran fikrah tetap akan berjalan.
Beruntunglah tarbiyah yang melengkapkan ahli-ahlinya dengan ilmu pengetahuan dan kefahaman Islam yang mendalam supaya sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat/diambil adalah berdasarkan hujjah dan dalil, bukan ta'asub kepada pimpinan atau organisasi.


Beruntung jugalah para ibubapa yang anak-anak mereka masih thabat dan istiqamah atas jalan dakwah walau di atas pilihan sendiri - kerana itu melambangkan kematangan berfikir sang anak dan keyakinan atas pilihan yang dibuat. Beruntung jugalah setiap anggota dari mana-mana organisasi kerana memiliki sahabat-sahabat yang boleh diajak berdialog dan berbeza pandangan - kerana Iman dan Ukhuwwah menjadi teman dan mursyid.


Bukankah cita-cita supaya: Di akhirat nanti kita akan kembali kepada kaum dan saudara-saudara kita dengan wajah yang berseri-seri? Adakah kita sudah lupa pesanan dari al Quran agar kita berdoa supaya Allah mengampunkan saudara-saudara kita dan menghilangkan dari dada kita segala dendam kesumat yang terbuku di hati, supaya Allah mengampunkan kelalaian kita dan melenyapkan sikap permusuhan sesama sendiri?


Medan dakwah di Malaysia adalah terlalu luas untuk direbuti oleh insan-insan yang masih irihati terhadap saudaranya. Sedangkan medan dakwah ini perlu digeluti oleh semua individu Muslim, tanpa mengira latarbelakang organisasinya, memandangkan beban dan amanah di hadapan terlalu besar berbanding masa yang diperuntukkan kepada kita secara adil oleh Allah SWT.


Dan pihak musuh merasa lega dan semakin gagah bergerak merencana dan membangunkan agenda mereka tanpa halangan - kerana kita disibukkan dengan pertandingan merebut pengikut dan pengaruh!


Adakah kita bersedia untuk digantikan dengan kaum yang lain, yang bukan seperti realiti kita sekarang ini?

Khamis, 9 Ogos 2012

DAP Konsisten Mempertikai Dan Menolak Hudud



Pihak DAP dan para pemimpinnya (sama ada secara senyap atau terang-terangan) konsisten dalam mempertikaikan isu Hudud di Malaysia, walau cara mereka mempertikaikannya berbeza-beza. Kalau timbul sedikit sahaja suara-suara yang kontra dengan pandangan mereka ini (contohnya dari Ketua Pemuda PAS), maka dengan segera dan spontan Lim Kit Siang atau Joseph Lim Guan Eng menempelaknya. Dan kita masih berbaik sangka dengan mereka atas alasan Tahaluf Siyasi, meskipun terang-terang sikap DAP dan para pemimpinnya amat menyentuh sensitiviti umat Islam. Diamnya ahli-ahli DAP secara tidak langsung melambangkan kesepakatan mereka terhadap sikap yang diambil oleh pemimpin DAP.


Tidakkah menghairankan bila DAP boleh menerima konsep Negara Berkebajikan yang diusulkan PAS sedangkan satu masa dulu mereka sanggup berputih mata dan dilangkahi mayat kalau nak laksanakan Hudud di Malaysia?


Apakah yang telah dikurangi atau dicantas dari konsep asal Negara Islam ini sehingga DAP boleh terima pula konsep Negara Berkebajikan yang diusulkan PAS?


Adakah juga (pada perkiraan anda) DAP telah semakin lunak dan jinak terhadap Hudud kerana telah mendapat tarbiyah dari PAS selama beberapa tahun sejak memenangi pilihanraya umum dulu?


Sungguh malang sekali bila mengenangkan hakikat sejarah di mana British telah memaksakan sistem undang-undang dan pemerintahannya, malah seluruh sistem hidupnya (yang kini diambil alih oleh Amerika Syarikat) ke Tanah Melayu dan menggantikan peruntukan-peruntukan Syari'ah yang beroperasi di negeri-negeri Tanah Melayu ketika itu. Tidak ada seorangpun di antara kita yang mempertikaikan tragedi dan sejarah pilu ini ke atas jantung bangsa Melayu Muslim sehebat dan seghairah DAP mempertikaikan Hudud dan Syari'ah Islam di Malaysia!


Lebih malang lagi bila kita disibukkan dan disempitkan dengan istilah-istilah "Islam sebagai ugama rasmi" sedangkan peruntukan-peruntukan asas sebuah pemerintahan Islam sudah tersedia dan termaktub di dalam hampir semua negeri-negeri Melayu pada ketika itu. Seorang penulis sejarah kolonial British pernah menulis (maaf saya tak ingat tajuk atau pengarang buku itu): "Had it not been for the coming of the British, Islamic law would have been established in the Malay States" [lebih kurang].


Terjemahan bebas: Kalaulah bukan kerana kedatangan British, undang-undang Islam sudah tentu akan dilaksanakan di Tanah Melayu.


Bagaimanapun saya berpandangan kita tidak boleh terlalu bernostalgia terhadap apa yang sudah lepas dari tangan kita. Kita perlu berhadapan dengan realiti masakini yang menyaksikan pelesit British telah kembali dengan wajah baru: Sekularisma, Humanisma, Liberalisma dan Kristianisasi. Tentangan DAP terhadap Hudud hanyalah satu sisi dari beberapa sisi lain yang sedang bergerak cergas tetapi senyap (dan sudah mula berterang-terangan hari ini) untuk meruntuhkan dan membinasakan jati diri bangsa Melayu Muslim dari dalam - supaya tinggallah Melayu sebagai satu bangsa yang telah hilang maruah, keperkasaan dan risalah agung yang pernah menghiasi sejarah Nusantara satu masa dahulu.


Siapa lagi yang memiliki segala ramuan untuk menjadi ummah yang beragenda Islami kalau bukan bangsa Melayu sebagai bangsa tunggak di tanahair kita ini!

Ahad, 1 Julai 2012

Pandangan al Marhum Dr Burhanuddin Helmi - Apakah Perjuangan Kita?



(Artikel ini diperolehi dari seorang ahli ISMA. Maaf, saya terlupa namanya).

Dari lipatan sejarah: Pandangan al Marhum Dr Burhanuddin Helmi - Apakah Perjuangan Kita?

Perjuangan Kita : Melayu atau Malayan  oleh Dr. Burhanuddin Helmi


Dasar dan Tujuan Perjuangan.

Tiap-tiap sesuatu perjuangan itu mesti ada anggar dasar dan tujuannya yang teguh dan nyata didasarkan di atas hak dan keadilan. Misalnya perjuangan agama seperti Islam jika kita simpulkan dasarnya ialah Tauhid Al-Khalik dan tujuannya keselamatan dunia dan akhirat. Perjuangan kebangsaan dasarnya ibu pertiwi  dan tujuannya kemerdekaan penuh bagi anak dan ibu pertiwi (bangsa dan nusa) dalam erti kebebasan dan kemerdekaan.

Perjuangan kebangsaan Melayu dasarnya seluruh ibu pertiwinya dan tujuannya kebebasan dan kemederkaan penuh bangsa dan nusanya. Tiap-tiap perjuangan itu mesti ada rancangan yang teratur tetap dan nyata. Seperti rancangan permulaan, menengah dan kesudahan. Mana-mana perjuangan yang tak terang dasar, tujuan dan rancangannya bukan sahaja akan mengelirukan pengikutnya malah mudah sekali dikelirukan orang-orang sehingga gagal dan menjadi tunggangan kepentingan orang lain. Perjuangan Melayu ragu-ragu sekarang.

Saya telah berulang-ulang menerangkan dan membentangkan perjuangan kebangsaan Melayu yang sebenar dan perjuangan Malayan. Tetapi kerana permintaan yang bertalu-talu dan memandangkan ada golongan bangsa kita yang ragu-ragu keliru dan bingung dimain dan dilambung-lambung oleh gelora pergolakkan politik Tenggara Asia – faham Timur dan Barat – lebih-lebih lagi gelora darurat di tanah air kita yang berlaku sekarang.

Tawarikh dunia menunjukkan berulang-ulang bahawa kekalahan besar bagi sesuatu bangsa itu saban kali berlaku ialah oleh kecuaian, kelemahan dan ketewasan dalam kaum itu sendiri lebih dahulu dikalahkan oleh musuh. Kerana keadaan perjuangan kebangsaan kita sesama kita maklum maka saya perlukan mengulang-ulangnya lagi.

Untuk menolakkan keraguan dan kekeliruan dan memperingatkan supaya perjuangan kebangsaan melayu yang telah diperjuangkan selama ini yang dipusakai turun menurun telah pun memakan penderitaan dan pengorbanan yang tak sedikit jangan hendaknya terpesong dan terkandas atau tenaga perjuangan kebangsaan Melayu (National Forces) yang telah diperjuangkan selama ini bertukar menjadi tenaga perjuangan dan kepentingan orang lain (bukan Melayu).

Hal ini menunaikan terjadi jika tidak lekas disedari atau disedarkan lagi yang mana akibatnya sangat-sangat buruk yang akan dikutuk oleh anak cucu bangsa Melayu di belakang hari. Perjuangan politik kebangsaan Melayu yang sehabis-habis kencang dalam sejarahnya di zaman yang akhir ini ialah dimulakan sesudah Perang Dunia Kedua.

Dengan berlakunya pembubaran dan sekatan badan pergerakan Melayu yang progressif dan tinggal gerakan kanan Melayu yang telah bertelingkah dan timbul pula rancangan Jawatankuasa Perhubungan Kaum (CLC) maka panaslah soal perjuangan Melayu atau Malayankah. Bangsa Melayu tertanya-tanya ke mana mereka dipimpin!

Kita boleh ringkaskan sahaja kesimpulan perjuangan kebangsaan Melayu itu pada pesan Laksamana Hang Tuah “Tak Melayu hilang di dunia” tegasnya mengawal dan memelihara wujud, keturunan, nama kehormatan, kedaulatan dan keagungan Melayu jangan lenyap dan hilang malah timbul, kembang megah dan cemerlang di muka dunia setaraf dengan bangsa-bangsa lain yang hidup dan mulia.

Perjuangan kebangsaan Melayu bukan diundur ke belakang ke zaman keagungan yang lampau atau mara ke hadapan supaya terbabas menjadi malayan yang diperjuangkan oleh orang dagang atau muslihat dagang tetapi perjuangan kebangsaan Melayu mestinya berdiri tegak dan bulat mempertahan dan memelihara hak dan keadilan turun menurun bangsa dan nusa Melayu.

Datang Portugis menjajah tanah air kita datuk nenek kita terus mempertahankan Melayu seperti kata Hang Tuah itu. Datang penjajahan Belanda demikian jua sikap yang diteruskan oleh datuk nenek kita. Datang Inggeris kita dapati semua treaty-treaty diperbuat dengan Raja-raja Melayu tidak ada sama sekali dengan Malayan.

Hal ini amat nyata dan terang Melayu ber-treaty dengan Inggeris dan Inggeris berjanji melindungi negeri-negeri Melayu. Melayu tetap menghormati janji dan menghormati orang-orang dagang daripada apa bangsa jua. Melayu tetap berdiri dan berpegang “Malaya hak Melayu” bukan Malaya hak Malayan, orang Melayu belum pernah menyebut-nyebut apa lagi memperjuangkan cogan yang akhir ini. Sebelum Perang Dunia Kedua tidak pernah orang Melayu memanggilkan dirinya Malayan atau menamakan kelab, perkumpulan, persekutuan, persatuan atau sebagainya dengan nama Malayan tetapi semuanya memakaikan nama Melayu atau Inggeris Malay seperti persatuan Melayu, kesatuan Melayu, persidangan agung Melayu, kongres Melayu seluruh Malaya, Brunei dan Sarawak.

Hinggakan setelah Perang Dunia Kedua timbul pergerakan Melayu yang berterus-terang dan progresif itupun memakaikan nama Parti Kebangsaan Melayu. Dan kemudian timbul lagi Kebangsaan Melayu Bersatu. Tegasnya diri sifat berseorang-seorang, berkelab, ber-association, berorganisasi berparti maka bangsa Melayu semua memakaikan nama Melayu atau Inggerisnya Malay sebagaimana bangsa asing itu berkelab, berkumpulan, berpersatuan memakai dan merupakan bangsanya (Nationality) maka demikian jua bangsa Melayu memakai dan merupakan bangsanya iaitu puak dan nasionalitinya maka bukanlah nama Melayu itu merupakan puak sahaja (Community) atau race tetapi sebenarnya merupakan bangsa (Nationality) atau hasrat kebangsaan Melayu (Malay Nation). Ingatlah riwayatMelayu menentang Malayan Union.


Perjuangan Malayan.

Bila dan bagaimana timbulnya Malayan dan perjuangannya itu bukanlah soal baharu tetapi semenjak nama Semenanjung Tanah Melayu ini ditukar namanya Malaya. Maka yang bersifat dan bernisbah kepada Malaya disebut Malayan seperti India jadi Indian – Amerika jadi American – Indonesia jadi Indonesian dan sebagainya.

Menurut maknanya atau terjemah yang telah dipakai dari mula-mula memakaikan perkataan Malayan itu bererti Melayu sahaja tetapi perkara dan kebenaran mesti diingati sebagaimana yang telah diterangkan orang atau bangsa Melayu tak pernah memakaikan Malayan itu Melayu kerana bangsa Melayu bertetap berbangga dan bermegah dengan sebutan dan nama Melayu atau Malay.

Walaupun menurut istilahnya dahulu Melayu yang mesti memakaikan sebutan Malayan itu bukan orang lain sebagaimana yang terpakai pada ketentuan MCS itu. Siasah pintu terbuka Inggeris berjalan terus – buruh-buruh dari berbagai jenis dibawa masuk. Modal luar dimasukkan ke Malaya. Pasar dan pekan-pekan dipenuhi oleh orang dagang. Orang Melayu terdesak ke kampung-kampung maka sekolah-sekolah dan peluang ekonomi terbuka dengan luasnya kepada orang-orang dagang itu maka lapangan ekonomi dan pelajaran orang daganglah yang mendapat peluang yang baik dan berkedudukan yang mewah.

Manakala kebangunan rasa kebangsaan berkobar-kobar di negeri asal orang dagang itu seperti Indian dan China maka perasaan politik itu terbabit dan terbawalah ke Malaya ini sesudah mereka dapat kedudukan yang baik dalam ekonomi dan pelajaran mereka menuntut pula dalam hak berpolitik.

Hak berpolitik hanya ada pada bumiputera sahaja di mana-mana jua dalam dunia ini maka mereka tidak boleh dan memakaikan nama melayu malah orang memandang rendah pula kepada bangsa Melayu. Maka sebagaimana bangsa Inggeris dapat memakaikan panggilan Malayan pada jawatan sedang orang Melayu pun tak ambil berat pada sebutan Malayan masa itu maka mereka ambil peluang menggunakan nama Malayan itu.

Orang yang menamakan dirinya Malayan itu bolehlah dibahagikan


(1) Golongan yang betul putih hati hendak berwatankan Malaya

(2) Golongan mencari dua belah kepentingan

(3) Golongan terikut-ikut.

Dengan bertambah besar dan luasnya ladang-ladang dan lombong-lombong di Malaya dan pecahnya perang China-Jepun dahulu bertambah banyaklah orang Cina dan India datang ke Malaya ini.

Dalam masa pendudukan Jepun dan setelah Perang Dunia Kedua perjuangan Malayan itu bertambah-tambah besar hingga merupakan satu faktor yang tiada dapat diasingkan dari soal Malaya sehingga kerajaan British membawakan Perlembagaan Malayan Union. Mana janji dan apa perlindungan British. Treaty Michael dan datangnya perlembagaan Malayan Union sangat mengacau akan perasaan bangsa Melayu.

Walaupun demikian golongan kebangsaan Melayu yang progresif. Berani menyambut suatu Malayan Union dengan syarat bersetuju dan selaras kandungan perlembagaan dengan perjuangan dan hasrat cita-cita Kebangsaan Melayu.

Begitu pun hingga hari ini soal yang di atas itu masih belum bangsa Melayu dapat jawapan yang jua sehingga sesudah berjalan perlembagaan Presiden. Kedudukan ekonomi dan pelajaran orang yang bukan Melayu telah mengatasi Melayu sekarang kedudukan politik pula dilapangkan.


Menyatukan Dua Cita-cita

Angkatan Kebangsaan Melayu Muda setelah menghalusi dan insaf pada duduk perkara yang sebenar dalam cita-cita kebangsaan Melayu dan perjuangan Malayan menampak dan menjelaskan bahawa rancangan Presiden tak dapat menjamin dan menegakkan keamanan dan kemakmuran Malaya.

Perkara yang mesti disedari oleh orang Malayan ialah Malaya hak Melayu. Malaya tuan rumahnya Melayu. Malayan hendak serumah dengan Melayu – Melayukah mesti melaburkan perjuangan kebangsaannya ke dalam kebangsaan Malayan atau Malayan melabur ke dalam kebangsaan Melayu?

Pada hal Melayu sedar mereka lah yang terbanyak bilangan dihitung panjang daripada Malayan yang tulen ataupun yang setengah tiang. Soal ini ada orang memandang sentimen tetapi sebenarnya tidak kerana perpecahan kebangsaan Melayu cuma di antara nun dan ku tetapi di dalam perjuangan Melayu masih banyak pancarobanya lagi. Dan lagi atas nama bangsa Melayu atau perjuangan Melayu hingga makalah ini ditulis belum lagi ada membuat sesuatu ikrar atau persetiaan baharu menukar kebangsaan Melayunya kepada kebangsaan Malayan.

Tetapi kerumitan dan kesulitan yang besar dalam soal kebangsaan ini jalannya telah dapat dilorong dan diatasi oleh 10 anggaran dasar putera Malayan dan Melayu telah merupakan bersatu padu dan menghormati anggaran dasar yang sepuluh itu di bawah pimpinan kebangsaan Melayu yang tulen dan bulat bukan kebangsaan Melayu dipimpin oleh Malayan. Maka cita-cita dan gerakan kebangsaan Melayu yang tulen dan waras itu dituduh pula dengan tuduhan yang tiada waras maka jadilah Malaya tidak waras hingga hari ini.


Terlambat dan Salah Tiru

Pergerakan kebangsaan Melayu yang besar menyedari pentingnya perhubungan dan pertalian dengan British tetapi hak dan keadilan kebangsaan Melayu hendaklah dibuktikan menurut semangat treaty-treaty yang lalu tenaga kebangsaan Melayu yang tulen adalah tenaga yang kuat dan perkasa dapat dipergunakan untuk kepentingan mempertahan dan mengawal muslihat bersama yang hak dan adil.

Cadangan jawatankuasa di antara bangsa-bangsa (CLC) itu telah pun ditegur dan dibangkang oleh bangsa Melayu yang sedar - di setengah tempat dan bahagian membayangkan seperti beruang sayangkan tuan. Kapak naik pemidang. Mencapak perjuangan kebangsaan Melayu. Penganjur mengekor maka bagaimanakah perubahan nasib mereka yang dicita-cita. Sementelahan pula di dalam golongan pemimpin Melayu yang dahulunya menyokong (CLC) itu telah menunjuk dan menyuarakan tak setujunya yang boleh ditinjau mungkin menjarak dan membawa pertelingkahan di antara kaum-kaum hingga dalam satu-satu kaum itu sendiri maka bagaimanakah diharap sokongan rancangan atau cadangan yang bertentangan dengan rasa pusaka dan hasrat perjuangan kebangsaan Melayu yang tulen yang ingin aman dan damai serta kukuh berpegang kepada adat istiadat dan kebudayaannya.


Meniru Malaya jadi Malayan membandingkan Amerika – American. Indonesia – Indonesian itu cara (CLC) Terang-terang sudah ketewasan kedudukan dan hak Melayu bila dihalusi daripada dua segi perjuangan Melayu dan Malayan. Malaya dan Malayan pada orang Melayu serupa seperti kedudukan Theodor Land East Indies (Hindia Timur Belanda (N.E.I) di Indonesia dahulu sedang Indonesia dan Indonesian gerakan nasionalis yang mutlak dari umbi-umbinya maka Malaya Melayu itulah gerakan kebangsaan mutlak dan tuan rumah yang mutlak.

(Sumber - Majalah Qalam Bilangan 3 - Oktober 1950 )

Ahad, 10 Jun 2012

Foto Kenangan: Bersama Sang Murabbi





Menziarahi al Fadhil Ustaz Dahlan (Rahimahullahi Ta'ala) di rumah beliau di Perlis.


Sesiapa yang pernah "DUDUK" di bawah asuhan beliau, "MEMBESAR" di dalam madrasah beliau dan menikmati hasil dari jihad beliau, akan begitu terasa kehilangan beliau.


Gambar berharga ini yang hampir hilang dalam simpanan saya adalah di antara bukti penghormatan dan kasih sayang dari kami sang murid kepada beliau sebagai Sang Murabbi Malaysia yang sesungguhnya. Beliau di antara mutiara berharga yang amat jarang sekali dijumpai di tanahair ini.


Tiada kata seindah bahasa dan tiada gambar seindah lukisan untuk merakam dan melakarkan memori indah kami bersama beliau.



Belasan tahun saya ditakdirkan melalui asuhan dan didikan dari madrasah beliau akan sentiasa terpahat di hati saya sebagai antara pengalaman hidup yang paling diberkati.


Mudah-mudahan Allah menempatkan beliau bersama para Sodiqin, Amilin dan Solihin.


Amin.

Khamis, 7 Jun 2012

Madah Cinta



Cinta itu pengorbanan


meski isteri tercinta


harus ditinggalkan


Cinta itu keagungan rasa hati


merangkul susah payah


antara teman sepanjang jalan


Cinta itu kemuliaan diri


yang membungkam nista keegoan


angkara hasutan Syaitan


Cinta itu linangan air mata


antara kekhuatiran dan pengharapan


dalam munajat sepertiga malam


Cinta itu cahaya di wajah


tatkala amal di dunia


mendapat redha Sang Pencipta



[digubah sebagai respon kepada madah cinta Ayatul Husna (Ketika Cinta Bertasbih Bhg 2)]

Selasa, 5 Jun 2012

Anda tidak bersetuju dengan ISMA?



Kepada saudara-saudara yang tak bersetuju dengan ISMA atau dengan slogan dan agenda ISMA...

Alhamdulillah Islam mengajar kita supaya berlapang dada dan berbesar hati. ISMA sangat mengalu-alukan komen dan kritikan anda semua.

Alhamdulillah juga apa yang ingin dibawa oleh ISMA semakin mendapat tempat di hati masyarakat, dan kami tidak mendakwa kesempurnaan itu ada pada kami.

Kalau anda semua merasakan apa yang ISMA bawa itu salah dan tidak syari'i, maka tunjukkanlah kesalahan kami di sudut syari'i juga, atau kalau rasa ISMA mengganggu hidup anda, maka jauhkanlah diri anda darinya.

Kalau ISMA menyeleweng, InsyaAllah ahli-ahlinya sendiri yang akan membetulkannya atau menegur pemimpin-pemimpinnya.

Sekiranya anda semua berpendapat ada slogan lain yang lebih sesuai atau lebih baik, maka persembahkanlah slogan tersebut kepada masyarakat dan bersungguh-sungguhlah anda semua untuk beristiqamah dengannya.

Ada jutaan lagi umat Islam di Malaysia yang perlu diselamatkan aqidahnya, akhlaknya, jati dirinya, masa depannya dan survivalnya. Dan apa yang ISMA cuba lakukan hanyalah sekelumit kecil sahaja daripada usaha-usaha besar yang perlu galas oleh semua pencinta dan pendokong Islam, dalam kapasiti masing-masing dan menurut kemampuan masing-masing juga.

Kami tidak akan bersikap apologetik terhadap agenda kami dan pada wktu yang sama tidak pula memandang hina atau merendahkan apa yang kumpulan, organisasi atau jamaah lain bawa. Kita semua mesti yakin atas agenda masing-masing 'ala Basirah.

Dan tidak, ISMA ditubuhkan bukan sebab berpecah dari mana-mana organisasi, bukan sebab tidak percaya kepada mana-mana pimpinan, bukan sebab iri hati atau tidak setuju dengan sesiapa, bukan sebab nak meramaikan/membanyakkan lagi jamaah-jamaah Islam, bukan sebab dipengaruhi oleh sesiapa, bukan juga proksi mana-mana parti politik.

Kami ada agenda tersendiri yang kami rumuskan dari penggalian terhadap sejarah bangsa Melayu dan terpahat kukuh pada jati diri kaum Muslimin khususnya di Malaysia.

Mari bertaaruf, belajar dan bergerak bersama-sama ISMA untuk sedetik dua. Sekiranya anda berpuashati dengan kami, maka bergabunglah dengan kami.

Kalau anda tidak yakin atau merasakan ISMA melambatkan kemenangan dan kemajuan ISLAM, tidak mengapa dan kita masih dapat berukhuwwah dalam suasana Mahabbah.

Mudah-mudahan Allah menerima semua amal kita.

Rabu, 1 Februari 2012

Berfikir Sejenak Tentang Maulidur Rasul



Tanggal 12 Rabi’ul Awwal 1433 Hijrah bersamaan 5 Februari 2012, umat Islam seluruh dunia akan merayakan satu peristiwa penting dan penuh bermakna. Itulah Hari keputeraan junjungan besar Nabi kita Muhammad Rasulullah s.’a.w. Perayaan atau peristiwa yang lebih dikenali sebagai sambutan Maulidur Rasul.

Pihak kerajaan Pusat dan Negeri masing-masing akan mengadakan pelbagai acara dan sambutan, melibatkan banyak agensi, persatuan, masjid, surau, taman-taman perumahan dan sebagainya. Cermah-ceramah dan perarakan-perarakan akan diadakan di merata tempat. Media massa akan menampilkan banyak rancangan atau siaran istimewa untuk tontonan atau bacaan masyarakat Islam. Slogan-slogan yang menarik dan canggih-canggih sudah tentu akan terpampang dan diwar warkan. Ucapan selawat akan berkumandang di udara dan angkasa, sebagai tanda kasih dan ingatan ummat Islam pada Nabi Muhammad s.’a.w, Rahmat bagi sekalian alam.

Inilah antara peristiwa besar yang dapat menyatukan ummat Islam tanpa mengira latarbelakang politik, geografi, budaya, bahasa atau adat resam.

Begini jugalah amalan dan sambutan yang telah menjadi rutin tahunan di kalangan ummat Islam di Malaysia khususnya.

Marilah kita cuba bermuhasabah secara tenang dan ikhlas:

Apakah kita telah benar-benar menyelahkan kecintaan dan penghormatan kita kepada Nabi kita melalui sambutan Maulidur Rasul?

Apakah kita merasa sudah terlepas tanggungjawab kita dengan mengadakan acara-acara seperti yang disebut di atas?

Apakah kita berjaya menerangi hati dan kehidupan kita dengan risalah yang dibawa oleh baginda s.’a.w?

Pengajaran macam manakah yang kita dapat iktibarkan dari peristiwa agung ini?

Sudahkah contoh dan qudwah dari kehidupan baginda mewarnai kehidupan kita, baik secara peribadi, dalam keluarga, masyarakat, bangsa dan tanahair kita?

Sebelum kita cuba menjawab persoalan di atas, marilah kita mengembara terlebih dahulu…

Kembara kita adalah untuk mengimaginasikan kembali alam dan dunia ke zaman kebangkitan Rasulullah s.’a.w di semenanjung Tanah Arab lebih 1400 tahun yang dahulu.

Allah SWT menerangkan kepada kita di dalam Al Quran surah Al Jumu’ah ayat 2 (bermaksud):

“Dialah (Allah) yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka serta mengajarkan mereka al Kitab dan al Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata.”

Di dalam dua ayat sahaja, Al Quran menggambarkan realiti satu masyarakat yang terpilih untuk menjadi Khairu Ummah (sebaik-baik Ummah). Ummah yang digambarkan dengan cemerlang sekali oleh Saidina Jaafar bin Abi Talib ketika berhadapan dengan Raja Habsyi di Habsyah, antara lain:

“Wahai Raja! Dulu kami adalah pemeluk agama Jahiliyyah. Kami menyembah berhala-berhala, memakan bangkai, berbuat zina, memutuskan tali persaudaraan, menyakiti jiran dan yang terkuat diantara kami, menindas yang lemah. Begitulah gambaran kami dahulu sehinggalah Allah mengutus seorang Rasul dari kalangan kami yang kami ketahui nasabnya, kejujurannya, amanahnya dan kesucian dirinya.


Beliau menyeru kami kepada Allah untuk mengesakannya dan menyembahNya serta meninggalkan penyembahan kami dan bapa-bapa kami terhadap batu dan patung. Beliau juga memerintahkan kami untuk bercakap jujur, melaksanakan amanah, menjalin hubungan kekeluargaan, berbuat baik kepada jiran, menghormati hal-hal yang disucikan dan darah. Beliau melarang kami berzina, berkata palsu, mengambil harta anak yatim dan menuduh wanita-wanita suci. Beliau memerintahkan kami untuk menyembah Allah semata-mata, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu apa pun, memerintahkan kami mengerjakan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa. (Ja’afar menyebut beberapa ajaran Islam yang lain).



Lalu kami membenarkan, beriman dan mengikuti beliau atas apa pun dari agama Allah. Lalu kami menyembah Allah semata, tidak menyekutukan sesuatu denganNya, kami mengharamkan apa pun yang diharamkan ke atas kami, menghalalkan apa pun yang dihalalkan kepada kami. Lalu kaum kami memusuhi kami, menyiksa kami dan menimbulkan cubaan terhadap agama kami dengan tujuan untuk mengembalikan kami kepada penyembahan terhadap patung, tanpa diperbolehkan menyembah Allah, agar kami menghalalkan berbagai macam keburukan seperti dahulu.”



Begitulah proses perubahan dan revolusi halus yang telah merubah satu masyarakat yang hanya terikat dengan dunia dan hawa nafsu kepada satu hakikat dan kenyataan yang mengangkat maruah insan dan memuliakan jati diri penghuni-penghuni bumi.

Risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.’a.w kepada kaumnya akhirnya telah membawa perubahan besar. Selama hampir 25 tahun, masyarakat Islam telah diasuh, dibentuk dan dididik dengan ayat-ayat Al Quran sehingga ada yang menggelar mereka sebagai “Generasi Al Quran Yang Unik”.

Proses pembersihan dan pengajaran ini telah mengikat dan menambat hati masyarakat Islam dengan Al Quran sehingga wafatnya Rasulullah s.’a.w telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam pada mereka:

Dari Anas r.a.. katanya: Abu Bakr telah berkata kepada ‘Umar r.a selepas wafatnya Rasulullah s.a..w.: 

“Marilah pergi bersama kami ke rumah Ummu Aiman r.a. untuk mengunjunginya sebagaimana Rasulullah s.a.w. selalu mengunjunginya” Apabila kedua duanya datang menemui Ummu Aiman ia pun menangis, lalu kedua-duanya berkata:

“Mengapa makcik menangis? Tidakkah makcik tahu bahawa balasan yang disediakan di sisi Allah itu adalah lebih baik untuk Rasulullah s.a.w.?’ 


Jawab Ummu Aiman: “Ya makcik tahu bahawa balasan yang disediakan di sisi Allah itu adalah lebih baik untuk Rasulullah s.a.w., tetapi makcik menangis kerana wahyu telah terputus dari Allah.” 

Perkataan Ummu Aiman itu telah mengharukan kedua-duanya lalu kedua-duanya menangis bersama Ummu Aiman.


(Dikeluarkan oleh Muslim)


Justeru itu, kita harus bersikap yang selayaknya terhadap risalah dan perjuangan Rasulullah s.’a.w. Para Sahabat telah meninggalkan tanah tumpah darah mereka, menggadaikan nyawa mereka, menjandakan isteri-isteri mereka dan meyatimkan anak-anak mereka semata-mata agar risalah Islam yang suci ini dapat sampai kepada kita.

Rasulullah s.’a.w tiada bersama kita. Akan tetapi baginda telah meninggalkan warisan perjuangan yang terlalu penting untuk kita sekadar memperingatinya melalui sambutan Maulidur Rasul saban tahun semata-mata. Kita tidak menafikan akan kepentingan sambutan itu. Ia adalah sebahagian dari syi’ar Islam yang perlu kita semaikan dan hargai.

Akan tetapi, sambutan kita dan cara kita menghargai peristiwa kelahiran Nabi Muhammad s.’a.w serta dakwah yang dibawanya akan lebih bermakna seandainya kita sama-sama terjun untuk merasai, menghayati dan menyebarkan risalah agung iaitu Al Islam supaya kita kembali meraih gelaran Sebaik-baik Ummah Yang Dilahirkan Untuk Manusia.

Dan Rasulullah s.’a.w tentu akan tersenyum melihat ummat Islam di Malaysia berlumba-lumba menyambut peristiwa Maulidur Rasul sebagaimana mestinya …

Jumaat, 27 Januari 2012

Ibnu Taimiyah



Ibn Taimiyah – Pendidikannya.


Menurut banyak maklumat yang diriwayatkan oleh ramai ulamak kepada penulis, beliau (imam Ibn Taimiyah) dilahirkan di Harran pada 10hb Rabi’ul Awwal tahun 661 Hijriyyah dan menetap di sana sehingga beliau berumur tujuh tahun. Ayah Ibnu Taimiyah kemudiannya membawa beliau ke Damsyik di mana di sinilah beliau memperolehi sebaik-baik pendidikan yang ada pada masa itu dan Allah menanamkan dalam dirinya sebaik-baik perilaku. Tanda-tanda keutamaan, dedikasi dan ketajaman akal beliau telah menyerlah sejak dari kecil lagi.


Seorang teman yang terpecaya telah memaklumkan kepada penulis bahawa ketika Shaikh (Ibnu Taimiyah) berada di usia remaja dan sering berjalan ke perpustakaan, beliau akan ditahan oleh seorang Yahudi yang tinggal di jalan menuju ke perpustakaan. Si Yahudi tersebut akan bertanya beliau tentang banyak permasalahan dan akan terus menerus bertanyakan soalan demi soalan disebabkan kepintaran dan kecerdikan Ibnu Taimiyah. Ibnu Taimiyah akan menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan pantas dan tangkas sehingga si Yahudi itu merasa kagum dengan beliau.


Setiap kali apabila Ibnu Taimiyah terserempak dengannya, beliau akan memberikan sedikit demi sedikit maklumat yang akan meyakinkan si Yahudi itu akan kesesatan pegangan agamanya. Perkara ini berlanjutan beberapa lama sehingga si Yahudi tersebut akhirnya memeluk Islam dan menjadi seorang Muslim yang ikhlas. Ini semua hasil barakah yang dimiliki oleh Shaikh Ibnu Taimiyah meskipun ketika beliau masih kecil lagi.


Sepanjang tempoh remajanya, Ibnu Taimiyah menghabiskan kesemua masanya di dalam berusaha dan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menghafal keseluruhan al Quran, seterusnya mempelajari dan menghafal serta menguasai ilmu-ilmu Hadith, Fiqah dan bahasa Arab dengan begitu cemerlang sekali. Hal ini ditambah dengan disiplin diri beliau yang tidak pernah ketinggalan menghadiri halaqah-halaqah ilmu dan mendengar periwayatan-periwayatan hadith dan Athaar. Beliau menekuni banyak kitab dari para ulamak yang tersohor.


Kesemua kitab hadith seperti Musnad Ibnu Hanbal, Sahih al Bukhari dan Muslim, Jami’ al Tirmidhi, Sunan Abu Daud al Sijistani, an Nasa’I, Ibn Majah dan ad Daraqutni juga telah diperdengarkan kepada beliau berulang-ulangkali. Kitab Hadith yang pertama sekali beliau hafal adalah al Jami’ al Bayan as Sahihain karangan al Humaidi.


Tidak ada satupun kitab mengenai sebarang cabang ilmu-ilmu Islam kecuali beliau akan terjumpa dengannya dan Allah telah mengurniakannya dengan satu kemampuan luarbiasa untuk cepat menghafalnya dan sangat jarang untuk melupakannya. Apa yang beliau jumpa atau terdengar pasti akan terpahat kukuh di dalam ingatannya, baik dari segi kalimat atau pengertiannya seolah-olah ilmu sudah bersebati dan mendarah daging dengan beliau.


Beliau bukan sekadar menceduk ilmu serba sedikit dari sini sana, sebaliknya akan memahami dan menguasai dengan mendalam ilmu-ilmu tersebut, dan beliau adalah di antara manusia yang paling cemerlang di dalam ufuk keutamaan dan kemuliaan. Allah telah mentaklifkan beliau dengan bebanan yang lazimnya akan menumpaskan manusia selainnya. Meskipun demikian, taklif itu jugalah yang membawa beliau kepada kebahagiaan di dalam segenap aspek kehidupan beliau, serta memancarkan cahaya ketokohan dan kepimpinan beliau kepada semua lapisan masyarakat.


Kesemua ini membawa ke peringkat di mana, sesiapa sahaja yang memiliki serba sedikit ilmu syariat akan bersetuju bahawa Imam Ibnu Taimiyah adalah dari kalangan golongan yang dirujuk oleh Rasulullah s.a w ketikamana baginda bersabda,


“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk Ummah ini pada setiap kurun seorang yang menghidupkan kembali urusan-urusan ugamanya”. 


Ini kerana Imam Ibnu Taimiyah telah berjaya menghidupkan kembali ilmu-ilmu ad Din al Islam yang telah lama dilupai dan ditinggalkan oleh ummat Islam dan Allah telah menjadikan beliau sebagai hujjah bagi setiap manusia di zamannya.


Segala puji bagi Allah, Pemilik sekelian alam.