Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Selasa, 26 Februari 2013
ISMA Tidak Ada Sejarah Dan Latarbelakang?
Ramai yang komen tentang ISMA tak tahu sejarah dan latarbelakang ISMA.
Yang akan keluar hanyalah : Curi Aman Palestin, khianat dan tak amanah, tidak taat, suka curi ahli dari jamaah lain, kaki pembohong dan pemfitnah, talian hayat UMNO, melambatkan kemenangan Islam, rasis, suka doktrin anak buah, mengajar ahli-ahli ISMA supaya menderhaka kepada ibubapa, merampas aset jamaah...
Apa lagi yang terbuku di hati kalian?
Ayuh luahkan dan lambakkan semuanya di sini agar dada kalian tidak lagi sesak dan sempit.
Atau alangkah baiknya kalau ISMA tidak pernah ujud atau tidak pernah menjadi sebutan anak muda dan anak gadis. Supaya terlunas segala dendam di hati dan hidup kalian akan kembali ceria dan bahagia!
Atau kalian akan bergembira sakan menyaksikan impian kalian terlaksana: ketika ISMA merangkak malu dan dipasungkan dengan tanda "Aku Bersalah" lalu dipertontonkan di khalayak ramai dan kalian bertepuk bersorak keriangan seumpama musuh sudah menerima pembalasan karmanya?
Sekali lagi, hamburkanlah dan muntahkanlah segala-galanya demi keadilan dan hak yang telah "dirampas" dari kalian! Dan kerahkanlah anak-anak muda dan syuyukh kalian (luar negara dan dalam negeri) dengan gegak gempita mengisi ruang angkasa maya dan nyata! Serulah hulubalang dan kader-kader kalian dengan segala ilmu logistikal dan keghairahan emosi kalian yang tulus dan suci itu.
Susunlah bait dan rangkap karangan kalian untuk membalas kalam saya ini.
Saya akan menjangkakannya.
Sejarah dan masadepan akan mengadili dan menghakimi antara kalian dan mereka!
Sekiranya kalian bertegas untuk menuntut hak-hak kalian diakhirat, mereka juga memiliki hak untuk mendapat keadilan di sana!
Dan Allah tidak akan membezakan sama ada kalian ahli ISMA atau IKRAM!
Dan anggota badan serta pancaindera kalian tidak akan melihat baju dan jaket yang dipakai pemiliknya ketika di dunia!
Maka saling mendakwa dan menuduhlah sesama kamu!
Bawakan bukti dan saksi kalian!
Jumaat, 8 Februari 2013
Ke Manakah Akan Dibawa Undi Kepada PAS?
Sekadar ingin mendapat respon dari saudara saudari semua:
PAS mengharapkan undi dari umat Islam di Malaysia untuk menang dalam pilihanraya (dan mungkin juga dari yang bukan Islam).
Umat Islam bagi undi kepada PAS atas keyakinan bahawa PAS akan mempertahankan kepentingan dan kedaulatan Islam dari dipersendakan atau dihina oleh pihak bukan Islam.
Bila sudah menang, PAS menjalinkan Tahaluf Siyasi dengan DAP dan PKR atas pertimbangan dan alasan sendiri.
Beberapa persoalan yang timbul:
Pertama: Adakah undi dari para pengundi (khususnya umat Islam) termasuk memberi mandat kepada PAS untuk bekerjasama dengan parti-parti DAP dan PKR?
Kedua: Adakah PAS merujuk kembali kepada pihak yang memenangkannya dalam PRU untuk mendapat mandat/persetujuan bahawa PAS akan menjalinkan kerjasama tersebut?
Ketiga: Adakah undi dari para pengundi cuma bernilai ketika PRU berlangsung tetapi suara para pengundi diabaikan berhubung keputusan untuk bertahaluf dengan DAP dan PKR?
Keempat: Bolehkah PAS mendedahkan isi kandungan dokumen Tahaluf Siyasi supaya para pengundi dapat menilai sendiri bahawa keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap PAS di dalam PRU nanti masih kekal terpelihara? Atau adakah dokumen Tahaluf Siyasi itu sekadar untuk tatapan dalaman pimpinan PAS sahaja?
Kelima: Apakah para pengundi atas pagar dapat diyakinkan bahawa mengundi PAS dalam PRU 13 ini adalah demi memertabatkan Islam dan kehebatan jatidiri umat Islam dalam keadaan PAS kini kelihatan di"buli" dan di"permainkan" oleh DAP dan PKR?
Persoalan-persoalan di atas perlu dijawab dengan tenang, tanpa emosi dan dalam suasana keikhlasan sekiranya PAS ingin memposisikan entitinya sebagai satu hakikat sejarah yang masih kekal relevan kepada maslahat dan masa depan umat Islam di Malaysia.
Sebahagian umat Islam (yang juga pengundi) termasuk sebahagian ahlinya sendiri merasa tertekan, marah, keliru dan putus asa kerana sejak PAS bertahaluf dengan DAP dan PKR, banyak perkara yang perlu di "tolak ansur" kan atau di "adjust" supaya ikatan politik antara 3 parti itu di"harmoni"kan demi menumbangkan kerajaan "zalim" BN.
Persepsi yang timbul adalah PAS kini tidak lagi dianggap sebagai suara rasmi dan mutlak bagi wawasan Islam ataupun yang mewakili aspirasi umat Islam di Malaysia. Sebahagian masyarakat juga semakin bijak menilai bahawa mengutamakan pihak bukan Islam (DAP) dengan meminggirkan umat Islam yang lain (UMNO) bukanlah satu tindakan yang bijaksana dan positif dari pihak PAS.
Keuntungan jangka pendek dalam percaturan politik mungkin boleh dicapai. Akan tetapi kerugian jangka panjang yang bakal ditanggung mungkin juga bukan alang kepalang nisbah mudharatnya kepada masa depan Islam di tanahair.
Elemen yang paling kritikal dan mendasar dalam pencorakan sistem bernegara bukanlah suatu perkara yang boleh dibincangkan HANYA selepas memenangi PRU. Apatah lagi kalau di dalam Pakatan Rakyat sendiri, pelbagai fikrah, ideologi, sistem nilai dan agenda-agenda tersembunyi kerap bertegur sapa, lintas melintas dan berat dugaan, mereka saling lengkap melengkapi!
Sekiranya, saya ulangi, SEKIRANYA, PAS gagal mendominasikan agenda umat pasca-PRU13 dan ditakdirkan Pakatan Rakyat menang (walaupun dengan majoriti tipis), maka adalah DIKHUATIRI sebarang percubaan ataupun peluang untuk golongan Islamis kembali mendaulatkan Islam di negara ini akan terjejas teruk. Atau PAS akan terpukul dengan gugurnya keyakinan masyarakat Islam terhadap PAS atau SIAPA SAHAJA yang cuba untuk memulihkan keadaan.
Adakah ini satu pandangan yang terlalu paranoid? Atau pesimistik?
Langgan:
Ulasan (Atom)