Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Khamis, 31 Januari 2013
Bicara Cinta - Saling Merindu Dalam Diam
Adakah anda tergolong pemuda-pemudi yang kini dibuai keseronokan "alam bercinta" sambil memberi alasan "cinta kami masih Islamik" - disebabkan tidak pernah berjumpa atau melakukan perkara-perkara yang lazimnya dilakukan oleh orang lain (yang masih cetek kefahaman Islam mereka) - keluar sekali, kerap sms, ber facebook dan bergayut di telefon prabayar.
Mungkin anda akan berasa lega juga (dan rasa bangga sedikit) kerana mendapat calon lelaki idaman/mithali untuk dijadikan teman hidup jika ditakdirkan Allah.
Perasaan itu akan bertukar menjadi lain dan jantung anda akan berdegup kencang lebih dari kebiasaan apabila si dia memberi sesuatu respon kepada status anda atau Missed Call anda.
Fenomena itu adalah biasa bagi seorang gadis yang sedang dilambung gelombang asmara dan dilamun ombak cinta. Ketikamana anda dan si dia cuba menyelami isi hati masing-masing dan berlaku kekerapan dalam perkara ini,.. tidak bermaksud itulah hakikat pasangan yang bakal berada di samping kita.
Taaruf seorang suami/isteri terhadap pasangannya akan berlanjutan sepanjang hayat. Jangan terkejut kalau kita melihat sesuatu karektor yang luar dari apa yang kita bayangkan bila sudah berumahtangga kelak.
Tidak akan ada pasangan suami isteri yang sempurna dan ideal, yang hidup dalam suasana penuh kasih cinta kepada pasangannya sepanjang masa.
Lamanweb atau facebook yang melakarkan suasana cinta kepada dan kerana Allah yang begitu indah bukan jawapan atau rujukan terbaik untuk mempersiapkan diri anda untuk menjadi insan yang soleh atau solehah untuk dipersembahkan kepada Sang Kekanda dan Sang Adinda. Bukan juga tempat untuk mencari jodoh hanya kerana individu-individu yang menjadi ahlinya kelihatan soleh dan solehah belaka.
Wahai gadis,
Sudahkah anda melengkapkan diri dan kefahaman terhadap cabaran agung yang bakal digalas: iaitu untuk menjadi satu wadah membentuk dan membina generasi Muslim akan datang, untuk mewariskan risalah kepada bakal pembimbing ummah?
Sementara ada ruang masa sebelum anda disibukkan dengan kerjaya dan sebagainya, carilah kefahaman-kefahaman dan hikmah-hikmah itu. Ini kerana apabila anda sudah berumahtangga dan memiliki anak yang semakin bertambah, dikhuatiri anda akan tidak akan memperolehi kesempatan di celah-celah kesibukan anda.
Kalau sekadar untuk berkahwin dan berbahagia di samping suami yang soleh, anda tetap akan mencapai juga apa yang dihajati, sepertimana impian dahulu sebelum berkahwin. Pasangan biasa lain pun boleh mendapatkannya. Tetapi anda tentu punya harapan dan cita-cita yang lebih tinggi dari sekadar apa yang pasangan lain lalui, betul tak?
Anda tentunya berhasrat, (selain menjadi seorang ibu dan isteri), untuk menjadi salah satu elemen atau individu yang punya sumbangan untuk masa depan Islam di tanahair ini.
Kalau itu menjadi harapannya, anda perlu sama-sama terlibat dalam mana-mana organisasi pilihan anda sebagai satu wasilah untuk bersama-sama berkhidmat untuk Islam. Kalau tidak, secara perlahan-lahan dan tanpa disedari, hidup dan keluarga anda akan beransur-ansur bertukar menjadi rumahtangga Melayu yang biasa-biasa saja. Dan disibukkan dan dilalaikan sepertimana orang lain juga.
Pada waktu yang sama, keluarga mereka yang terlibat dalam jamaah atau pergerakan Islam di mana-mana sahaja pun tidak terlepas dari permasalahan kekeluargaan yang tabii bagi setiap manusia.
Tapi suami atau isteri yang masih dalam lingkungan jamaah atau pergerakan ini masih ada advantage (kelebihan) tersendiri. Suasana Islami dan sahabat-sahabat se usrah atau se jamaah misalnya masih lagi boleh menjadi tempat rujukan kita, disamping ahli keluarga kita sendiri.
Perhatikan sekeliling anda dan buatlah analisa-analisa mendalam secara tenang: Para pemuda pemudi Muslim kita bagaikan sepohon pucuk muda yang baru mengenal erti hidup tetapi di hadapan mereka, bahkan sejengkal dari batang tubuh mereka, taufan dan awan mendung sedang semakin menghampiri.
Anda yang belum memiliki persiapan ruhi, akal dan kudrat yang dicita-citakan akan dilambung pusaran angin yang bakal menerkam dan memangsakan anda - bagaikan anak burung yang belum tumbuh bulu di badannya, terpaksa terbang meninggalkan sarangnya lantaran sang ibu dan sang bapa tidak kelihatan.
Tiada yang membimbing, tiada yang mengawasi dan tiada yang mempersenjatakan anda!
Justeru itu, bebaskan diri anda semua dari rutin harian sang makhluk yang tiada wawasan dalam hidup, yang tiada beragenda dalam kewujudan sementaranya.
Anda bisa melakukannya!
Khamis, 3 Januari 2013
Siapa Yang Mereka Wakili?
Isu salun rambut di Kelantan dan penutupan pusat hiburan di Kedah ... telah dibincangkan.
Isu penggunaan kalimah Allah akan dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.
Cadangan pengajaran SEMUA agama untuk SEMUA pelajar (dari sekolah rendah ke IPT), belum dibincangkan ...
Malangnya ...
SEMUA isu ini TIDAK dibincangkan dengan SELURUH umat Islam di negara kita yang tercinta ini.
Dan minta maaf ya ... PAS tidak mewakili suara sejati dan majoriti umat Islam di tanahair.
Dan minta maaf juga ya ... UMNO pun tidak mewakili suara sejati dan majoriti umat Islam di tanahair.
Bila mana kedua-dua parti ini UMNO dan PAS ingin menjuarai sesuatu isu yang melibatkan kepentingan dan maslahat parti masing-masing, mereka akan berkata "Rakyat itu dan ini..."
Bila mana kedua-dua parti ini UMNO dan PAS ingin menjuarai sesuatu isu yang melibatkan kepentingan dan maslahat Islam dan umat Islam, mereka akan berkata "Umat Islam di negara kita itu dan ini..."
Seakan-akan suara rakyat dan umat Islam Malaysia hanya perlu dan dicari untuk kepentingan politik masing-masing.
Masing-masing mencari dan mendambakan undi dan sokongan umat Islam sebelum pilihanraya sambil mendakwa memperjuangkan kepentingan Islam dan umatnya.
Akan tetapi setelah menang, umat Islam tidak pula dicari atau diminta pendapat/pandangan mereka apabila parti-parti politik ini membuat tindakan atau keputusan yang bersangkut paut dengan kepentingan, masa depan dan kedaulatan Islam di tanahair!
Suara dan undi umat Islam hanyalah satu alat atau alasan untuk memenangkan agenda politik masing-masing (baik PAS atau UMNO) sebelum hari pembuangan undi.
Benarkah PAS dan UMNO benar-benar mewakili suara hati dan aspirasi umat Islam di Malaysia?
Atau perlu dibina satu wawasan Islami baru atas platform yang serba baru juga, yang bebas dari noda-noda hitam yang mewarnai sejarah kedua-dua parti Melayu/Muslim ini?
Apa kata umat Islam?
Langgan:
Ulasan (Atom)
