Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Selasa, 19 Julai 2011
Selangkah Ke Madrasah Al Ghamidiyah
Sejarah Islam tidak menukilkan nama lengkap beliau ataupun latarbelakang terperinci tentang sosok Muslimah Sahabiyah yang hidup di kota Madinah ini. Beliau tidak pula diikutsertakan dalam kisah-kisah pengorbanan dan perjuangan kelompok generasi para Sahabat yang sering diulang-ulang demi mencari pengertian-pengertian hidup yang terpancar dari bisikan-bisikan dakwah dan tarbiyah.
Namun, saya sengaja memilih beliau sebagai contoh yang dapat memberi motivasi dan tauladan kepada umat Islam hari ini, khususnya generasi remajanya yang kini terumbang ambing dalam seruan-seruan menggerunkan yang sedang mencabar jatidiri dan potensi masadepan mereka sendiri.
Statistik semata-mata tidak dapat memberikan gambaran sebenar tentang ancaman kemusnahan akhlak yang sedang membayangi hidup remaja-remaja Muslim Melayu – baik lelaki mahupun wanita atau gadis.
Berapa peratuskah dari kalangan umat Islam khususnya generasi muda mudinya yang menghiasi data-data jenayah seksual dan kes-kes juvana yang dibicarakan di mahkamah hampir setiap hari?
Berapa ramai pula dari anak-anak gadis Melayu yang perutnya semakin membesar dari sehari ke sehari tanpa ditemani sang bapa kecuali airmata penyesalan dan ketakutan?
Berapa ramai pula ibubapa yang hancur luluh kewibawaan dan maruah mereka akibat dari apa yang menimpa anak gadis dan keluarga mereka?
Dan undang-undang lazimnya akan menyebelahi sang pelaku dari lelaki yang seharusnya dihukum dan dipertanggungjawabkan. Dan penguatkuasaan undang-undang pula tidak akan berjaya mengatasi apatah lagi membenteras kemaraan tentera-tentera syaitan yang semakin hampir menampakkan kejayaannya.
Bolehkan kuasa undang-undang mengatasi ajaibnya keimanan?
Apakah undang-undang dapat membetulkan masyarakat dan memimpinnya atas garisan akhlak yang terpuji?
Di sebalik seruan supaya para khatib, ibubapa, guru, sekolah, institusi-institusi masjid dan badan-badan bukan kerajaan memainkan peranan masing-masing untuk membendung gejala yang membimbangkan ini, kita menyediakan sekolah untuk menerima mangsa-mangsa perzinaan dan rogol remaja. Di sebalik kita melaung slogan-slogan yang molek-molek tentang Islam dengan tema-tema yang sentiasa berubah dan “bombastik” dalam berbagai-bagai perayaan dan sempena-sempena, kita dapati budaya hedonistik dan lucah saban hari diinstitusikan dalam media massa kita – dari corong-corong radio, TV, pawagam, suratkhabar, majalah, acara-acara rasmi dan majlis-majlis keramaian, pesta-pesta, rancangan realiti, pertandingan … dan seterusnya … dan seterusnya …
Inilah yang diistilahkan oleh Abul A’la Al Maududi sebagai “lidah-lidah Syaitan”.
Inilah juga sebahagian dari gejala yang disifatkan oleh Abul Hasan Ali An Nadawi sebagai “Kemurtadan yang tidak ada Abu Bakar untuk menanganinya”.
Jadi, apa relevannya Al Ghamidiyah?
Relevannya kerana beliau seorang wanita Muslimah yang telah berzina di zaman Rasulullah SAW.
Dan juga kerana beliau hidup di bawah naungan dan didikan al Quran.
Seorang wanita bernama Al Ghamidiyah telah datang menghadap Rasulullah SAW dengan pengakuan bahawa beliau (Al Ghamidiyah) telah berzina dan meminta supaya beliau disucikan. Rasulullah SAW bagaimanapun menyuruhnya pulang. Al Ghamidiyah datang lagi berjumpa Rasulullah SAW keesokan harinya dengan pengakuan yang sama dan bahawa beliau telah hamil. Rasulullah SAW menyuruh Al Ghamidiyah supaya pulang dan menunggu sehingga beliau melahirkan anak.
Setelah melahirkan anak, Al Ghamidiyah datang sekali lagi berjumpa Rasulullah SAW bersama bayinya dan meminta supaya Rasulullah SAW menjalankan hukuman ke atas beliau. Akan tetapi Rasulullah SAW malah menyuruh Al Ghamidiyah pulang dan menyusui bayinya sehingga bayi itu boleh makan sendiri.
Ketika anaknya sudah bercerai susu badan, Al Ghamidiyah datang lagi menghadap Rasulullah SAW sambil mendokong bayinya yang sedang memegang sedikit roti di tangan kecilnya. Maka Rasulullah SAW memerintahkan supaya anak kecil itu diserahkan kepada seorang lelaki dari kaum Muslimin lalu memerintahkan selanjutnya supaya digali lubang separas dengan dada Al Ghamidiyah untuk dilaksanakan hukuman rejam ke atas beliau.
Pada saat hukuman rejam itu dilaksanakan, Khalid Al Walid membaling seketul batu ke kepala Al Ghamidiyah sehingga darah wanita itu memercik ke muka Khalid Al Walid. Khalid marah dan mencerca wanita itu. Rasulullah SAW ketika mendengar cacian Khalid Al Walid terus menegur dengan sabdanya,
“Wahai Khalid, jangan begitu! Demi Zat yang nyawaku berada di dalam kekuasaanNya, wanita itu sudah bertaubat dengan sesungguhnya, yang sekiranya taubat beliau disebarkan ke suluruh Madinah, maka sudah cukuplah ia buat sekelian penduduknya.”
Peristiwa yang hebat dan unggul di atas tidak pernah terjadi dalam sejarah bangsa manapun kecuali di dalam masyarakat Islam!
Subhanallah!
Berapa lamakah masa yang diambil untuk melengkapkan pusingan episod yang menakjubkan ini?
Hampir tiga tahun!
Al Ghamidiyah hanyalah wanita biasa yang telah melakukan satu kesalahan yang sangat keji secara diam-diam. Tidak ada siapa pun yang tahu tentang kejadian tersebut. Meskipun demikian, kejadian buruk itu sentiasa menghantui jiwa dan perasaannya, apatah lagi ketika janin mula membentuk.
Beliau sentiasa dirundung resah dan gelisah, tiada kegembiraan dan keceriaan di dalam setiap sesuatu yang dilakukannya. Makan dan minumnya diiringi dengan suara kecil yang mengingatkannya bahawa beliau tidak suci, kotor dan tidak seharusnya menyentuh makanan dan minuman. Justeru itu beliau perlu mensucikan dirinya terlebih dahulu. Dan untuk membersihkan dirinya dari karat dosa dan maksiat, mustahil dapat dilaksanakan tanpa hukuman.
Dan dirinya pula sedang hamil!
Al Ghamidiyah dengan penuh keikhlasan datang menyerah kepada Rasulullah SAW untuk dikenakan hukuman. Setelah mendapat tahu wanita itu hamil, Rasulullah SAW memerintahkan supaya Al Ghamidiyah kembali setelah melahirkan anaknya.
Apakah dosa dan kesalahan anak kecil yang dikandungnya? Apakah dia harus dihukum juga bersama ibunya?
Setelah melahirkan, disuruh pulang lagi dan datang setelah dua tahun. Ini satu lagi cubaan dan dugaan yang amat berat untuk ditanggung oleh Al Ghamidiyah. Beliau dilepaskan tanpa jaminan polis, tanpa pengawasan, tanpa perlu datang setiap bulan untuk melaporkan diri.
Pendek kata beliau bebas untuk terus menghilangkan diri dan mengelak dari proses penguatkuasaan hukuman. Wajah bayi yang sedang menyusu di badannya tentu akan meleburkan hati sang ibu. Seolah-olah sang bayi itu sedang memancarkan harapan dapat membesar bersama ibunya, bermesra dan bermanja ke sana ke mari.
Bolehkah dan mampukah kita selami perasaan yang melanda Al Ghamidiyah sepanjang tempoh hampir tiga tahun itu?
Ketinggian iman dan kekuatan jiwa Al Ghamidiyah telah menjawab bahawa beliau akan menghadap Allah dan amat berat sekali azabNya nanti, meski akan terpisah dengan orang yang tersayang dan meski tidak dapat melihat anaknya membesar dengan penuh keceriaan dan kebanggaan …
Dan Al Ghamidiyah akhirnya direjam.
Hukuman yang melambangkan keikhlasan dan penyerahan mutlak terhadap ketentuan Allah, Pencipta yang Maha Adil.
Hukuman yang di sebaliknya tersingkap penerimaan taubat seorang hamba yang telah melakukan satu dosa dan kesalahan.
Dan lapangan itu sudah menjadi sepi. Al Ghamidiyah sudah tiada. Akan tetapi iktibar dan pesanannya telah menerawang dan melangkau 1400 tahun ke masa depan dengan ungkapan-ungkapan:
Wahai gadis, kembalilah engkau pada Allah, Pencipta yang Maha Penyayang.
Peliharalah dirimu dari pergaulan-pergaulan songsang yang rendah sekali nilainya.Jagalah auratmu sebaik-baiknya.
Hindarilah teman-teman dan tempat-tempat yang bakal merosakkan masa depanmu.
Jauhkan dirimu dari budaya pemusnah jatidiri seorang Muslimah tauladan.
Engkau penerus amanah wanita-wanita Salihah Generasi Pertama.
Engkaulah harapan Ummah – jangan jadi unsur pemusnahnya.
Bergabunglah bersama kafilah kesucian, bukan pengobar kebencian.
Jadilah engkau di tengah teman-temanmu sebagai obor yang menyinarkan – bukan sebagai taufan yang menggelitakan.
Peliharalah kesucian dirimu dengan penuh kebanggaan.
Hiasilah dirimu dengan perhiasan akhlak terpuji bukan perangai yang dikeji!
Hingga kita bertemu lagi di alam yang tiada batasan akan keindahannya!
Ikhlas dan penuh kasih sayang dari saudarimu,
Al Ghamidiyah …
Langgan:
Ulasan (Atom)