Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Jumaat, 27 Januari 2012
Ibnu Taimiyah
Ibn Taimiyah – Pendidikannya.
Menurut banyak maklumat yang diriwayatkan oleh ramai ulamak kepada penulis, beliau (imam Ibn Taimiyah) dilahirkan di Harran pada 10hb Rabi’ul Awwal tahun 661 Hijriyyah dan menetap di sana sehingga beliau berumur tujuh tahun. Ayah Ibnu Taimiyah kemudiannya membawa beliau ke Damsyik di mana di sinilah beliau memperolehi sebaik-baik pendidikan yang ada pada masa itu dan Allah menanamkan dalam dirinya sebaik-baik perilaku. Tanda-tanda keutamaan, dedikasi dan ketajaman akal beliau telah menyerlah sejak dari kecil lagi.
Seorang teman yang terpecaya telah memaklumkan kepada penulis bahawa ketika Shaikh (Ibnu Taimiyah) berada di usia remaja dan sering berjalan ke perpustakaan, beliau akan ditahan oleh seorang Yahudi yang tinggal di jalan menuju ke perpustakaan. Si Yahudi tersebut akan bertanya beliau tentang banyak permasalahan dan akan terus menerus bertanyakan soalan demi soalan disebabkan kepintaran dan kecerdikan Ibnu Taimiyah. Ibnu Taimiyah akan menjawab setiap soalan yang dikemukakan dengan pantas dan tangkas sehingga si Yahudi itu merasa kagum dengan beliau.
Setiap kali apabila Ibnu Taimiyah terserempak dengannya, beliau akan memberikan sedikit demi sedikit maklumat yang akan meyakinkan si Yahudi itu akan kesesatan pegangan agamanya. Perkara ini berlanjutan beberapa lama sehingga si Yahudi tersebut akhirnya memeluk Islam dan menjadi seorang Muslim yang ikhlas. Ini semua hasil barakah yang dimiliki oleh Shaikh Ibnu Taimiyah meskipun ketika beliau masih kecil lagi.
Sepanjang tempoh remajanya, Ibnu Taimiyah menghabiskan kesemua masanya di dalam berusaha dan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menghafal keseluruhan al Quran, seterusnya mempelajari dan menghafal serta menguasai ilmu-ilmu Hadith, Fiqah dan bahasa Arab dengan begitu cemerlang sekali. Hal ini ditambah dengan disiplin diri beliau yang tidak pernah ketinggalan menghadiri halaqah-halaqah ilmu dan mendengar periwayatan-periwayatan hadith dan Athaar. Beliau menekuni banyak kitab dari para ulamak yang tersohor.
Kesemua kitab hadith seperti Musnad Ibnu Hanbal, Sahih al Bukhari dan Muslim, Jami’ al Tirmidhi, Sunan Abu Daud al Sijistani, an Nasa’I, Ibn Majah dan ad Daraqutni juga telah diperdengarkan kepada beliau berulang-ulangkali. Kitab Hadith yang pertama sekali beliau hafal adalah al Jami’ al Bayan as Sahihain karangan al Humaidi.
Tidak ada satupun kitab mengenai sebarang cabang ilmu-ilmu Islam kecuali beliau akan terjumpa dengannya dan Allah telah mengurniakannya dengan satu kemampuan luarbiasa untuk cepat menghafalnya dan sangat jarang untuk melupakannya. Apa yang beliau jumpa atau terdengar pasti akan terpahat kukuh di dalam ingatannya, baik dari segi kalimat atau pengertiannya seolah-olah ilmu sudah bersebati dan mendarah daging dengan beliau.
Beliau bukan sekadar menceduk ilmu serba sedikit dari sini sana, sebaliknya akan memahami dan menguasai dengan mendalam ilmu-ilmu tersebut, dan beliau adalah di antara manusia yang paling cemerlang di dalam ufuk keutamaan dan kemuliaan. Allah telah mentaklifkan beliau dengan bebanan yang lazimnya akan menumpaskan manusia selainnya. Meskipun demikian, taklif itu jugalah yang membawa beliau kepada kebahagiaan di dalam segenap aspek kehidupan beliau, serta memancarkan cahaya ketokohan dan kepimpinan beliau kepada semua lapisan masyarakat.
Kesemua ini membawa ke peringkat di mana, sesiapa sahaja yang memiliki serba sedikit ilmu syariat akan bersetuju bahawa Imam Ibnu Taimiyah adalah dari kalangan golongan yang dirujuk oleh Rasulullah s.a w ketikamana baginda bersabda,
“Sesungguhnya Allah akan membangkitkan untuk Ummah ini pada setiap kurun seorang yang menghidupkan kembali urusan-urusan ugamanya”.
Ini kerana Imam Ibnu Taimiyah telah berjaya menghidupkan kembali ilmu-ilmu ad Din al Islam yang telah lama dilupai dan ditinggalkan oleh ummat Islam dan Allah telah menjadikan beliau sebagai hujjah bagi setiap manusia di zamannya.
Segala puji bagi Allah, Pemilik sekelian alam.
Langgan:
Ulasan (Atom)