Jumaat, 27 Mei 2011

Sebelum Ukhuwwah Mengucapkan Selamat Tinggal … Sebelum Cinta Melangkah Pergi …



Anda seorang individu yang telah lama berkecimpung dalam medan dakwah. Ataupun baru berjinak-jinak. Anda barangkali sudah melalui pelbagai liku dan selok belok perjalanannya, bertemu dengan berbagai-bagai ragam tingkahlaku dan penampilan tokoh-tokoh dan para pendokongnya. Anda juga mungkin seorang yang lantang bersuara atau diam membisu. Boleh jadi anda suka bekerja dalam diam atau beramal secara terang. Anda sukakan majlis-majlis dan keramaian, progrem besar dengan segala panitianya ataupun agak sulit pula menempatkan posisimu dalam acara-acara umum.


Ataupun anda bersifat begini dan begitu …


Ini pandanganku:



Walau apa dan di mana sekalipun kedudukan kita dan walau lama dan baru sekalipun penglibatan kita, kita tidak boleh lari walau sejengkal dari anasir-anasir yang menjadi tali pengikat yang menguatkankan hubungan kita iaitu Ukhuwwah dan Mahabbah, selepas Iman dan Aqidah kita kepada Allah Taala.


Berapa ramai di antara pendokong yang kecundang di tengah jalan dari kalangan teman dan kenalan kita. Betapa pula hubungan yang dahulunya mesra menjadi renggang hanya kerana perbezaan pandangan dan khilaf dalam membuat keputusan. Wajah yang dahulunya manis berseri ketika bertemu kini masam mencuka. Memori kebersamaan dilupuskan dari kalbu dan perasaan. Masa terus berlalu dan umur kita pula semakin meningkat.


Ini di antara realiti yang boleh menimpa mana-mana jamaah Islam.


Ataupun semakin lama kita berkecimpung dan terlibat dalam medan (atau setakat pinggiran) dakwah, amal kita semakin lesu dan semangat kian pudar, manakala beban dan tanggungjawab semakin banyak. Kemudian ditambah pula dengan rasa kemalasan yang sering menggoda atau keputusasaan yang berpanjangan.


Dan natijahnya pula dari segala penat lelah kita sama sekali tidak memberangsangkan!


Anda mungkin akan berkata, “ Saudara seorang yang begitu pesimis sekali!”.


Mungkin juga atau barangkali ada faktor lain yang mewarnai kemuraman realiti kita?


Pada pandangan saya, kita telah melupakan atau kurang menumpukan perhatian kepada unsur Ukhuwwah dan Mahabbah sesama kita. Kita mungkin beranggapan ia akan muncul dengan sendirinya di celah-celah amal kita atau memancar terang di dalam aktiviti-aktiviti perkhemahan, perjalanan bersama, riadah, mesyuarat dan sebagainya. Ataupun ketika kita bertemu sekali sekali apabila terdapat progrem-progrem besar peringkat nasional.


Tidak dinafikan Ukhuwwah atau Mahabbah itu tidak boleh dibuat-buat atau dipaksakan ataupun di modul kan.


Akan tetapi yang saya maksudkan ialah bahawa kedua-dua unsur itu seharusnya menjadi anasir kekal dalam perasaan dan pandangan hidup kita. Ia seharusnya menjadi satu sifat yang berakar umbi dalam identiti kita. Ia juga seharusnya menjadi elemen yang melembut dan mencairkan hati-hati kita setelah begitu lama hati kita dikesatkan dengan peredaran masa yang begitu panjang. Ia perlu diuji supaya dapat dinilai kematangannya dalam setiap individu Muslim yang bersama kita, termasuk diri kita sendiri. Ia juga sepatutnya memjadi benteng ghaib yang memagari perbincangan atau perdebatan sengit di kalangan kita.


Bukankah Ukhuwwah dan Mahabbah itu sebahagian dari perbekalan kita?


Adakah aktiviti kita perlu digerakkan atau berjalan tanpa senda loka atau gurau dan tawa?


Kita tidak perlu kepada checklist untuk memeriksa perkara-perkara berikut:


Kekerapan ziarah mingguan
Berapa kali hantar SMS kepada teman-teman


Berapa kali bersenda gurau atau melemparkan senyuman


Berapa kali bagi hadiah kepada kawan-kawan


Kekerapan mendoakan sahabat dan teman-teman kita


Berapa kali menasihati dan menyelesaikan masalah kewangan dan peribadi teman yang lain


Kekerapan menjamu sahabat-sahabat kita
.


Dan seterusnya …


Bangsa Melayu memang terkenal dengan sifat ramah tamah dan mudah mesranya. Lazimnya Melayu disama ertikan dengan kelembutan peribadinya dan adab susilanya serta sikap toleransi dan budi pekerti yang halus. Bangsa Melayu juga kaya dengan sastera dan bahasa yang penuh kiasan dan halus. Ini antara ciri-ciri yang mampu menguatkan ikatan silaturrahim, kasih sayang dan kecintaan sesama kita bilamana ia diwarnai dan dibentuk oleh Islam.


Kita juga amat memerlukan kepada Ukhuwwah dan Mahabbah (selain sifat-sifat dan ciri-ciri lain seperti Sabar, Istiqamah dan lain-lainnya) di saat melalui mihnah dan tribulasi ataupun ejekan dan fitnah serta tipu daya pihak musuh atau para pendengki. Ukhuwwah dan Mahabbah yang kita ingin bina bukannya bersifat Ukhuwwah Jam’iyyah seumpama ketika berpersatuan dan seumpamanya. Akan tetapi yang bertunjangkan Ta’aruf yang mendalam terhadap sesama sahabat dan teman-teman dalam amal dakwah.


Ia juga seharusnya menjadi salah satu unsur yang tidak boleh diabaikan, pada pandangan saya, dalam proses transformasi ummah dan nasional yang kita idam-idamkan.


Sebagai renungan terakhir, izinkan saya memetik beberapa pandangan tulus seorang Da’i yang mulia bernama Syaikh Abbas Assisi di dalam risalah kecilnya bertajuk Dakwah dan Cinta Ke Jalan Allah:


“Cinta kepada Allah (SWT) adalah cita rasa dan rezeki dan rezeki itu pula bukanlah pada harta sahaja. Kerana sesungguhnya taqwa itu adalah rezeki dan iman itu adalah rezeki. Bukankah kekayaan, redha, aman dan ketenangan itu merupakan hasil-hasil daripada persaudaraan? Manakah rezeki yang lebih besar daripada ini? Tidakkah anda merasakan di dalam perhimpunan kita, satu kebahagiaan yang mengatasi kemanisan benda dan kekuasaannya? Tidakkah anda merasakan di dalam kejernihan jiwa kita dan benarnya cinta kita, terdapat satu perkara yang lebih mahal daripada hidup itu sendiri?”



Beliau juga tidak ketinggalan berpesan dan berwasiat kepada kita:


“Sesungguhnya kamu mesti membangkitkan ruh cinta di antara ikhwan seluruhnya. Inilah dasar pokok dari asal dakwah kita. Sekiranya cinta ini tidak ada, nescaya tidak ada sesuatu yang tegak untuk kita dan tidak ada jamaah bagi kita. Kerana kita kenal dan kita juga mempelajari bahawa sesungguhnya


“Dakwah itu adalah cinta dan cinta itu adalah dakwah dan tidak ada dakwah tanpa cinta”.
Pengertian besar ini tidak mungkin dapat disuburkan kecuali oleh orang-orang yang mempunyai akal yang besar yang dapat merasakan pengertian ini sebagai satu hakikat yang hidup di dalam perasaan dan lubuk hati mereka. Kita juga pada hari ini tidak dapat melarikan diri dari hakikat ini. Kita benar-benar memerlukan supaya ‘Ruh’ ini kembali semula kepada kita. Cinta itu adalah ruh dakwah. Sekiranya hati itu adalah ruh kepada jasad, maka sesungguhnya cinta itu adalah ruh kepada dakwah ini.”





Demikianlah betapa perlunya kita kepada Ukhuwwah dan Mahabbah sepanjang perjalanan kita.


Kalau kedua-duanya sudah kehilangan dari jasad dan nadi kita, akan terkandas jugalah cita-cita kita untuk Membina Generasi Harapan.

Sabtu, 7 Mei 2011

Berbicara Kepada Penduduk Lembah Dan Hutan



Pada tahun-tahu terakhir beliau sedang mengurangi pembicaraan dan penyampaian pelajaran serta mengeluh tentang aspek-aspek negatif sebahagian pendengar kerana tidak adanya respon atau maklumbalas dari mereka, (iaitu) dengan cara melontarkan pertanyaan-pertanyaan yang bernlai yang lazimnya akan mendorong seorang pengajar (penceramah) untuk menyampaikan ilmunya. Akhirnya beliau menyatakan kepada saya tentang niatnya untuk berhenti menulis dan memberi ceramah dengan menggunakan alasan tadi. Lalu saya menemui pengertian yang lebih banyak lagi dan kami dilanda keletihan serta bersepakat untuk diam.


Tiba-tiba dengan izin Allah datanglah seorang pemuda kepada kami yang mengeluarkan kami dari kesalahan. Ketika itu saya sedang berada di di lapangan terbang Istanbul bersama Adil untuk menunggu ketibaan kapalterbang. Kami baru saja keluar dari seminar di mana kami tidak mendapatkan pertanyaan-pertanyaan yang memberi semangat kepada para da’i. Kami saling berlumba-lumba mengutarakan adunan kata-kata putus asa. Tiba-tiba seorang pemuda datang kepada kami sambil menekuk lututnya dan bertanya,


“Andakah Muhammad Ahmad ar Rasyid?”

“Benar, apakah kita pernah bertemu?”

“Tidak, saya mengenali anda melalui suatu tayangan video di mana anda telah menyampaikan ceramah anda dalam satu persidangan di Houston, Amerika,” jawabnya.

“Siapakah anda?” tanya saya.

“Nama saya Khalid al Musawi, seorang warganegara Algeria, penduduk padang lembah Souf, lebih kurang 1000 kilometer dari selatan ibunegara (Algiers), di dataran tinggi Sahara Afrika, dekat dengan sempadan Tunisia. Di sana kami membaca tulisan-tulisan anda dan mendengar kaset-kaset anda serta menonton sebahagian dari pelajaran yang anda sampaikan melalui video. Saya juga telah pergi ke Afghanistan untuk berjihad.”

Kami pun menyambutnya dan beliau kelihatan bahagia sekali dengan pertemuan yang tidak dirancang ini. Beliau mengajukan banyak soalan kepada saya tentang pelbagai perkara dan saya juga menanyakannya banyak perkara.

Tiba-tiba beliau menampakkan kegelisahannya, “Akan tetapi separuh dari mimpi saya belum menjadi kenyataan. Saya belum mengenal Adil sama sekali.”

“Bagaimana pandangan anda kalau anda singgah di Dubai bersama saya untuk saya perkenalkan kepadanya?

“Tentu sahaja itu akan menjadi hari raya bagi saya, sebab kami mendengar penyampaian-penyampaiannya namun tidak pernah melihat wajahnya melalui video,” jawab pemuda itu.

Ketika inilah Adil Rahimahullah ikut serta dan menanyakan kepadanya tentang apa yang didengarnya dari kaset-kasetnya tanpa memperkenalkan dirinya. Pemuda itu menyebut beberapa tajuk penyampaian.

Adil mengujinya dan bertanya,” Pada pelajaran beliau, apa yang disampaikannya?”

Pemuda itu menjawab sekian dan sekian sambil meringkaskan isi kandungan penyampaian itu dengan baik.

Adil menguji pemuda itu lagi dan bertanya tentang penyampaian-penyampaian yang lain.  Pemuda itu pun menjawab semua isi kandungan penyampaian tersebut dengan begitu baik sekali sehingga kami merasa kagum.

Setelah saya mendapat firasat tentang kejujurannya, maka saya pun berkata, “Ya, inilah Adil yang ada di hadapanmu dan yang mengujimu itu!”

Seolah-olah telah terbang perasaan pemuda dengan perasaan bahagia akan peristiwa berharga ini.

“Di lembah Souf kami semua melakukan kebiasaan seperti ini: membaca, menghafal dan mengulangkaji.”

Kemudian dari begnya pemuda itu mengeluarkan kitab al Muwafaqat al Syatibi dan berkata kepada Adil, “Dalam sebuah kaset saya mendengar anda memuji kitab ini dan mewajibkan pada du’at agar membacanya. Jadi saya pun selalu membawanya bersama agar ia menjadi teman saya di dalam Jihad.”

Kejadian di atas mengejutkan Adil dan menjadikannya sangat yakin tentang adanya orang-orang yang disampaikan kepada mereka pelajaran yang lebih faham dan mengerti daripada orang yang mendengarkannya. Lalu beliau memilih untuk bertaubat dari sikap keputus asaan dan keengganan untuk  berbicara.

Serta merta Adil berkata, “Kita berbicara sahaja kepada pendudk lembah dan hutan jika kita dihinakan oleh orang-orang kota.”

Dan di tahun-tahu terakhir itulah beliau paling banyak berbicara, Rahimahullah.


[Dipetik dari sebahagian Kata Pengantar oleh Muhammad Ahmad ar Rasyid terhadap buku Musafir fi Qitorid Da’wah – Bermusafir di dalam Kenderaan Da’wah – karangan Dr Adil Abdullah al Laili Asy Syuwaikh].


(Nota:  Saya sengaja tidak memberikan sebarang komentar terhadap petikan di atas agar para pembaca dan pengunjung dapat membuat kesimpulan dan menggali sendiri  rahsia, hikmah dan mutiara yang dapat disematkan dalam hati, perasaan dan pemikiran kita di saat kita sedang bergelut dengan persoalan survival dan masa depan masyarakat Melayu Islam di tanahair).


Cukuplah untuk dinyatakan di sini:


“…penduduk Kurdistan tidak pernah menyaksikan jenazah seseorang sebagaimana jenazahnya. Jumlah orang yang mensolatkannya lebih dari 20,000 orang menjadi gelombang manusia penuh dengan kekhusyukan dan keimanan. Begitu ramai orang yang menangisinya sehingga dua hari lamanya. Ramai pula yang berwasiat agar ketika mereka meninggal dunia dimakamkan berdekatan kuburnya untuk memperoleh kemuliaan berhampiran dengannya. …”