Rabu, 1 Februari 2012

Berfikir Sejenak Tentang Maulidur Rasul



Tanggal 12 Rabi’ul Awwal 1433 Hijrah bersamaan 5 Februari 2012, umat Islam seluruh dunia akan merayakan satu peristiwa penting dan penuh bermakna. Itulah Hari keputeraan junjungan besar Nabi kita Muhammad Rasulullah s.’a.w. Perayaan atau peristiwa yang lebih dikenali sebagai sambutan Maulidur Rasul.

Pihak kerajaan Pusat dan Negeri masing-masing akan mengadakan pelbagai acara dan sambutan, melibatkan banyak agensi, persatuan, masjid, surau, taman-taman perumahan dan sebagainya. Cermah-ceramah dan perarakan-perarakan akan diadakan di merata tempat. Media massa akan menampilkan banyak rancangan atau siaran istimewa untuk tontonan atau bacaan masyarakat Islam. Slogan-slogan yang menarik dan canggih-canggih sudah tentu akan terpampang dan diwar warkan. Ucapan selawat akan berkumandang di udara dan angkasa, sebagai tanda kasih dan ingatan ummat Islam pada Nabi Muhammad s.’a.w, Rahmat bagi sekalian alam.

Inilah antara peristiwa besar yang dapat menyatukan ummat Islam tanpa mengira latarbelakang politik, geografi, budaya, bahasa atau adat resam.

Begini jugalah amalan dan sambutan yang telah menjadi rutin tahunan di kalangan ummat Islam di Malaysia khususnya.

Marilah kita cuba bermuhasabah secara tenang dan ikhlas:

Apakah kita telah benar-benar menyelahkan kecintaan dan penghormatan kita kepada Nabi kita melalui sambutan Maulidur Rasul?

Apakah kita merasa sudah terlepas tanggungjawab kita dengan mengadakan acara-acara seperti yang disebut di atas?

Apakah kita berjaya menerangi hati dan kehidupan kita dengan risalah yang dibawa oleh baginda s.’a.w?

Pengajaran macam manakah yang kita dapat iktibarkan dari peristiwa agung ini?

Sudahkah contoh dan qudwah dari kehidupan baginda mewarnai kehidupan kita, baik secara peribadi, dalam keluarga, masyarakat, bangsa dan tanahair kita?

Sebelum kita cuba menjawab persoalan di atas, marilah kita mengembara terlebih dahulu…

Kembara kita adalah untuk mengimaginasikan kembali alam dan dunia ke zaman kebangkitan Rasulullah s.’a.w di semenanjung Tanah Arab lebih 1400 tahun yang dahulu.

Allah SWT menerangkan kepada kita di dalam Al Quran surah Al Jumu’ah ayat 2 (bermaksud):

“Dialah (Allah) yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka serta mengajarkan mereka al Kitab dan al Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata.”

Di dalam dua ayat sahaja, Al Quran menggambarkan realiti satu masyarakat yang terpilih untuk menjadi Khairu Ummah (sebaik-baik Ummah). Ummah yang digambarkan dengan cemerlang sekali oleh Saidina Jaafar bin Abi Talib ketika berhadapan dengan Raja Habsyi di Habsyah, antara lain:

“Wahai Raja! Dulu kami adalah pemeluk agama Jahiliyyah. Kami menyembah berhala-berhala, memakan bangkai, berbuat zina, memutuskan tali persaudaraan, menyakiti jiran dan yang terkuat diantara kami, menindas yang lemah. Begitulah gambaran kami dahulu sehinggalah Allah mengutus seorang Rasul dari kalangan kami yang kami ketahui nasabnya, kejujurannya, amanahnya dan kesucian dirinya.


Beliau menyeru kami kepada Allah untuk mengesakannya dan menyembahNya serta meninggalkan penyembahan kami dan bapa-bapa kami terhadap batu dan patung. Beliau juga memerintahkan kami untuk bercakap jujur, melaksanakan amanah, menjalin hubungan kekeluargaan, berbuat baik kepada jiran, menghormati hal-hal yang disucikan dan darah. Beliau melarang kami berzina, berkata palsu, mengambil harta anak yatim dan menuduh wanita-wanita suci. Beliau memerintahkan kami untuk menyembah Allah semata-mata, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu apa pun, memerintahkan kami mengerjakan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa. (Ja’afar menyebut beberapa ajaran Islam yang lain).



Lalu kami membenarkan, beriman dan mengikuti beliau atas apa pun dari agama Allah. Lalu kami menyembah Allah semata, tidak menyekutukan sesuatu denganNya, kami mengharamkan apa pun yang diharamkan ke atas kami, menghalalkan apa pun yang dihalalkan kepada kami. Lalu kaum kami memusuhi kami, menyiksa kami dan menimbulkan cubaan terhadap agama kami dengan tujuan untuk mengembalikan kami kepada penyembahan terhadap patung, tanpa diperbolehkan menyembah Allah, agar kami menghalalkan berbagai macam keburukan seperti dahulu.”



Begitulah proses perubahan dan revolusi halus yang telah merubah satu masyarakat yang hanya terikat dengan dunia dan hawa nafsu kepada satu hakikat dan kenyataan yang mengangkat maruah insan dan memuliakan jati diri penghuni-penghuni bumi.

Risalah yang dibawa oleh Rasulullah s.’a.w kepada kaumnya akhirnya telah membawa perubahan besar. Selama hampir 25 tahun, masyarakat Islam telah diasuh, dibentuk dan dididik dengan ayat-ayat Al Quran sehingga ada yang menggelar mereka sebagai “Generasi Al Quran Yang Unik”.

Proses pembersihan dan pengajaran ini telah mengikat dan menambat hati masyarakat Islam dengan Al Quran sehingga wafatnya Rasulullah s.’a.w telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam pada mereka:

Dari Anas r.a.. katanya: Abu Bakr telah berkata kepada ‘Umar r.a selepas wafatnya Rasulullah s.a..w.: 

“Marilah pergi bersama kami ke rumah Ummu Aiman r.a. untuk mengunjunginya sebagaimana Rasulullah s.a.w. selalu mengunjunginya” Apabila kedua duanya datang menemui Ummu Aiman ia pun menangis, lalu kedua-duanya berkata:

“Mengapa makcik menangis? Tidakkah makcik tahu bahawa balasan yang disediakan di sisi Allah itu adalah lebih baik untuk Rasulullah s.a.w.?’ 


Jawab Ummu Aiman: “Ya makcik tahu bahawa balasan yang disediakan di sisi Allah itu adalah lebih baik untuk Rasulullah s.a.w., tetapi makcik menangis kerana wahyu telah terputus dari Allah.” 

Perkataan Ummu Aiman itu telah mengharukan kedua-duanya lalu kedua-duanya menangis bersama Ummu Aiman.


(Dikeluarkan oleh Muslim)


Justeru itu, kita harus bersikap yang selayaknya terhadap risalah dan perjuangan Rasulullah s.’a.w. Para Sahabat telah meninggalkan tanah tumpah darah mereka, menggadaikan nyawa mereka, menjandakan isteri-isteri mereka dan meyatimkan anak-anak mereka semata-mata agar risalah Islam yang suci ini dapat sampai kepada kita.

Rasulullah s.’a.w tiada bersama kita. Akan tetapi baginda telah meninggalkan warisan perjuangan yang terlalu penting untuk kita sekadar memperingatinya melalui sambutan Maulidur Rasul saban tahun semata-mata. Kita tidak menafikan akan kepentingan sambutan itu. Ia adalah sebahagian dari syi’ar Islam yang perlu kita semaikan dan hargai.

Akan tetapi, sambutan kita dan cara kita menghargai peristiwa kelahiran Nabi Muhammad s.’a.w serta dakwah yang dibawanya akan lebih bermakna seandainya kita sama-sama terjun untuk merasai, menghayati dan menyebarkan risalah agung iaitu Al Islam supaya kita kembali meraih gelaran Sebaik-baik Ummah Yang Dilahirkan Untuk Manusia.

Dan Rasulullah s.’a.w tentu akan tersenyum melihat ummat Islam di Malaysia berlumba-lumba menyambut peristiwa Maulidur Rasul sebagaimana mestinya …