Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Sabtu, 20 Oktober 2012
Sebahagian Pesanan Khalid Al Walid (R.’A), Pedang Allah
Sebahagian pesanan Saidina Khalid Al Walid (Radhiyallahu ‘Anhu) menjelang Peperangan Ajnadain – 27 Jamadil Awwal. tahun 15 Hijriyyah:
“Ketahuilah, wahai umat Islam, bahwa Anda tidak pernah melihat tentera Rom seperti yang Anda lihat sekarang. Jika Allah mengalahkan mereka dengan tangan Anda, mereka tak akan berani lagi melawan Anda. Jadi bersabarlah dalam peperangan dan pertahankan iman anda. Awas dari membelakangi musuh, untuk kemudian Anda akan diazab di neraka. Berwaspadalah dan tetapkanlah kedudukan Anda …!”
Hari ini umat Islam pastinya tidak lagi berhadapan dengan tentera Rom, akan tetapi bahaya dan ancaman terhadap umat Islam tidak kurang hebat juga.
Kalau dahulu umat Islam berhadapan secara fizikal dengan tentera-tentera Rom dan Parsi, hari ini ancamannya berbentuk satu gerakan dan gagasan yang tersusun, yang memiliki dana dan aset yang cukup banyak, kader-kadernya yang ramai dan cukup terlatih, institusi-institusinya yang serba lengkap, sarana-sarana media dan wasilah-wasilah komunikasi yang serba canggih. mereka juga mempunyai pengaruh yang merangkai dari individu ke tokoh, yang meresapi dan bertapak di agensi-agensi kerajaan, swasta dan persendirian serta mendapat pendedahan dan liputan.
Itulah ancaman dan bahaya terbaru dalam bentuk Liberalisma, Pluralisma, Syi’ah, LGBT dan Hak Asasi Manusia!
Di sebalik ancaman di atas, umat Islam berbangsa Melayu di tanahair ini juga diseliputi awan mendung dan kabus yang tidak disedari:
1. Kejahilan umat terhadap pengertian Islam sebagai satu pilihan terbaik dan agenda mulia yang harus diperjuangkan.
2. Kelesuan dan kekeluan para ulamaknya.
3. Perpecahan tradisional yang tidak kunjung selesai antara parti-parti politik Islamis dan Nasionalis.
4. Hilangnya arahtuju dan keperkasaan generasi muda dan belianya.
5. Kedudukan bangsa lain yang sedang mengambil tempat dan pengaruh, yang sedang mempersiapkan diri dan entiti mereka untuk mengambilalih kekosongan dalam kepimpinan umat Islam berbangsa Melayu.
6. Kelalaian umat Islam terhadap sejarah gemilang mereka sebagai ummah yang memikul amanah dakwah dan menjulang panji Risalah Agung.
7. Keghairahan yang berlebihan terhadap kebendaan dan material.
8. Berkuburnya semangat untuk mengejar kemuliaan, harga diri dan jati diri.
Senario di atas bukanlah alasan untuk kita berpeluk tubuh atau menuding jari ke arah orang atau pihak lain. Dengan mengakui kelemahan dan keterbatasan kita, kita juga tidak ada alasan untuk tidak beramal.
Mahu tidak mahu kita terpaksa memegang kalam dan melancarkan serangan balas terhadap ancaman versi baru yang sedang mengitari kepala kita. Kita tidak ada pilihan lain sekiranya kita ingin melihat kelangsungan generasi selepas kita berada dalam pengawasan dan penjagaan Islam di tanahair.
Kita perlu menggunakan segenap wasilah dan mengerahkan selurih kekuatan dan keupayaan kita untuk berlawan satu sama satu di medan-medan internet, majalah, ceramah, khutbah, kursus, seminar, siaran dan hebahan, latihan dan bimbingan.
Sejarah kepahlawanan, pengorbanan dan keazaman tinggi penuh menghiasi khazanah ilmu kita. Kita tidak hilang atau ketandusan Rijal atau Srikandinya.
Punca kekuatan dan kemuliaan kita masih tersemat di dalam jiwa kita. Ia sedang menunggu masa untuk digilap, dicanai, diproses, diuji dan dihasilkan sebagai satu output dan produk yang ampuh dan berkualiti tinggi.
Umat Islam di tanahair kita sedang menunggu munculnya satu barisan pemuda pemudi dan generasi pewaris Dakwah dan penerus Risalah yang dapat mencabut perasaan kuat dan perkasa dari pihak musuh dan mengembalikannya ke pangkuan umat Islam. Dan melemparkan pihak musuh ke tembok kehinaan.
Dan Saf Terpilih itulah, InsyaAllah, yang akan dapat menterjemahkan ke abad 20 ini, makna dan hikmah dari kata-kata Khalid Al Walid, Saifullah al Maslul:
“Ketahuilah, wahai umat Islam, bahwa Anda tidak pernah melihat tentera Rom seperti yang Anda lihat sekarang. Jika Allah mengalahkan mereka dengan tangan Anda, mereka tak akan berani lagi melawan Anda. Jadi bersabarlah dalam peperangan dan pertahankan iman anda. Awas dari membelakangi musuh, untuk kemudian Anda akan diazab di neraka. Berwaspadalah dan tetapkanlah kedudukan Anda …!”
Langgan:
Ulasan (Atom)
