Khamis, 6 September 2012

Murabbi Boleh Datang Dan Pergi




Murabbi boleh datang dan pergi. Akan tetapi dakwah dan penyebaran fikrah tetap akan berjalan.
Beruntunglah tarbiyah yang melengkapkan ahli-ahlinya dengan ilmu pengetahuan dan kefahaman Islam yang mendalam supaya sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat/diambil adalah berdasarkan hujjah dan dalil, bukan ta'asub kepada pimpinan atau organisasi.


Beruntung jugalah para ibubapa yang anak-anak mereka masih thabat dan istiqamah atas jalan dakwah walau di atas pilihan sendiri - kerana itu melambangkan kematangan berfikir sang anak dan keyakinan atas pilihan yang dibuat. Beruntung jugalah setiap anggota dari mana-mana organisasi kerana memiliki sahabat-sahabat yang boleh diajak berdialog dan berbeza pandangan - kerana Iman dan Ukhuwwah menjadi teman dan mursyid.


Bukankah cita-cita supaya: Di akhirat nanti kita akan kembali kepada kaum dan saudara-saudara kita dengan wajah yang berseri-seri? Adakah kita sudah lupa pesanan dari al Quran agar kita berdoa supaya Allah mengampunkan saudara-saudara kita dan menghilangkan dari dada kita segala dendam kesumat yang terbuku di hati, supaya Allah mengampunkan kelalaian kita dan melenyapkan sikap permusuhan sesama sendiri?


Medan dakwah di Malaysia adalah terlalu luas untuk direbuti oleh insan-insan yang masih irihati terhadap saudaranya. Sedangkan medan dakwah ini perlu digeluti oleh semua individu Muslim, tanpa mengira latarbelakang organisasinya, memandangkan beban dan amanah di hadapan terlalu besar berbanding masa yang diperuntukkan kepada kita secara adil oleh Allah SWT.


Dan pihak musuh merasa lega dan semakin gagah bergerak merencana dan membangunkan agenda mereka tanpa halangan - kerana kita disibukkan dengan pertandingan merebut pengikut dan pengaruh!


Adakah kita bersedia untuk digantikan dengan kaum yang lain, yang bukan seperti realiti kita sekarang ini?