Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Sabtu, 29 Oktober 2011
Pasca HIMPUN - Buat Teman di ISMA
Umur baru seminggu sudahpun mencetuskan kontroversi. Itulah HIMPUN yang berhasrat merintis kesedaran ummat Melayu Muslim Malaysia ke arah sikap prihatin dan berwaspada terhadap agenda memurtadkan kaum Muslimin.
Kita amat menyedari bahkan telah menjangkakan bahawa perhimpunan di Stadium Shah Alam bakal mengundang pelbagai reaksi dan jangkaan itu terbukti menjelang dan sesudah berakhirnya HIMPUN.
Dengan istilah-istilah “Ada Yang Tak Kena”, “Hambar”, “Gagal” dan yang seumpamanya serta suara-suara sinis yang amat “lega” dengan kehadiran yang “indah khabar dari rupa”, HIMPUN dan penganjurnya dihujani dengan komen-komen bertali arus – kebanyakannya tidak bersifat positif.
ISMA sebagai salah satu pihak yang memainkan peranan penting untuk menjayakan HIMPUN, tidak terlepas dari realiti tersebut. Maka adakah ahli-ahli ISMA turut merasai tempiasnya? Apakah saudara-saudari sudah bersedia dengan jawaban-jawaban terpilih untuk menangkis serangan-serangan tersebut disamping yakin akan keberhasilan yang kita akan perolehi kelak?
Izinkan saya untuk berkongsi sedikit pemerhatian saya terhadap isu ini dan saya amat harapkan saudara-saudari sekalian menegur dan mengkritik saya sekiranya terkeluar dari landasan dan polisi ISMA.
Pertama:
ISMA adalah sebuah NGO Islam yang tidak berorientasikan politik kepartian. Hal ini telah diperuntukkan dengan jelas di dalam perlembagaan ISMA sendiri. ISMA akan kekal dengan perwatakan ini baik di peringkat awal mahupun akhirnya. Bagaimanapun pendirian ISMA sebegini tidak menghalangnya dari mengadakan persetujuan, memorandum, kerjasama strategik dan sebagainya dengan mana-mana pihak (termasuk parti-parti politik) bilamana agendanya adalah agenda ummah dan kepentingan Islam di Malaysia. Dan ISMA akan terjun ke dalam medan ini berlandaskan fikrah dan keyakinan yang jelas akan rational di sebalik segala tindakannya.
Walau bagaimanapun, kita juga perlu bersifat terbuka dan berlapang dada dengan reaksi pihak-pihak lain, sama ada berbentuk tuduhan, tohmahan, kritikan, teguran, nasihat dan sebagainya. Sekiranya kita amat yakin dengan tindakan dan keputusan kita, kita kena bersedia dengan hujah dan jawabannya. Kalau ijtihad kita salah sekalipun, kita masih dapat satu pahala!
Kedua:
Dari segi zahirnya, memang HIMPUN kelihatan seolah-olah gagal memcapai matlamatnya, sama ada untuk memenuhkan stadium mahupun mengetengahkan agendanya kepada masyarakat. Akan tetapi, cuba kita bagi sedikit perhatian kepada noktah-noktah berikut:-
* Inilah kali pertama dalam sejarah Malaysia isu Murtad dibawa oleh sekumpulan NGO Islam yang mendapat sokongan secara formal dari ribuan NGO Islam/Melayu yang lain tanpa keterlibatan parti-parti politik.
* Isu Murtad yang menjadi salah satu agenda penting umat Islam bukan lagi hak eksklusif mana-mana parti politik Islam atau Melayu di tanahair. Isu ini sendiri telah memaksa parti-parti politik Islam/Melayu utama di Malaysia membuat pendirian rasmi terhadapnya.
* Rezeki yang tidak disangka-sangka iaitu ISMA dan agendanya mendapat liputan meluas secara percuma di media-media massa.
* Rumusan 10 perkara di hujung HIMPUN bukan sekadar retorik kerana ia mendapat respon dari Perdana Menteri kita sendiri, walaupun keberkesanan dan perlaksanaannya masih boleh diperhalusi lagi.
* Kita berjaya dalam membentuk kepercayaan ahli dalam bersama-sama menjayakan agenda ISMA secara sedar, profesional dan bertanggungjawab. Ahli-ahli ISMA mendapat satu pengalaman secara “real time” dan terbuka ketika progrem HIMPUN diletakkan di bawah teropong umum (public scrutiny).
* Kita ingin membina generasi muda yang berdisiplin, berhemah tinggi dan menghormati undang-undang. Ini dapat dilihat dalam progrem HIMPUN.
Ketiga:
Kemelut politik yang tidak berkesudahan akan muncul lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu-isu penting umat Islam. Parti-parti politik Islam/Melayu secara jelas membuat keputusan sama ada untuk terlibat atau sebaliknya dalam HIMPUN dari neraca maslahat dan manfaat politik parti masing-masing. Dan situasi ini bukan perkara baru malah ia akan terus mewarnai senario tanahair pada masa-masa akan datang bilamana Islam menjadi pertaruhannya. Masing-masing pihak akan mendakwa pihaknyalah jaguh Islam sebenar tanpa berhenti barang sedetik untuk mententeramkamkan diri sendiri, menarik nafas yang panjang dan kembali menyarungkan pedang yang dihunus ke arah sesama Muslim.
Sampai bila perseteruan ini akan berakhir?
Alangkah baiknya kalau mereka menghayati pesanan dari Dr Muhammmad Sayyid Al Wakeel di dalam salah sebuah bukunya:-
“Kaum Muslimin dituntut membuang jauh-jauh sengketa politik dan fanatik nasionalisma, membuang rintangan saikologis dan membersihkan hatinya agar kecintaan sesama Muslim kembali mekar dan mereka menghulurkan tangannya untuk menjabat tangan saudara-saudara seakidahnya. Seandainya kaum Muslimin mahu melakukan hal itu semua, bererti mereka telah bersedia untuk merebut kembali kejayaannya yang lenyap, mengembalikan kedaulatan kepemimpinannya yang telah hilang disebabkan persengketaan dalaman di antara mereka dan tampil kembali memimpin dunia dengan pepemimpinan yang arif dan bijaksana serta menghantar dunia ke jalan yang benar dan lurus.”
Keempat:
Kita juga amat menyedari bahawa terdapat banyak lagi isu lain yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak, termasuk ISMA. Dan kita amat menghormati, menghargai malah mendoakan amal-amal pihak lain yang lebih terkehadapan daripada ISMA dalam menangani isu-isu umat Islam di tanahair. Cuma ISMA merasakan bahawa isu Murtad adalah sangat asasi (fundamental) dalam kehidupan beragama individu-individu Muslim, keluarga dan masyarakat Melayu Islam. Ia merupakan satu-satunya isu yang telah menggemparkan dan menyemarakkan kebangkitan umat Islam satu masa dahulu (tanpa campurtangan politik) untuk menyelamatkan akidah hanya SEORANG wanita Islam yang cuba dimurtadkan!
Jadi ISMA mempunyai alasan kukuh kenapa isu Murtad yang diketengahkan, walaupun ada pihak yang cuba mengaitkan keputusan ini dengan kemaslahatan parti politik pemerintah.
Kelima:
Sebagai lanjutan dari poin di atas, kita juga perlu menyedari akan arus-arus bukan-politik yang sedang melanda masyarakat Islam secara khusus tanpa disedari. Itulah virus liberal sekularis atau sekular liberalis, baik dari kalangan umat Islam atau sebaliknya. Agenda mereka bertopengkan hak asasi manusia, kebebasan individu untuk membuat keputusan sendiri tanpa campurtangan pihak lain, hatta dalam isu-isu agama sekalipun. Senjata mereka adalah senjata hujah dengan mengambil kesempatan atas kejahilan umat, kelesuan para ulamak dan terbungkamnya institusi-institusi agama. Mereka dibantu dengan pendokong dan pemuja-pemuja budaya Barat yang pada hakikatnya sudahpun bertapak lama di jiwa sebahagian umat Islam.
Banyak peristiwa di tanahair mendorong kita untuk membuat kesimpulan bahawa usaha mereka tidak akan berhenti walaupun akta demi akta digubal. Gerakan mereka berstruktur walaupun tidak bersifat fizikal. Ini kerana modul-modul mereka sudah meresapi jiwa pelbagai lapisan masyarakat Islam khususnya generasi mudanya tanpa sedar. Cuba lihat perspektif mereka terhadap hiburan dan percampuran lelaki perempuan sebagai satu contoh umum.
Pendekata ISMA dan ahli-ahlinya berhadapan dengan fenomena yang menjadi pegangan hidup sebahagian umat Islam sendiri yang agak sukar diubah.
Akhirnya:
Saya yakin saudara-saudari ahli ISMA akan sepakat bahawa ISMA tidak mencari publisiti murahan melalui HIMPUN. ISMA tidak memiliki cita-cita politik kalau itulah yang hendak ditohmahkan ke atas kita. Kita masih perlu berkerja keras dan melipatgandakan usaha kita di samping kita membersihkan jiwa kita dengan ‘ubudiyah kepada Allah serta keikhlasan ketika kita beramal. Kita juga mahu tidak mahu harus melemparkan rantai-rantai kelalaian dan kelesuan dari diri kita kerana kita sudah melangkah dan menongkah arus perdana. Bukan untuk memuji atau mendabik dada, tetapi sebagai satu peringatan supaya kita sentiasa bermujahadah, beramal dan terus beramal.
Kita juga berharap ISMA tidak bersendirian untuk mengarus perdanakan agenda ummah, menangkis serangan musuh-musuh Islam dan mendaulatkan Islam di tanahair tercinta ini.
Pada waktu yang sama kita tidak lupa untuk meletakkan seluruh pergantungan kepada Allah SWT agar meridhai amal kita, mengampuni segala dosa dan kelemahan kita serta memberi hidayah kepada kita dan kaum Muslimin seluruhnya.
Khamis, 13 Oktober 2011
Dalam Pencarian Dan Pengembalian
Aku – dalam putaran-putaran musim
bumi yang sementara
selama ini tidak pernah peduli
tidak mahu menyedari
lalai dan lupa seringkali
hakikat aku dan Dia
Aku – meniti usia remaja dan belia
gadis dan pemuda
asyik leka dalam pesona
hilang rasa sedih dan duka
hanyut dalam pelayaranku
bingung dalam tujuanku
aku hilang pertimbangan
sudah kutinggalkan destinasi silam yang gemilang
Gelombang berhempas
Ombak menggunung
Gelora menggila di samudera kelam
Aku terumbang ambing
antara sedar dan lena
bahagia dan celaka
Jahiliyyah dan Rabbaniyah
hingga laut kembali tenang
dan temasya camar putih di angkasa biru
semakin riang melepas rindu
Tidak kulupakan menjelang saat-saat bahagia itu
dari kehitaman langit malam
dan kemuraman mega mendung
kemilau cahaya memukau pandangan
meresap, membelai, menyentuh, menghidupkan
bermesra untuk menebarkan kasih sayang
antara pencari dan Maha Memberi
Pun – aku masih di permulaan langkah
antara persimpangan dua kehidupan
Wahai Yang Pengasih Pemilik alam semesta
Bilakah pengembalianku – akan Kau redhai
Bilakah saatnya – lahir langkah sejati
Kapan wujud di hati – saling cinta mencintai
Akan kucuba
bersama angkatan MujahidMu
mengerah keringat tenaga dan air mata
menggenggam harapan dan cita-cita
demi Khilafah Islamiyah
atas kecaian tulang dan jasad Ummah
dalam pengembaraan sementara
menuju hakikat abadi …
Kuala Lumpur
22 Ogos 1990
Langgan:
Ulasan (Atom)