Menbina kesedaran baru dalam beramal untuk Islam dengan membentuk pola pemikiran Islami dalam peribadi Muslim.
Sabtu, 30 April 2011
Yang Tidak Ditemui Itulah Sedang Kucari!
Bismillahirrahmanirrahim.
Salam ukhuwwah dan mahabbah dari saya. Inilah sedikit nukilan rasa dan pena tanpa dakwat dari seorang pemerhati yang ingin menjadi penumpang terakhir dalam bahtera dakwah.
Saya ingin mengajak saudara saudari semua menjelajah ke Anatolia melalui lembaran sejarahnya bersama pujangga Iqbal:
Di dalam salah satu karyanya bertajuk Asrar – Khudi (Rahsia-rahsia Hati), Maulana Iqbal memetik beberapa bait dari Sya’ir Jalaluddin Ar Rumi:
Semalam Syaikh itu merayau-rayau di pekan sambil memegang pelita
sambil berkata “Aku sudah muak dengan jin dan binatang;
aku sedang mencari seorang insan
Hatiku sudah parah dek teman seperjalanan yang berjiwa lemah.
Singa Allah (Saidina Ali) dan Rustam (pahlawan silam Parsi) adalah tujuanku”
Aku (Jalaluddin Ar Rumi) berkata “Kami juga mencari insan itu, tapi kami tidak menjumpainya”
Beliau menjawab “Apa yang tidak dapat ditemui, itulah yang sedang kucari”
Maulana menceritakan tentang seorang pendita yang sedang merayau-rayau di pekan dengan membawa sebuah pelita seolah-olah sedang mencari sesuatu yang telah hilang. Bila penyair bertanyakan apa yang sedang dicarinya, pendita itu menjawab bahawa beliau sudah bosan hidup di dalam dunia (yang pada hakikatnya) yang didiami oleh binatang buas. Dan beliau kini sedang mencari insan yang menyerupai Saidina Ali dan panglima Rustum, yang dapat mengembalikan keyakinannya terhadap insan hakiki.
Penyair itu memberi maklumbalas bahawa pendita itu sedang mencari sesuatu yang mustahil dan yang tidak wujud dan pendita itu pasti tidak akan menemuinya. Pendita yang bijaksana itu menjawab bahawa sesuatu yang terasing, yang telah hilang dan mustahil dicapai itulah yang sedang dicari-carinya.
Untuk makluman, Anatolia (Turki) di zaman Jalaluddin Ar Rumi bukanlah tempat yang mundur. Sebaliknya ia merupakan salah satu wilayah yang paling maju di zaman tersebut. jalaluddin Ar Rumi berasal dari wilayah yang bakal menjadi tapak dan asas kebangkitan Kerajaan Saljuk. Beliau dilahirkan di kota Balkh di Iran yang merupakan negara yang paling bertamaddun pada zaman itu. Dalam bidang falsafah dan sastera, sumbangan Parsi/Iran sangat besar kepada tamaddun dunia dan ia telah meninggalkan kesan yang mendalam dari segi sejarah.
Bagaimanapun Maulana Ar Rumi cuba untuk meluahkan luka di hatinya menerusi bait-bait di atas. Beliau bercerita tentang seorang pendita tetapi sebenarnya mengkisahkan tentang kisah dirinya sendiri. Beliau menyatakan bahawa di bandar yang hebat itu dan di wilayah yang tinggi tamaddun dan peradabannya, beliau berhajat untuk berjumpa dengan seorang insan. Di sana terdapat mahligai dan rumah-rumah besar tersegam indah, taman-taman yang sangat indah, makanan yang lazat-lazat, pakaian yang serba mahal dan menawan dan abad serta cara bertingkah laku yang penuh tertib, tapi tiada Insan yang kelihatan pada semua itu. Apa yang kelihatan bukanlah Insan sebenar tetapi hanya sesuatu yang menyerupai bentuk dan rupa paras manusia semata-mata.
Saya ingin bertanya, Apa bezanya suasana masyarakat kita khususnya umat Melayu Islam dengan apa yang dialami oleh Maulana Ar Rumi?
Negara dan masyarakat kita tidak kalah tahap kemajuan dan perkembangan fizikalnya. Kita ada bangunan pencakar langit, kota batu batu dan kongkrit yang melata di setiap bandar dan bandaraya. Kita tidak terkebelakang dari sudut ilmu dan teknologi, tidak ketinggalan dari dunia fesyen, hiburan dan seni sastera.
Dari sudut global pula, kita sudah meneroka angkasa lepas, terbang seperti burung dan berenang seperti ikan. Kita sudah berjaya memecah partikel atom, menyembuhkan penyakit-penyakit yang satu masa dahulu kita tidak akan percaya ia dapat dilakukan. Taraf hidup dan pendapatan per kapita kita semakin mendekati negara-negara maju. Cita rasa kita dalam berpakaian, memilih makanan, kenderaan dan tempat tinggal bukan lagi menyerupai nilai-nilai di zaman puntung berasap atau ubi kayu. Kita memiliki Wawasan 2020. Kita ingin menjadi masyarakat yang terbilang, cemerlang dan gemilang.
Tapi dimana jatidiri umat Melayu?
Di manakah kita akan berjumpa dengan jiwa-jiwa yang merintih akan nasib dan masa depan umatnya?
Di manakah hati yang bergemuruh akan survival Islam di tengah-tengah percaturan dan pertembungan budaya liberal yang sedang membadai dari segala arah?
Di manakah rijal dan serikandi yang akan menjulang kembali panji-panji INSAN di tengah masyarakat yang keliru dengan pelbagai laungan dan seruan?
Di manakah tangan -tangan yang akan membelai dengan kasih sayang pada kaumnya dan dari manakah akan terpancarnya pandangan cinta dan mahabbah akan saudara saudaranya?
Di manakah generasi Qudwah itu?
Di manakah kafilah itu, yang dengan penuh keyakinan akan berkata kepada Syaikh Jalaluddin Ar Rumi,
“Bertenanglah saudara dan rehatkanlah jiwamu. Kerana sesungguhnya kami telah menemui INSAN itu …!”
Langgan:
Ulasan (Atom)