Selasa, 27 Oktober 2015

Pelangi Fikrah Dan Maqasid Syarak 5 + 2 Ke Arah Mencapai Daulah Islam Pada Tahun 2020.

Pelangi Fikrah Dan Maqasid Syarak 5 + 2 Ke Arah Mencapai Daulah Islam Pada Tahun 2020.


Saya telah lama meninggalkan kelas Usul Fiqh secara formal yang saya pernah belajar dahulu di Universiti Islam Antarabangsa. Ketika itu bahasa perantaraan bagi semua kuliah (kecuali bahasa Arab) adalah Bahasa Inggeris. Secara umumnya ia boleh diikuti dengan baik.


Kuliah Usul Fiqh ketika itu diajar oleh Dr Hashim Kamali, seorang warga Afghanistan. Saya masih ingat kami para siswa menyalin hampir semua penyampaian beliau satu persatu dan perlu mendengar dengan teliti apa yang beliau sebut, lebih-lebih lagi ketika beliau menghadap whiteboard. 



Selepas tamat pengajian di UIA, saya telah membeli buku beliau bertajuk The Principles Of Islamid Jurisprudence. Bila saya mula membaca buku tersebut, saya dapati ia adalah isu kuliah beliau yang saya catit di kelas dahulu!


Bagaimanapun saya bukan hendak perkatakan tentang kuliah beliau di sini. Tetapi tentang apa yang mula di “popular” kan kembali sejak akhir-akhir ini iaitu Maqasid Syari’ah, satu sabjek yang saya minati dan sangat perlu bagi mana-mana siswa mahupun individu yang ingin terlibat dalam bidang perundangan. 



Untuk membantu pemahaman saya tentang Usul Fiqh, saya membeli sebuah buku bertajuk Dasar-dasar Pembinaan Hukum Fiqh  Islam karya Prof. Dr Mukhtar Yahya dan Prof Drs Fatchurrahman yang saya nilai sebagai terbaik bagi seorang siswa yang tidak menguasai Bahasa Arab. Ditambah dengan banyak lagi buku karangan Syaikh Dr Yusuf Al Qardhawi dan seumpamanya.


Secara ringkasnya, para Ulamak Usul mengemukakan bahawa ada 3 jenis tujuan umum perundangan ataupun (Maqasid at Tasyri’iyyah).

Pertama: Untuk memelihara Al Umurudh Dharuriyyah dalam kehidupan manusia.

Maksudnya perkara-perkara yang menjadi sendi atau dasar kehidupan manusia yang perlu ada demi kemaslahatan mereka. Dalam ertikata yang lain, bila sendi atau dasar itu sudah tiada, kehidupan manusia akan menjadi kacau bilau, kemaslahatan tidak akan tercapai dan kebahagiaan dunia dan akhirat tidak akan dapat dinikmati.


Sendi atau dasar-dasar tersebut pula secara sepakat antara para ulamak terbahagi kepada 5 bahagian:

i.     Memelihara Din (ugama)

ii.    Memelihara Jiwa.

iii.   Memelihara akal.

iv.    Memelihara Keturunan, dan

v.     Memelihara Harta


(Imam Qarrafiy telah menambah satu elemen lagi iaitu Memelihara Kehormatan Diri - yang telah diperakui oleh Syaikh Dr Yusuf Al Qardhawi).


Kesemua di atas memiliki hukum-hukum tertentu yang kewujudan dan pemeliharaannya dijamin oleh Syara.


Kedua: Untuk Memenuhi Al Umurul Hajiyah dalam kehidupan manusia.

Maksudnya perkara-perkara yang sangat dihajati oleh manusia untuk menghilangkan kesulitan-kesulitan dan menolak halangan. Kategori ini lebih rendah dari kategori pertama.



Ketiga: Untuk memenuhi Al Umurul Tahsiniyah dalam kehidupan manusia.


Maksudnya sebagai pelengkap kepada tindakan-tindakan dan sifat-sifat yang harus dijauhi oleh akal yang sihat, dipegang oleh adat kebiasaan yang baik dan dihajati oleh keperibadian yang kuat. Kategori ini lebih rendah dari kategori Kedua.


Saya akui para pembaca akan menghadapi sedikit kesulitan untuk memahami penerangan tentang ketiga-tiga poin di atas. Tidak menghairankan kerana perbincangan tentang Maqasid Syara atau Syari’ah ini bukan perkara baru. Ia telah dibahas dan dibicarakan oleh para ulamak silam sejak beratus tahun dahulu melalui pelbagai kitab dan karangan. Ia memang penting untuk mengekalkan keaslian Islam, memeliharanya dan mengadaptasinya menurut peredaran masa, tempat, ruang, zaman dan waktu.


Antara ulamak besar zaman moden yang telah menulis beberapa kitab tentang tajuk ini adalah Syaikh Dr Yusuf Al Qardhawi (semoga Allah merahmati dan memberkati beliau dengan kesihatan yang baik).


Justeru itu, kenapa tajuk ini (Maqasid Syari’ah) menjadi “panas” sekarang ini?


Kerana ia menjadi tajuk besar dalam sebuah konvensyen yang dianjurkan oleh NGO Ikram untuk ahli-ahlinya. Istimewa juga kerana mereka telah menjulang naik 2 elemen tambahan kepada 5 Maqasid Syarak yang disebut sebelum ini (Al Umurudh Dharuriyyah).

 

Dipetik dari lamanweb Ikram:

 

"Dalam Perhimpunan Tahunan IKRAM 2015 (PTI 2015), beliau [Dr Ibrahim Munir] menjelaskan bahwa  ulama terkenal, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi telah memperkembangkan konsep Maqasid Syariah dengan menambah dua lagi maqasid daripada lima maqasid asal iaitu Kebebasan (al-Hurriyyah) dan Persamaan (al-Musawah).


Tambah beliau, al-Qaradhawi menambah lagi dua maqasid kerana seiring dengan suasana yang menimpa masyarakat dunia dan Islam masakini, yang sedang ditindas dengan zalim dan angkuh oleh pemerintah masa kini contohnya rejim Israel dan Syria)".


 

Di sinilah letaknya kekaguman umat Islam terhadap keupayaan Ikram mengangkat dua Maqasid tambahan di atas yang lebih sesuai diaplikasikan ke atas suasana yang dilami oleh umat Islam di Palestin Dan Syria kepada suasana di Malaysia yang sama sekali berbeza dengan Palestin mahupun Syria.


Saya tidak melihat apa-apa kepelikan ataupun kekurangan pada kebijaksanaan Syaikh Dr Yusuf Qardhawi yang mengembangkan 5 Maqasid Syarak itu untuk diperhatikan oleh umat Islam di Palestin dan Syria. Pada pandangan saya, beliau tentu tidak akan bersetuju jika ia cuba diadaptasi oleh umat Islam Malaysia sekiranya beliau diberi maklumat dan penjelasan penuh secara objektif tentang realiti penentangan terhadap Islam dan umat Islam dari parti-parti sosialis cauvinis DAP, MCA dan Gerakan, gerakan Liberal (termasuk Islam Liberal), LGBT, Syiah, Islam Moderate, COMANGO, gerakan-gerakan sivil dan seumpamanya.



Kenapa tiba-tiba saja timbul 2 Maqasid Tambahan ini sekarang, dan di dalam Konvensyen Ikram?



Bagi saya, jawapannya adalah mudah. Ia hanyalah satu alasan yang paling sesuai (convenient) untuk mengembangkan dan memperkukuhkan agenda politik Rahmatun Lil Alamin yang dikongsi bersama oleh Ikram dan parti politik PAN. Persamaan ini juga ketara dari segi tokoh-tokoh mereka yang terlibat dan juga dari kenyataan-kenyataan yang senada dan sehaluan dalam banyak kes. Kadang-kadang seseorang itu tidak boleh membezakan tokoh-tokoh manakah yang sedang menegmukakan gagasan ini - tokoh Ikramkah atau tokoh PAN?

Ikram tiada pilihan melainkan perlu mengadoptasi 2 Maqasid Tambahan ini dan mengembangkannya dalam realiti Malaysia. Ini berkaitan rapat dengan survival parti PAN dalam iklim politik negara yang ramai ahli dan pimpinan Ikram terlibat secara aktif dan serius. Ikram juga telah lama bergerak secara tidak langsung di dalam perjuangan gerakan sivil sambil cuba mengekalkan wajah dan identiti sebagai NGO/gerakan Islam harapan yang non-partisan dan berkecuali, meskipun masyarakat Islam mengetahui hubungannya yang rapat dengan blok parti-parti politik pembangkang.



Hakikatnya, Ikram sudah terlajak kayuhan dalam perancangannya.

Pemilihan tokoh dari negara Tunisia dan Indonesia di dalam Konvensyen di atas juga tidak menghairankan. Tunisia adalah sebuah negara Liberal hingga para pelakon wanitanya (rakyat tempatan) boleh berbogel dalam filem yang ditayangkan di pawagam mereka.

Indonesia sebuah negara majoriti umat Islam di mana Ormas (Organisasi Masyarakat/NGO) dan urusan Islam telah diswastakan - semuanya boleh hingga yang bertentangan dengan Islampun boleh hidup merdeka - Syiah, LGBT, Islam Liberal dan seumpamanya tanpa kawalan ugama atau badan-badan ugama Islam.


Penambahan 2 Maqasid Tambahan ini hanya menyediakan peluru hidup dan talian-hayat bagi golongan kafir untuk menafikan atau menolak kemungkinan dan peluang bagi Islam untuk dominan dalam masyarakat, menentukan nilai, peraturan dan sistem perundangan bagi semua pihak. Kalau tidak, PAN tidak akan mendapat tempat atau diterima langsung sebagai parti politik yang progresif, inklusif dan membawa rahmat untuk semua.



Maka perlu di “reverse” kan 5 Maqasid Pertama dan utama itu dan tumpukan sahaja kepada 2 Maqasid Tambahan, demi menjinak dan melunakkan hati warganegara yang not-yet-Muslim kepada Islam. Kalau tidak menjadi Muslim sekalipun (ukhuwwah Islamiyah), mereka masih boleh menjadi warganegara atau rakan kongsi setaraf dari segi ukhuwwah insaniyah (persaudaraan kemanusiaan) dan ukhuwwah wataniyah (persaudaraan bangsa).


Tidak hairanlah ada di antara mereka yang boleh berkata: “We are here as stakeholders as laws and policies concern all members of the nation-state. we are not dhimmis. we are citizens. And we believe that Islam promises inclusion ini ukhwah insaniah (brotherhood of humanity) and ukhwah wataniah (brotherhood of nation) before the brotherhood of faith”.

Maksudnya penterjemahan kepada implikasi 2 Maqasid Tambahan ini, ukhuwwah Islamiyah terpaksa tunduk dan memberi laluan kepada ukhuwwah “sejagat” ini.


Sekiranya diberi penekanan kepada 5 Maqasid Syarak yang utama atau memulakan seruan mereka dengan seruan ini, nescaya Ikram akan dituduh dan dilabel sebagai Ekstrimis sebagaimana yang telah dilemparkan kepada ISMA dan PAS!


Pemakaian 2 Maqasid Tambahan ini mempunyai kaitan dengan agenda umum Ikram sendiri - iaitu Malaysia mencapai status Daulah Islam dan Syari’ah Compliant pada tahun 2020. Akan tetapi rencana ini kelihatannya telah di “hijack” oleh konsep Negara Rahmah yang tidak ada “dateline”nya pula.


Umum mengetahui bahawa Ikram meletakkan tahun 2015 sebagai tempoh “positioning” (memposisikan kedudukan) sebelum menapak ke tahun 2020. Sekiranya semua berjalan lancar, tidak mustahil parti PAN (bersama Ikram) boleh mencapai tujuan ini dua tahun lebih awal, iaitu pada tahun 2018 melalui PRU14 walaupun tarikh pencapaian Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah (bukan lagi Negara Islam) tidak ditentukan.


Sebagai menghormati amalan demokrasi, Ikram sudah semestinya mempunyai hak untuk melontarkan idea-idea ini kepada ahlinya. Sekiranya Ikram hendak perjuangkan  Maqasid Keenam dan Ketujuh (Kebebasan (al-Hurriyyah) dan Persamaan (al-Musawah) sesama ahli sebagai agenda besar dan utama yang perlu diperjuangkan, silakan. Ia hanya relevan kepada perjuangan kalian sahaja.


Cuma jangan heret umat Islam masuk sekali ke dalam wilayah berjerebu yang sangat tidak sihat bagi survival tubuh umat Islam.


Umat yang sudahpun sangat kritikal sekarang ini perlu diselamatkan dengan kefahaman yg betul, menurut keutamaan dan kaedah rawatan yang berkesan. Lihat sahajalah kepada ajaran Syiah, gejala Murtad dan lain-lain ajaran sesat (mengancam Din), pembunuhan (mengancam jiwa), penjualan arak dan penagihan dadah (mengancam akal), perzinaan dan maksiat (mengancam keturunan) dan riba/sistem kapitalis (mengancam harta).


Yang tidak kurang penting bagi umat Islam adalah serangan dan ancaman terhadap Din/ugama kita. Bukan sahaja yang bersifat aqidaj tetapi juga bersifat ideologi seperti fahaman Liberal (termasuk Islam Liberal), Sekularisma, Evangelisma, Sosialisma, Kapitalisma dan seumpamanya.


Di sinilah bagaimana Syariah Islam akan menjadi rahmat kepada sekalian alam. Di mana untuk menghadapi semua ancaman ini, hukuman-hukuman tertentu telah ditetapkan oleh Islam, iaitu hukum Hudud dan Takzir. Ia bertujuan untuyk memelihara kesemua Maqasid Syarak, untuk menolak kemudharatan, menghindari kerosakan yang mungkin akan terjadi dan memelihara kemaslahatan dunia dan akhirat, bukan sahaja untuk umat Islam akan tetapi umat manusia keseluruhannya.


Semua di atas merupakan gejala yang mengancam kelima-lima Maqasid Syarak di Malaysia. Inilah yang perlu diberi keutamaan oleh para pendakwah, NGO Islam, organisasi Islam, institusi ugama, masjid, surau dan kampung supaya ia tidak menjadi satu alasan diturunkan bala ke atas kita oleh Allah SWT.


Sekiranya umat Islam bermati-matian mempertahankan Kelima-lima Maqasid Syarak di atas secara bersungguh-sungguh dan tersusun, apakah keperluan mendesak kepada 2 Maqasid Tambahan di atas?


Mungkin bukan ini yang hendak dicapai oleh Konvensyen Ikram tentang Maqasid Syarak baru-baru ini.


Lihat dan baca sahaja apa yang dinukilkan oleh moderator forum "Maqasid Syariah dan Pola Pemikiran Gerakan Islam di Malaysia" mereka:



“Ikhwah semua, Saya telah menerima banyak komen dan penghargaan tentang forum semalam. Sebenarnya, kita telah berkerja sebagai satu pasukan. Ia adalah produk dari satu sistem. Sistem jamaah yang terbaik dari segala aspeknya.


Kita telah dilatih oleh pasukan terbaik yang ada, termasuk Mustafa Mashour, 1983 - 84 (beliau menghadiri mesyuarat Syura IRC) Khurshid Ahmad, dan para pimpinan kita yang telah memberi kesan besar kepada kehidupan saya ketika berada di UK - akhi Zaid, Abu Iman, Dzul Hashim, Mustafa Kadir, Abu Urwah, Ahmad Abdul Kadir.


Keenam-enam Ikhwah ini telah memberi impak yang besar ke atas hidup saya. Saya berada di dalam jawatankuasa politik selama 6 tahun, saya adalah seorang pelatih, seorang junior di bawah 5 orang pimpinan ini. Terima kasih dan jazakallah.


Seorang akh yang yang paling saya kagumi adalah seorang akh dari Sudan bernama Dr Zubair Basher Taha (jurulatih peribadi kepada Zaid), kemudiannya menjawat jawatan Menteri Pendidikan Sudan ketikamana  Ikhwan memegang kuasa. Sekarang beliau menjadi gabenor sebuah wilayah di sana.


Inilah yang saya panggil sebagai tarbiyyah ……. pada sisinya yang terbaik. IRC pada sisinya yang terbaik merupakan yang terbaik sekali di dunia pada ketika itu.


Satu perkara yang paling saya hargai ketika di UK, kita telah didedahkan kepada fikrah Ikhwan dari 15 negara and para pemimpin Jamaati Islami. Justeru itu kita menikmati pelangi fikrah.


Teori kita bukan berasal dari sesebuah negara. Dalam tahun 1980 semua ikhwah kita perlu mengambil Ulumul Quran dan Ulumul Hadith. 6 bulan. Dan ilmu sirah kita memang hebat. Dan …kita baru mula Latihan Politik … memang terbaik. 7 tahun. Berebut rebut beli buku sirah.


Saya sampai di UK pada 17 September 1977  dan sepanjang dua tahun pertama masa A Level telah hadiri sebanyak 48 progrem. (selain usrah) 15 program dalaman dan 33 program luaran. Best nya masa tu program kita ada teori dan praktikal. Kita menguasai semua wajihah (platform) nasional ketika itu, kesemua 6 wajihah itu. Belum lagi masuk persatuan Islam dan persatuan Malaysia di 30 buah university yang semua ikhwah pegang jawatan.


Kehidupan pengucapan awam saya bermula lebih awal lagi sebenarnya, di MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar). Digilap di UK sejak dari tahun 1980.


Itulah … ikhwah sekalian kisah saya tentang Tarbiyyah kita. Itulah produk Tarbiyyah kita sesungguhnya. Saya sangat mengharapkan kita dapat mewariskannya kepada generasi ke2 kita dan lahirkan lebih ramai pemimpin lagi.


Tentang forum semalam itu, Dr Maszlee, Tuan Syed, Dr Mujahid dan Ustaz Hasan lah yang paling cemerlang sekali.


Jamaah ini tidak pernah berkaitan dengan mana-mana akh atau ukht. Kita adalah satu pasukan.


Saudara kamu, Arifin Hassan”.



[Nota: Pernyataan ini merupakan terjemahan Bahasa Melayu kepada satu nota catatan Bahasa Inggeris yang diperolehi dari sumber dalaman Ikram sendiri yang enggan dikenali].































Khamis, 13 November 2014

Sekiranya ISMA Disaman …


Dengan mengenepikan terlebih dahulu proses, prosedur dan aspek-aspek teknikal Mahkamah, ada beberapa senario yang saya jangkakan akan berlaku sekiranya Marina Mahathir (MM) mengheret ISMA ke kandang Mahkamah.

Saya bukan tukang tilik atau Nujum Pak Belalang yang boleh meramal masa depan atau keputusan Mahkamah nanti. Tapi pada pandangan saya, telahan-telahan berikut masih lagi boleh dianggap munasabah dan tidak keterlaluan …


Pertama:

Kes ini akan menjadi sensasi kerana melibatkan individu/organisasi berprofail tinggi. Masyarakat secara umumnya sudah mengenali siapa dia MM, tetapi ISMA akan menjadi perhatian dan tumpuan ramai, termasuk dari media tempatan dan antarabangsa. Apatah lagi, isu yang menjadi tajuk perbicaraan nanti bukanlah sebarangan isu.

Agenda, progrem-progrem, pemegang-pemegang utama jawatan dan para pemimpin ISMA akan menjadi sorotan dan bahan perbahasan/analisa.


Kedua:

Dan perbicaraan ini akan diikuti dengan penuh minat oleh kerana ia melibatkan intergriti dan kewibawaan dua pihak yang berprinsip. Buatlah carian di Google atau telitilah lamanweb masing-masing pihak dan anda akan mendapat banyak maklumat tambahan tentang agenda perjuangan masing-masing.


Ketiga:

Perbicaraan ini akan menjadi medan ketiga (setelah Geneva dan media maya) yang menyentuh isu-isu yang dibawa oleh Comango. ISMA akan ditanya dan diminta membuktikan dakwaannya yang MM adalah antara pemegang peranan utama di ebalik isu Comango ini.

Di sinilah MM akan ditanya tentang pendiriannya terhadap beberapa tuntutan Comango yang ditentang oleh ISMA.

Apakah pendirian MM terhadap

- agenda SIS.

- kebebasan untuk Murtad,

- amalan seks bebas sejantina,

- penghapusan hak dan kedudukan istimewa Melayu,

- pentakrifan Rasisma,

- penolakan terhadap hudud/Syari’ah,

- membenarkan ajaran Syi’ah berkembang,

- mempertahankan hak ugama lain untuk berkembang dan beberapa isu sensitif yang dipertikaikan oleh ISMA (dan juga sebahagian besar umat Islam) di dalam laporan/tuntutan Comango.


Keempat:

ISMA berpeluang untuk menyampaikan pendiriannya terhadap isu Syi’ah, Kristianisasi, Liberalisma, Pluralisma, hubungan kaum, Hudud/Syariah, LGBT, Hak Asasi, Murtad, kedudukan Melayu dan Islam di dalam Perlembagaan … semua yang menjadi isu-isu Comango dan kebetulan merupakan antara sebab utama di sebalik penubuhan ISMA, iaitu membangun Ummah Yang Beragenda. Prestasi dan kewibawaan ISMA akan diletakkan di bawah teropong masyarakat dan umat Islam.


Kelima:

Episod saman MM ini hanyalah satu rantai dari puluhan mata rantai yang telah, sedang dan bakal dilalui oleh ISMA demi memperkukuhkan dan membersihkan saf dan organisasi. ISMA dan ahli-ahlinya telah melalui satu pengalaman yang manis dan penuh beremosi ketika membuat keputusan untuk terlibat di dalam PRU13 dengan natijah yang sangat memberangsangkan.

Pengalaman yang bercirikan karektor “willing to create three-corner fights and cause upsets in the seats that the group chooses to contest.” telah mematangkan ahli-ahli ISMA dan ISMA sendiri yang perlu kepada sati perbahasan khusus pula di ruangan lain.

Pendekata, ISMA adalah pencerminan kepada aspirasi masyarakat Islam yang menanti-nantikan generasi baru umat Islam yang berwawasan Islam dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya, memiliki keprihatinan yang mendalam terhadap masadepan umat Islam dan berani untuk mempertahankan agenda perjuangannya.

ISMA bukan organisasi yang sanggup berkompromi dengan begitu mudah dan longlai sekali di hadapan wajah anti-Islam dan anti-insaniyah, atau mudah mencairkan identiti dan menggadai prinsip dalam apa jua keadaan atau tekanan, walaupun perlu hadir ke Mahkamah untuk membuktikan kesungguhan dan keseriusan mereka.

Dalam pada itu, adalah dinasihatkan (khusus kepada penulis sendiri) supaya ahli-ahli ISMA tidak melupai barang sedetikpun bahawa kekuatan dan keberadaan kita adalah dengan limpah taufik, inayah dan rahmat dari Allah juga.

Sumber kekuatan ISMA (selepas kekuatan akidah dan ukhuwwah) terletak kepada produk utama kita iaitu TARBIYAH dan pra-sarana amal soleh yang lain.

ISMA adalah wadah dan jamaah yang berteraskan Islam, luar dan dalam. Dulu, kini dan selamanya …

Masa akan menentukan,

Sejarah akan membuktikan!

Rabu, 18 Jun 2014

Di Sebalik Saman Terhadap Presiden ISMA



Alhamdulillah, Presiden ISMA tidak didakwa kerana menjual kedaulatan negara, atau kerana mengorbankan prinsip perjuangan Islam, atau memperjudikan nasib dan masa depan bangsa Melayu dan umat Islam. Beliau tidak didakwa kerana menurut kehendak orang-orang kafir dengan segala tipu daya mereka untuk merosakkan masa depan generasi muda mudi Islam dan menjahanamkan tanahair ini.

Alhamdulillah sekali lagi, ahli-ahli ISMA tetap istiqamah di atas jalan yang dipilih dan masih meneruskan amal-amal mengislah dan mentarbiyah umat, masih sibuk dengan progrem-progrem dan aktiviti-aktiviti dakwah kepada masyarakat dan tidak melepaskan atau menangguhkan mana-mana sudut dari kegiatan rutin mereka untuk membangun Ummah yang beragenda di tanahair.

Pihak musuh dan golongan yang bersekongkol dengan mereka boleh saja bertepuk tangan atau melonjak kegirangan dalam hati akan tindakan yang dikenakan ke atas Presiden ISMA, tetapi hal itu sedikit pun tidak menggoyahkan ahli-ahli ISMA. Kata-kata dan komen-komen sinis dan memperlecehkan ISMA bahkan menjadikan ahli-ahli ISMA lebih yakin dan komited terhadap Manhaj Tarbiyah yang dipilih.

Ummah ini yang dipenuhi hati-hati Mukmin yang ikhlas dan cinta akan agamanya beruntung kerana satu episod yang besar ertinya sedang berlangsung di hadapan mereka. Mereka akan menyaksikan betapa mendalamnya dendam dan kedengkian yang bersemadi dalam sanubari puak kafirin terhadap sebarang suara atau usaha untuk membongkar rencana jahat mereka, mendedahkan kebencian mereka terhadap Islam dan umat Islam.

Puak kafirin dan musuh umat Islam (termasuk sesiapa yang bersubahat dengan mereka) tidak akan berdiam diri bilamana penguasaan mereka ke atas minda dan nasib umat Islam cuba dihancurkan. Mereka tidak akan membiarkan suara kebangkitan ini memporak perandakan monopoli mereka ke atas kewewenangan yang telah berakar umbi dalam masyarakat Islam.

Anehnya (dan malang sekali), musuh Islam ini dibantu dan disokong pula oleh sebahagian umat Islam, termasuk dari kalangan mereka yang begitu diharapkan untuk menolong ugama Islam. Ada yang selesa bepangku tangan, ada yang bertepuk tangan, ada yang berpura-pura memandang ke arah lain (seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku) dan ada yang mungkin menyemburkan kata-kata kepuasan hati: "Padan muka!"

Apa yang pasti, umat Islam tidak akan diperbodohkan lagi selepas ini. Pihak musuh Islam tidak akan dibiarkan bermaharajalela dengan agenda-agenda kufur mereka tanpa perlawanan yang seimbang dan setara dengan permainan licik mereka.

Pedulikan para politikus dan makhluk perosak ugama yang terlalu sempit ufuk dan dimensi "perjuangan" mereka di medan politik. Undi umat Islam adalah sekadar batu loncatan dan suara mereka hanyalah satu dengungan setaraf nyamuk yang boleh dinyahkan begitu sahaja.

Pedulikan juga para aktivis dan amilin dakwah yang begitu selesa dan akrab dalam pelukan sang kafir. Biar mereka terus dilenakan dalam strategi dan wasilah dakwah yang melekakan dan melegakan.

Namun bagi masing-masing ada pahala tersendiri, Jazakallahu khairan.

Biar mereka kata apa yang ingin dikatakan, ia tidak akan berbekas di hati.

Cukuplah bagi pimpinan dan ahli-ahli ISMA bahawa selagimana anda semua berjalan di atas landasan Syara' dan menepati manhaj perjuangan yang dicontohkan oleh Rasulullah s'a.w, umat Islam seluruhnya akan bersama anda.

Ini adalah masa untuk membuktikan keyakinan dengan amal yang ikhlas. Ini juga masa untuk menzahirkan apa yang dipelajari di dalam segala wasilah Tarbiyah yang dilalui. Ini juga satu kesempatan untuk bermuhasabah dari kelalaian, keculasan, kemalasan dan kecuaian terhadap tanggungjawab ke atas umat Islam.

Medan amal sebenar baru sahaja bermula ...

Rabu, 11 Jun 2014

ISMA Tidak Akan Berganjak Sama Sekali!



Walau ISMA keseorangan atau ahlinya mengundur diri seorang demi seorang ... biar digelar ekstrim, pelampau, rasis, tidak matang, tidak strategik dan sebagainya, ISMA tidak akan berganjak dari pendiriannya.

Ramai yang menegur dan mengkritik ISMA dan Alhamdulillah ISMA boleh terima teguran dan kritikan tersebut dengan rela hati. Bagaimanapun, ISMA berjalan di atas kefahaman yang jelas tentang matlamat dan hala tuju serta tidak menyimpang dari asas-asas Syara'.

Justeru itu, sesiapa yang berkeyakinan bahawa ISMA telah tersasar, menyeleweng atau lari dari Islam, tolong tunjukkan (berserta dalil Syara'), kat mana yang ISMA telah buat yang salah dari segi Syara'.

Sekiranya anda atau mereka tidak dapat menemukan apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa ISMA sedang berjalan di luar landasan Syara’, maka bersegeralah untuk insaf dan ambillah sikap berdiam diri. Biarkan sahaja ISMA buat kerja yang anda tidak sanggup pikul. Anda dan mereka tidak akan rugi sedikitpun.

Alhamdulillah, setakat ini ISMA tidak/belum pernah menggadaikan prinsip dan dasar perjuangannya hanya kerana terlalu ghairah untuk mengambil hati kawan atau yang bukan Islam (kafir), atau berkompromi dengan pihak yang membawa agenda anti-Islam di dalam perjuangan mereka atau terlalu “play safe” dan sering mengalah dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam.

Benar, ISMA tidak maksum. Dan begitu jugalah status setiap NGO Islam, parti politik Islam, institusi Islam dan tokoh-tokoh Islam malah seluruh umat Islam. Maka kesepakatan atas dasar dan asas-asas Islam dan akidahlah yang menjadi satu-satunya jaminan tegas bahawa umat ini tidak akan berkumpul di dalam Kebatilan.

Posisi apakah yang selayaknya diduduki oleh seorang Muslim yang ikhlas pada ugamanya di dalam siri pertempuran Klasik antara Islam dan Jahiliyah pada zaman ini?

Kalau kita benar-benar ikhlas terhadap usaha mempertahankan Islam di Malaysia, marilah berganding bahu dengan umat Islam yang ikhlas, bersama NGO-NGO Islam di bawah PEMBELA dan sahabat-sahabat mereka (kalau enggan bersama ISMA sekalipun) untuk melawan usaha-usaha terbaru melalui cadangan Rang Undang-undang yang pihak musuh Islam melalui proksi-proksi liberal dan sekular tempatan cuba bawa untuk dibentangkan di Parlimen.

Rang Undang-Undang Jenayah Kebencian (Hate Crime) kaum dan Agama, Rang Undang-Undang Harmoni dan Rekonsiliasi DAN Rang Undang-Undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi adalah nama baru bagi menjayakan tuntutan-tuntutan Comango, IFC dan yang sealiran dengannya yang bercanggah dengan Islam supaya menjadi Akta Parlimen yang hanya boleh diubah melalui pindaan Parlimen kemudian nanti.

Mereka telah kalah di Geneva. Tetapi justeru mereka tetap tidak berputus asa. Mereka telah bawa pertempuran ini supaya dendam dan agenda mereka dilangsaikan dan diputuskan di Parlimen, dengan sokongan tersembunyi dari musuh Islam pada skala antarabangsa.

Tidak ada seorang pemimpin Islam atau satu agensi/institusi Islam atau NGO Islam pun yang dirujuk,  malah umat Islam tidak langsung diminta pendapat mereka dalam proses penyediaan Rang Undang-undang tersebut sedangkan natijahnya akan membawa kesan dan akibat ke atas seluruh umat Islam, setiap sendi dan syi’ar Islam serta akan menghilangkan/menghancurkan jaminan perlindungan Islam dan umat Islam/Melayu yang selama ini dibentengi dengan kukuh oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kalau mereka berjaya membentangkan ketiga-tiga Rang Undang-undang tersebut dan ia menjadi Akta Parlimen, jangan terkejut atau merasa sedih kalau anak cucu kita dan generasi kemudian mengutuk kita dan meludah di atas kubur kita kerana mengkhianati Islam dan mewariskan satu mala petaka besar untuk dihadapi oleh mereka.

Jangan menyalak, melalak dan menangis airmata darah bila nasi sudah menjadi bubur.
Jangan meratap hiba kalau anak-anak anda menjadi “murtad by default and operation of law” sebaik-baik sahaja bayi itu dilahirkan dari rahim ibunya yang Muslimah.

Senario yang terbentang di hadapan amat mudah. Sekiranya ISMA tidak mengambil peduli dan “risiko” untuk menghadapi kesongsangan dan muslihat licik musuh ini, peranan itu akan diambil alih oleh pihak lain, yang ikhlas dan jujur pada ugamanya. Maka jangan kita tersalah sangka bahawa peranan ini hanya hak eksklusif atau istimewa yang sengaja direka-rekakan oleh ISMA.

Tanggungjawab besar ini turut terletak pada setiap NGO dan parti politik yang membawa agenda Islam khususnya, baik IKRAM, HALUAN, ABIM, PAS, UMNO dan lain-lainnya.

Nadi pertempuran ini adalah pertempuran antara fikrah Islam dan fikrah Jahiliyah untuk menguasai minda, jiwa dan kesetiaan umat Islam.

It was never about human rights, liberalism, freedom, equality, harmony or whatever semantics that you have.

Letaklah apa nama sekalipun … semuanya hanyalah satu usaha penyamaran terancang untuk mengelirukan umat Islam dan mereka yang beramal untuk Islam. Itu adalah hawa nafsu dan belitan Iblis yang berselindung di sebalik pelbagai nama, label, penggelaran, pemasyhuran, branding, marketing dan advertising semata-mata.

Justeru itu, sekiranya ISMA ditakdirkan tidak wujud lagi di bumi Malaysia, akan sentiasa ada pihak lain yang akan mengangkat Bendera Islam dan mengisytiharkan perang ke atas Jahiliyah dan agendanya.

Lebih baik melutut dan mati dalam keadaan mulia dan merdeka daripada berdiri tapi hidup dalam keadaan jiwa terbelenggu dan diri dihinakan.

Sama ada Islam atau Jahiliyah.

No more, no less.

Khamis, 29 Mei 2014

Memilih Antara DAP Atau MCA Yang Sama-sama Membawa Mudharat

"Usah Ragu Undi Dyana Sofya": Akhbar Harakah.


Melihat tajuk akhbar Harakah ini, saya berpandangan bahawa gabungan parti-parti politik pembangkang sudah panik (atau DAP yang panik sebenarnya) hingga terpaksa menggunakan khidmat Presiden PAS untuk memujuk para pengundi Melayu Teluk Intan untuk memenangkan calon DAP.

Saya lebih suka melihat isu ini dari sudut pandang berbeza.

Ketepikan dahulu isu sekitar calon DAP Melayu yang membuatkan para pemimpin PAS kerap tersalah tingkah dan terkantoi dengan hujah-hujah sendiri yang saling bercanggahan antara satu sama lain, khususnya dalam isu mengundi calon Muslim yang fasiq berbanding calon kafir yang kufur.
Isu ini telah disentuh dalam satu status saya terdahulu: (https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/785276054829740).

Adalah ditegaskan bahawa DAP (dan juga MCA serta Gerakan, by natural extension) tetap membawa agenda politik yang sama sekali bercanggah dengan kepentingan Islam dan umat Islam).
Dalam kalimah berterus terang, mereka membawa agenda kufur.

Itulah yang mereka perjuangkan.

Bolehkah sesiapa di sini (contohnya Ketua Dewan Ulamak PAS) menerangkan kepada kita semua status dari sudut Syara’ akan kedudukan parti politik yang secara terang-terangan dan konsisten membawa agenda kufur?

Tolong “fatwa”kan dengan terang, jelas dan bersandarkan dalil bahawa perjuangan DAP (termasuk MCA dan Gerakan) adalah Syari’i, supaya umat tidak menghadapi dilema atau kemusykilan untuk memilih parti politik ini ataupun calon mereka.

Adakah di sana terdapat sebarang khilaf kalau kita menyatakan bahawa apa sahaja persefahaman, memorandum, perjanjian atau kerjasama antara mana-mana organisasi atau parti politik (apatah lagi kalau melibatkan nama Islam) MESTI patuh kepada Syara’?

Nilai manakah yang perlu diutamakan dan diperjuangkan dalam situasi keterpaksaan menjalinkan hubungan dengan parti-parti politik yang membawa agenda kekufuran - nilai Syara’ atau nilai yang tidak Syara’?

Bolehkah kita memberi ruang kepada parti-parti politik beragenda kufur itu untuk memaksakan kehendak mereka (di mana seringkali tuntutan-tuntutan mereka itu sangat merugikan umat Islam dan membelakangkan nilai Syara’ dan juga kedaulatan Islam) dan seterusnya membiarkan umat Islam secara umumnya turut bersubahat dalam menjayakan agenda kufur tersebut?

Lebih dahsyat dan mengelirukan lagi apabila organisasi-organisasi Islam lainnya dan para ahli atau pendokong parti-parti politik (yang seangkatan dan sehaluan dalam kerjasama politik) perlu dikerahkan untuk membantu memenangkan calon yang mewakili parti yang membawa agenda kufur!
Lebih memalukan pula kalau para pimpinannya tanpa segan silu turut mempromosikan “kewajaran” dan “keharusan” mengundi calon tersebut.

Begitulah “faudho’” (kelamkabut dan serabutnya) apabila kepentingan politik mengatasi segala-galanya, meskipun nilai Syara’ dan kepentingan umat Islam harus/perlu dikorbankan dalam proses untuk mencapai cita-cita politik tersebut.

Sebaliknya, parti politik DAP yang sekular, cauvinis, sosialis dan evangelis ini TIDAK PERNAH mengorbankan walau secebispun agenda dan ideologi perjuangannya. Baik ketika ia bersendirian mahupun ketika ia bergabung dengan mana-mana parti politik.

Ia tetap istiqamah dalam agenda kekufurannya.

Apapun strategi dan sepak terajang politiknya (termasuk dengan meletak calon Melayu) tidak terkeluar dari kerangka tradisinya yang pekat dengan agenda anti-Syara’.

(https://www.facebook.com/mohd.luttfi/posts/784205748270104)

 Umat Islam tidak akan tertipu atau diperbodohkan selama-lamanya.

Kesimpulannya:

Tahi lembu itu tetap tahi lembu, walaupun anda menghiasnya dengan icing, chocolate rice, strawberry sauce dan manikoram yang menawan sepertimana yang anda boleh lihat pada kek-kek yang dijual di Secret Recipe!

Sifat, hakikat, jatidiri, makrifat, wujud, bau, rasa dan namanya tetap tahi lembu.

Itulah “dhawabit”nya sampai bila-bila.

Jumaat, 23 Mei 2014

PRK Teluk Intan: Satu Hipotesis


Sekadar satu andaian/hipotesis semata-mata:

Katakanlah DAP dan Gerakan masing-masing meletakkan calon berbangsa Cina di Teluk Intan. Memandangkan taburan pengundi Cina adalah 50% lebih, maka undi boleh pecah di antara para pengundi tersebut. Para pengundi Cina mungkin menyukai DAP tetapi Teluk Intan adalah kubu tradisi Gerakan yang calonnya juga mempunyai pengaruh yang tidak kurang penting dan meluas.
DAP mungkin perlu mendapatkan tambahan undi dari para pengundi Melayu (hampir 40%) untuk menang tipis atau sekurang-kurangnya mengimbangi jumlah peratusan pengundi yang memihak kepada Gerakan.

Para petugas pilihanraya, khususnya dari parti PAS mungkin tidak akan mempunyai alasan atau motivasi yang tinggi untuk memenangkan calon Cina dari DAP atau meraih undi dari kawasan pengundi Melayu. Besar kemungkinan para pengundi Melayu tidak akan keluar mengundi pun.
Satu strategi yang paling berkesan dan mungkin membantu DAP untuk mencapai matlamat dan tujuan politiknya ialah dengan meletakkan calon Melayu yang penting kedudukannya di dalam hirarki kepimpinan DAP. Calon Melayu yang dipertaruhkan oleh DAP sudah tentu dapat merancakkan lagi senario PRK di Teluk Intan.

Parti Gerakan dan jentera pilihanraya Gerakan perlu berhadapan dengan calon yang muda, terpelajar, menarik perawakannya dan terpenting meyakini agenda dan falsafah perjuangan parti (walaupun Melayu) dan para pengundi Melayu akan terkesan dengan kehadiran seorang calon Melayu yang “mungkin” boleh diharapkan untuk membela kepentingan Melayu di Teluk Intan.

Parti dan pimpinan PAS pula terpaksa berhempas pulas untuk menangani satu dilema untuk meyakinkan para petugas dan jentera pilihanrayanya untuk menyokong dan membantu calon Melayu dari DAP yang dipertikaikan kewibawaannya dari segi pematuhan kepada tuntutan Syara’ (tidak tutup aurat dan dikategorikan sebagai "Muslim yang fasiq”) dan membawa agenda yang bercanggah dengan Islam (falsafah perjuangan DAP yang bersifat sekular dan sosialis).

Mereka (PAS) terpaksa menelan kembali pahitnya dan kotornya ludah mereka sendiri dan pada waktu yang sama perlu memastikan kemenangan bagi calon Melayu DAP, khususnya dari 40% pengundi Melayu.

Di akhir analisanya, DAP tidak rugi apa-apa. Dan dengan meletakkan calon wanita Melayu, parti itu dan pimpinan DAP berharap satu kejutan dan “precedent” boleh berlaku di Teluk Intan berdasarkan pertimbangan dan faktor-faktor di atas.

Jadi, faktor undi Melayu sebagai elemen penentu kemenangan calon-calon yang bertanding tidak boleh diperkecilkan atau diremehkan.

Kedua-dua parti yang bertanding itu sangat memerlukan undi-undi penentu dari kalangan para pengundi Melayu.

Dan kedua-dua parti itu juga sangat konsisten dalam penentangan mereka terhadap Hudud/ Syari’ah Islam atau perlaksanaannya!

Kasihan orang-orang Melayu/Muslim Teluk Intan.

Anda terpaksa membantu dan memberi kemenangan kepada pihak yang tidak pernah setia atau ikhlas terhadap kepentingan anda!

Pentingnya anda hanyalah sekadar alat untuk ketamakan pihak musuh terhadap kuasa!

Barangkali satu cara untuk mengajar kedua-dua parti DAP dan Gerakan ialah dengan MEMBOIKOT sama sekali PRK kali ini atau memBERI UNDI ROSAK sebanyak 40%!

Kalau anda semua mampu berbuat demikian, bermakna yang menang di dalam PRK Parlimen Teluk Intan adalah bangsa Melayu dan umat Islam sendiri!

“Lets teach them a lesson they’ll never ever forget”!

Khamis, 22 Mei 2014

Antara Nostalgia Dan Flashback PRU13.


Ada seorang tokoh sebuah parti politik berhaluan Islam berhujah:


Antara calon Muslim yang fasik dengan seorang calon kafir yang kufur, perlu pilih calon Muslim yang fasiq. Sebabnya - dari segi martabat, seorang muslim yang fasiq adalah lebih baik dari seorang kafir. Walaupun fasiq, dia tetap mempunyai aqidah yang mentauhidkan Allah.

Keunikan kes di atas kerana kedua-dua calon yang bertanding di PRK Parlimen Teluk Intan ialah kedua-dua parti yang diwakili oleh calon-calon tersebut tidak membawa agenda Islam dan tidak juga bersetuju dengan perlaksanaan Hudud/Syari’ah di Malaysia.

Manakala di PRK Parlimen Bukit Gelugor pula, ada calon Muslim (yang tidak menolak Hudud/Syari’ah) dan yang bertanding melawan calon kafir yang kufur. Uniknya PRK di sini, calon kafir yang kufur itu mewakili parti yang tidak membawa agenda Islam dan juga tidak bersetuju dengan perlaksanaan Hudud/Syari’ah.

Kalau ikut logik bagi PRK Parlimen Teluk Intan, PRK Bukit Gelugor juga kena gunapakai hujah yang sama. Malah nisbah yang tinggi lebih memihak kepada calon Muslim yang tidak tolak Hudud dan perlaksanaan Syari’ah.

Semasa PRU13, ISMA menghantar beberapa ahlinya bertanding di beberapa kerusi Parlimen/DUN melawan calon-calon kafir yang kufur dari pelbagai parti.

Akan tetapi, calon-calon yang terdiri dari ahli-ahli ISMA itu (yang membawa agenda Islam) mendapat layanan dan penghujahan yang terbalik dari apa yang sedang dipromosikan untuk calon Muslim fasik di Teluk Intan.

Adakah kerana calon-calon tersebut terdiri dari ahli-ahli ISMA?

Atau barangkali beliau sudah dijangkiti dengan sindrom Melayu mudah lupa?

Atau penggunaan kaedah Fiqh itu bersifat “selective” sahaja - boleh dipilih dan digunapakai sesuka hati?

Mana yang sesuai atau membawa kemaslahatan dan “political mileage” kepada parti akan diwiridkan setiap hari manakala kalau penggunaannya akan memberi kelebihan atau “advantage” kepada pihak yang tidak sehaluan, tiba-tiba akan dimansukh kan?

Alangkah lucunya situasi ini.

Adapun bagi saya sebagai ahli ISMA, saya dengan rasa rendah hati hanya akan berkata: Allahu Akbar wa Lillahil Hamd.

________________________________

Nota hujung:

Saya bukanlah orang yang memulakan penggunaan istilah kafir yang kufur untuk salah seorang calon di PRK Bukit Gelugor ya …

Selasa, 19 November 2013

Hardcore Dan Softcore Dalam Jamaah Islam



Benarkah ahli-ahli sesebuah NGO atau jamaah Islam perlu ada ahli yang “hardcore” dan “softcore” semata-mata?

Hardcore, softcore dan apa-apa core lagi hanyalah pada tahap penerimaan/penghayatan seseorang terhadap: Fikrah, manhaj dan visi/misi organisasi tersebut.

Ada beberapa kategori lain lagi dalam organisasi yang sama yang sebahagian orang terlepas pandang atau tidak perasan.


Contoh -

ahli yang kaki lawak,

suka mengenakan kawan-kawan lain secara bersenda gurau,

yang serius giler, yang cakap banyak, cepat marah (tapi bukan baran),

yang lembut dan sensitif hatinya serta pemalu,

tersangat pemaaf,

yang rajin menulis,

bersukan,

berpidato,

yang suka makan asam pedas dan lemak cili padi,

yang suka bersembang dengan Presiden sahaja,

yang minat filem tapi tak suka bolasepak,

kaki sukan dan angkat berat,

yang suka memasak tapi turut suka aktiviti lasak,

yang agak keras tahap kemarahannya pada parti pemerintah,

yang tak berapa berkenan pada beberapa tokoh masyarakat tertentu,

yang suka dengar musik klasik,

yang tak suka bernasyid,

yang pandai bertukang,

yang pakar statistik,

yang hartawan tapi pemurah,

yang miskin tapi sabar,

yang ber Merc dan ber Wira,

pakar bius yang cool

atau guru yang skema …


Semua ini adalah kepelbagaian dan rencah-rencah keahlian.

Kalau NGO atau jamaah itu hendak berkembang baik, ia perlu menghimpunkan dan menjuruskan kesemua kepelbagian ini ke arah pencapaian agenda perjuangan Islam.

Tulang belakang ke "aneh" an ahli-ahlinya adalah fikrah Islam yang sama, ukhuwwah, taaruf, saling lengkap melengkapi, cinta dan mahabbah, keikhlasan, thabat dan iltizam, ibadah yang tulus dan akidah yang sahih.

Tidak ketinggalan kebijaksanaan mengurus perbezaan dan konflik, meraikan khilaf yang saling memaafkan serta adil kepada semua ahlinya.

Juga tidak terhalang budaya menegur dan saling memberi/menerima nasihat ...

Kalau sesbuah NGO atau jamaah Islam hanya terdiri dari ahli:

yang sama sahaja perangai dan tingkah laku mereka,

yang serupa dalam perasaan dan emosi,

tak pernah marah atau menangis,

yang tidak pernah tersenyum atau bermasam muka,

yang sinonim sahaja penampilan dan gaya mereka,

yang kaki angguk dan kaki geleng,

serentak dan senada sepanjang masa …

Maka NGO atau jamaah Islam itu lebih sesuai dipanggil NGO/jamaah robot atau malaikat!

Ahad, 17 November 2013

Isu Comango: Pertanyaan Kepada Parti-parti Politik Malaysia Dan Ngo-Ngo Islam.


Sebagai seorang rakyat Malaysia, seorang pengundi dan seorang individu dari kalangan umat Islam di tanahair berdaulat ini, saya ingin bertanya:

1. Apakah pendirian parti-parti politik UMNO, PAS, DAP, PKR dan belasan lagi parti yang ada terhadap isu Comango?

2. Apa pula sikap dan pendirian Ngo-Ngo Islam seperti ISMA, IKRAM, ABIM, HALUAN dan lain-lain NGO Islam terhadap isu yang sama ini?

Antara tujuan para penggerak Comango adalah supaya kerajaan Malaysia menerimapakai (dan memperkasakan melalui penggubalan undang-undang) segala tuntutan Comango yang mereka telah lobikan di Geneva baru-baru ini.

Tuntutan-tuntutan yang melanggar Syara’, mereka telah selimutkan di bawah nama kebebasan, hak asasi, persamaan dan ketelusan. Tujuan mereka, supaya masyarakat umum dan umat Islam tidak sedar akan tipu muslihat dan strategi halus mereka supaya kerajaan Malaysia tertekan (dan akhirnya akur) dengan tekanan antarabangsa (yang kumpulan pendesak ini telah pengaruhi di anjung-anjung Geneva).

Kenapa saya bertanya demikian?

Jawabannya ialah kerana: Siapa sahaja atau parti politik mana sekalipun yang memerintah Malaysia perlu menangani dan memberi respon rasmi secara terang dan telus kepada kajian Universal Berkala (Universal Periodic Review) bila tiba giliran Malaysia di Geneva baru-baru ini. Tekanan (secara diplomatik) akan terpaksa dikunyah oleh pihak pemerintah, sama ada untuk menerimapakai (kemudiannya melalui undang-undang) atau menolaknya.

Kedua-dua pilihan ini mempunyai impak dan kesan tersendiri kepada pihak pemerintah yakni Kerajaan Malaysia dan juga rakyat.

Sekiranya kerajaan Malaysia menerima tuntutan-tuntutan penggerak-penggerak Comango ini, bermakna agenda Liberal, “Hak Asasi”, Pluralisme, Syi’ah, Kristianisasi dan seumpamanya telah berjaya secara besar-besaran.

Sekiranya kerajaan Malaysia menolaknya, bermakna kerajaan terpaksa berhadapan dengan tekanan pusingan kedua dari dalam dan luar negara supaya menerima juga tuntutan-tuntutan Comango ini.

Jangan lupa, pelobi-pelobi Comango dan rakan-rakan sejawat mereka masih boleh mencapai hasrat mereka melalui hubungan ekonomi (sama ada melalui termetrainya perjanjian dagang atau kerjasama ekonomi serantau) antara kerajaan (G 2 G) tanpa perlu bersusah payah.

Ini adalah permainan antarabangsa ya!

Sebab itu saya menanyakan sikap dan pendirian antara PR dan BN serta Ngo-Ngo Islam di Malaysia berhubung tuntutan-tuntutan Comango ini.

Pendirian siapakah di antara dua blok gabungan parti-parti politik ini yang lebih hampir kepada aspirasi Comango atau memiliki jalur agenda perjuangan yang hampir serupa?

Siapakah pula di antara dua blok besar ini akan menjadi ayam tambatan penggerak-penggerak Comango untuk mengarus perdanakan perancangan mereka?

Siapakah antara PR dan BN akan menjadi pelindung atau perantara (conduit) untuk melicinkan perjalanan dan pengembangan agenda Comango di tanahair?

Siapa yang lebih mesra Comango, BN atau PR?

Beralih kepada Ngo-Ngo Islam yang ada di Malaysia, apakah dan di manakah pendirian anda?

Mahu tau tidak mahu, secara sedar atau sebaliknya, anda semua telah ditakdirkan untuk berperanan dalam isu ini.

Masyarakat dan umat Islam khususnya tentu ingin tahu apakah “stand” anda dalam pertempuran ideologi sengit yang bakal mencorakkan masa depan watan umat Islam ini.

Ahli-ahli pertubuhan anda semua berhak tahu dan diberitahu!

Perkara ini bukanlah satu permainan bermusim yang akan berlalu untuk digantikan dengan permainan baru untuk musim baru pula. Ia adalah agenda tetap pertarungan antara dua ufuk dan dua identiti.

Kalau anda memilih untuk bertindak dan menyatakan pendirian, mudah-mudahan pilihan dan tindakan anda diberkati dan mendapat taufik dari Allah. Dan sekiranya pilihan anda tepat, ia akan terpahat pada lembaran sejarah yang boleh dibanggakan oleh generasi seterusnya.

Akan tetapi kalau anda memilih untuk berdiam diri, berpangku tangan, atau sekadar menjadi penonton bisu semata-mata, maka selesalah keberadaan anda dengan hidup di dalam tempurung kaca - anda dan para pengikut anda.

Sikap demikian bukanlah satu rekod kecemerlangan yang patut dibanggakan!

Dalam analisis terakhir, pilihannya terletak di tangan kita semua.

Maka, sudahkah kita membuat keputusan?

Isnin, 29 April 2013

Mari Bermula Dengan Politik Kasihsayang!


Benar - kali inilah kita bermula berbicara tentang politik kasihsayang!

Malam semalam, calon P017 Parlimen Padang Serai, al Fadhil Ustaz Hamidi Bin Abu Hassan telah dijemput oleh penduduk Padang Limau dalam kawasan Parlimen Padang Serai untuk memberi sedikit ceramah perkenalan diri kepada mereka. Ceramah bermula jam 9.30 malam dan tamat jam 11.30 malam.

Satu kelainan yang dipaparkan oleh jentera pilihanraya Ustaz Hamidi ini adalah ceramah yang dimulakan dengan bacaan al Quran dan diakhiri dengan doa yang dilafazkan oleh Ustaz Hamidi sendiri. Selepas doa penutup tersebut, para hadirin berpeluang berinteraksi dengan Ustaz Hamidi sambil menjamu selera dengan juadah yang disediakan oleh tuan rumah yang baik hati, Mak Teh dan Pak Teh.

Bilangan hadirin tidaklah ramai sangat, tetapi alhamdulillah, memberangsangkan. Ini kerana pondok panas BERJASA didirikan oleh penduduk kampung sendiri dan ceramah perkenalan ini juga diminta dan diatur oleh mereka. Jazakumullahu khairan kathira.

Saya sengaja mengambil kesempatan untuk bersembang dengan beberapa orang penduduk yang hadir, sambil menanyakan pandangan mereka tentang isi dan penyampaian ceramah Ustaz Hamidi. Secara umum, mereka agak terkejut dan kagum juga. Ada yang tidak puas hati kerana ceramah tamat jam 11.30 malam, walaupun banner menyatakan ceramah akan tamat jam 12.00 tengah malam.

Satu ungkapan yang menarik perhatian saya adalah komen seorang AJK sebuah masjid (saya tak ingat nama masjid itu) bahawa ceramah Ustaz Hamidi mengingatkan beliau kepada ceramah-ceramah PAS di zaman tahun 80an! Saya bertanya kenapa beliau berkata begitu. Beliau menjawab bahawa di zaman itu, ceramah-ceramah PAS akan diselangselikan dengan bacaan-bacaan ayat-ayat Al Quran, menyeru kepada agenda perjuangan untuk memertabatkan Islam dan membangkitkan semangat para hadirin supaya mengutamakan Islam dalam kehidupan mereka.

Akan tetapi, tambah beliau, semua itu berubah sejak PAS menjalinkan kerjasama dengan parti DAP. Seolah-olah (pada firasat saya) beliau merasai kehilangan suasana keaslian ceramah-ceramah PAS pada malam itu yang kini telah diambil peranannya oleh ahli-ahli ISMA.

Ada juga yang komen bahawa ceramah seperti inilah yang seharusnya ada dan mewarnai ceramah-ceramah politik dan kempen pilihanraya pada hari ini, bukannya ceramah yang disulami dengan caci maki, tuduh menuduh, memfitnah dan mengaibkan peribadi lawan.

Saya tidak tuduh PAS telah hilang keasliannya atau ceramah-ceramah PAS kini sudah menyeleweng. Tidak, kerana terdapat juga para penceramah dari PAS yang boleh membangkitkan kesedaran Islam di kalangan para hadirin ataupun mendorong mereka menjadi Muslim yang merasa prihatin akan masa depan ugama Islam di tanahair tercinta ini.

Apa yang saya ingin utarakan ialah betapa perlunya umat Islam hari ini dan masyarakat Islam di Malaysia khususnya kepada fenomena kempen politik berkasihsayang. Kempen yang di dalamnya umat Islam diajak supaya kembali kepada jatidiri sebenar umat Islam yang memiliki agenda hidup berugama sebagaimana yang dicontohkan oleh para Sahabat Rasulullah SAW. Supaya kembali kepada satu entiti Ummah yang berjuang dan bergelumang dalam medan hidup hanya semata-mata untuk mendaulatkan Islam di mukabumi. Supaya saudara Muslimnya dianggap sebagai pihak yang selayaknya dan sepatutnya ditumpahkan segala kecintaan dan kasihsayangnya, memelihara dan memperjuangkan hak-haknya dan membentenginya dari segala bentuk serangan pihak musuh.

Politik kasihsayang hari ini sudah dilupai sebahagian pendakwah Islam dan juga ahli-ahli politik Islam, baik dari pihak mana sekalipun. Ia seolah-olah dipinggirkan dalam medan persaingan memasarkan produk-produk politik mereka ataupun diletakkan di rak-rak belakang, kerana yang "laku" dan "panas" hari ini adalah produk yang berlabel: Jatuhkan! Singkirkan! Aibkan! Musnahkan!

Bilakah telinga kita akan diisi dengan bisikan kasihsayang dan persaudaraan sesama Muslim di dalam kempen-kempen politik hari ini?

Di manakah kita akan saksikan tiadanya kalimat cacian, cemuhan, fitnah dan kedengkian dilontarkan oleh para penceramah yang berdiri atas pentas politik atau dakwah?

Apakah kita masih berpeluang mendengar seruan ke arah kesepakatan, permuafakatan, tolong menolong, persahabatan, mengutamakan kepentingan saudara Muslim yang lain dan mencintai saudaranya melebihi kecintaan kepada diri sendiri?

Atau tergamak kah kita untuk melemparkan politik kasihsayang yang mulia itu ke belakang demi sebuah rangkulan dari sang musuh yang penuh tipu muslihatnya?