Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Khamis, 9 Ogos 2012
DAP Konsisten Mempertikai Dan Menolak Hudud
Pihak DAP dan para pemimpinnya (sama ada secara senyap atau terang-terangan) konsisten dalam mempertikaikan isu Hudud di Malaysia, walau cara mereka mempertikaikannya berbeza-beza. Kalau timbul sedikit sahaja suara-suara yang kontra dengan pandangan mereka ini (contohnya dari Ketua Pemuda PAS), maka dengan segera dan spontan Lim Kit Siang atau Joseph Lim Guan Eng menempelaknya. Dan kita masih berbaik sangka dengan mereka atas alasan Tahaluf Siyasi, meskipun terang-terang sikap DAP dan para pemimpinnya amat menyentuh sensitiviti umat Islam. Diamnya ahli-ahli DAP secara tidak langsung melambangkan kesepakatan mereka terhadap sikap yang diambil oleh pemimpin DAP.
Tidakkah menghairankan bila DAP boleh menerima konsep Negara Berkebajikan yang diusulkan PAS sedangkan satu masa dulu mereka sanggup berputih mata dan dilangkahi mayat kalau nak laksanakan Hudud di Malaysia?
Apakah yang telah dikurangi atau dicantas dari konsep asal Negara Islam ini sehingga DAP boleh terima pula konsep Negara Berkebajikan yang diusulkan PAS?
Adakah juga (pada perkiraan anda) DAP telah semakin lunak dan jinak terhadap Hudud kerana telah mendapat tarbiyah dari PAS selama beberapa tahun sejak memenangi pilihanraya umum dulu?
Sungguh malang sekali bila mengenangkan hakikat sejarah di mana British telah memaksakan sistem undang-undang dan pemerintahannya, malah seluruh sistem hidupnya (yang kini diambil alih oleh Amerika Syarikat) ke Tanah Melayu dan menggantikan peruntukan-peruntukan Syari'ah yang beroperasi di negeri-negeri Tanah Melayu ketika itu. Tidak ada seorangpun di antara kita yang mempertikaikan tragedi dan sejarah pilu ini ke atas jantung bangsa Melayu Muslim sehebat dan seghairah DAP mempertikaikan Hudud dan Syari'ah Islam di Malaysia!
Lebih malang lagi bila kita disibukkan dan disempitkan dengan istilah-istilah "Islam sebagai ugama rasmi" sedangkan peruntukan-peruntukan asas sebuah pemerintahan Islam sudah tersedia dan termaktub di dalam hampir semua negeri-negeri Melayu pada ketika itu. Seorang penulis sejarah kolonial British pernah menulis (maaf saya tak ingat tajuk atau pengarang buku itu): "Had it not been for the coming of the British, Islamic law would have been established in the Malay States" [lebih kurang].
Terjemahan bebas: Kalaulah bukan kerana kedatangan British, undang-undang Islam sudah tentu akan dilaksanakan di Tanah Melayu.
Bagaimanapun saya berpandangan kita tidak boleh terlalu bernostalgia terhadap apa yang sudah lepas dari tangan kita. Kita perlu berhadapan dengan realiti masakini yang menyaksikan pelesit British telah kembali dengan wajah baru: Sekularisma, Humanisma, Liberalisma dan Kristianisasi. Tentangan DAP terhadap Hudud hanyalah satu sisi dari beberapa sisi lain yang sedang bergerak cergas tetapi senyap (dan sudah mula berterang-terangan hari ini) untuk meruntuhkan dan membinasakan jati diri bangsa Melayu Muslim dari dalam - supaya tinggallah Melayu sebagai satu bangsa yang telah hilang maruah, keperkasaan dan risalah agung yang pernah menghiasi sejarah Nusantara satu masa dahulu.
Siapa lagi yang memiliki segala ramuan untuk menjadi ummah yang beragenda Islami kalau bukan bangsa Melayu sebagai bangsa tunggak di tanahair kita ini!
Langgan:
Ulasan (Atom)